`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 31, 2022

Perdana menteri dengan janji

 

Hari ini 31 Julai 2022, memorandum persefahaman antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan “dikatakan” tamat dan tidak akan disambung. Itu kata perdana menteri sendiri lima hari lalu.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata gabungan pembangkang dimaklumkan tentang ketetapan partinya untuk tidak menyambung perjanjian itu dan “kedua-dua pihak bersetuju tidak perlu ada perjanjian baharu”.

Agak “pelik” beliau menyatakan “ketetapan partinya” yakni Umno untuk tidak menyambung perjanjian itu. Saya kata “pelik” kerana bukankah MoU berkenaan ditandatangani kerajaan dan bukan Umno? Kerajaan Keluarga Malaysia seperti kita tahu merangkumi antaranya Bersatu dan PAS. Bukan kerajaan Umno mutlak. Akan tetapi mesyuarat Majlis Tinggi Umno pada April memutuskan MoU itu tidak diteruskan selepas 31 Julai 2022. Jelas Umno “have a big say” kerana Ismail orangnya dan jelas Ismail akur dengan kemahuan MKT partinya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Namun menurut Fahmi Fadzil, pengarah komunikasi PKR, Perkara 2.1 dalam MoU yang ditandatangani 13 September 2021 menyatakan ia hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh perjanjian ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen semasa.

“Ini dengan jelas bermaksud MoU sedia ada ini kekal berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan. Bila Parlimen boleh dibubarkan? Selagi mana Parlimen belum dibubarkan, MoU yang sedia ada ini akan terus berkuat kuasa,” kata Fahmi dalam hantaran di Facebook yang dilapor FMT 28 Julai lalu.

Saya setuju dengan beberapa penganalisis dan pemerhati politik yang menyifatkan MoU yang dimeterai itu telah “menyelamatkan” kerajaan Ismail yang memegang majoriti tipis, terutama kedudukan Ismail sebagai perdana menteri. Paling tidak MoU itu merupakan ‘gencatan senjata’ lantas memberi kestabilan kepada kerajaan, sedikit sebanyak.

Bagi Pakatan Harapan, MoU memberi peluang mereka “membuktikan” kemampuan untuk ‘memaksa’ kerajaan melakukan beberapa pembaharuan antaranya pindaan Perlembagaan berhubung gejala lompat parti. Apabila Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan Parlimen Khamis lalu, ia pantas digunakan PH untuk memberitahu semua pihak (termasuk dalam kalangan mereka) yang dahulunya tidak setuju bahawa menjalin MoU dengan kerajaan adalah langkah ‘tepat’.

Hakikatnya MoU itu “win-win situation” untuk kerajaan dan Pakatan Harapan. Kini, PH mahu menuntut perkara lain yang dipersetujui. Ini termasuk mengehadkan jawatan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada tidak melebihi 10 tahun.

Dua lagi janji ialah membentang dan meluluskan RUU Peraturan Mesyuarat Parlimen dan pindaan Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar. Ini khususnya prosiding Dewan Rakyat yang dipertikai selama ini dengan dakwaan speaker kerap memihak Ahli Parlimen kerajaan.

PH sudah mengarahkan wakilnya segera mengadakan mesyuarat dengan wakil kerajaan bagi “membincangkan perkara-perkara yang telah dipersetujui”, seperti yang termaktub dalam MoU secara hitam putih.

Pun begitu bagi Ismail, persefahaman demi kepentingan rakyat boleh diteruskan (walaupun MoU tidak disambung?) kerana “tak penting sama ada MoU bertulis atau tidak tapi yang lebih penting adalah kesefahaman untuk beberapa isu tertentu”. Bolehkah disimpulkan maksudnya hitam putih tidak penting? Tidak membawa erti?

Beralih pula kepada perjanjian (juga hitam putih) antara Ismail dengan Perikatan Nasional. Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin tempoh hari menyuarakan rasa kecewa terhadap Ismail yang menurutnya tidak bersungguh-sungguh memenuhi persefahaman yang dicapai mereka termasuk yang membabitkan pelantikan timbalan perdana menteri. Lalu PN kata Hamzah akan menghantar wakilnya bertemu Ismail tidak lama lagi.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata Ismail mesti tunaikan janji kerana “itu perjanjian antara PN dengan Perdana Menteri”. Dan kata beliau lagi, “kalau dalam Islam janji mesti ditunaikan”.

Dalam pada itu, Khamis lalu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau JPPM memaklumkan permohonan Umno berhubung pindaan perlembagaannya sudah diluluskan. Bermakna JPPM mengizinkan pindaan perlembagaan Umno supaya pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak melebihi enam bulan selepas sesuatu PRU berlangsung.

Dengan ini pemilihan Umno untuk penggal ini hanya akan berlangsung enam bulan selepas PRU15. Bererti Ismail akan kekal sebagai naib presiden parti sehingga PRU15 diadakan. Bererti juga kalau tidak ada aral melintang, Ahmad Zahid Hamidi kekal presiden Umno hingga PRU mendatang – sekali gus punya kuasa menentukan siapa akan jadi calon Umno pada PRU15, dan siapa tidak.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik percaya kelulusan JPPM ini akan menyaksikan PRU15 diadakan segera seperti yang pucuk pimpinan Umno mahu. Hampir pasti Ismail akan terdorong untuk akur dengan kemahuan itu.

Jika PRU akan diadakan tidak lama lagi, perlukah Ismail menunaikan janji yang termeterai dalam MoU dengan Pakatan Harapan? Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal undang-undang dan Parlimen berkata beliau akan membangkitkan kepada Kabinet cadangan had tempoh jawatan perdana menteri.

Bagaimana pula perjanjian Ismail dengan PN, terutama mengenai pelantikan timbalan perdana menteri daripada kalangan mereka (baca: orang Bersatu). Adakah beliau akan tunaikan janji itu jika PRU15 menjelang tiba? Apa perlu seorang timbalan perdana menteri jika Parlimen akan dibubar segera? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.