`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 30, 2022

Mahkamah tidak akan bantu sembunyi hubungan luar nikah, kata hakim

 

Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar berkata pihak terlibat dalam saman itu tidak akan mendapat bantuan daripada mahkamah sebagai instrumen untuk menipu dan menyembunyikan ‘perlakuan tidak bermoral’ mereka. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah dikemukakan bekas pembantu wanita seorang Ahli Parlimen pembangkang, meluahkan rasa terkilan kerana mahkamah dipergunakan untuk mencuci “kerja kotor” mereka di depan khalayak.

Azimah Omar berkata, beliau tidak boleh menerima perlakuan tidak bermoral itu mahupun cubaan pasangan terbabit untuk “mencemarkan mahkamah” memandangkan sikap mereka yang tidak jujur dan menipu, menafikan kebenaran dan fakta hubungan luar nikah yang keji, tidak bermoral dan tidak wajar oleh pasangan berkenaan.

Katanya, pihak berkenaan tidak akan mendapat sebarang bantuan daripada mahkamah sebagai instrumen untuk menipu dan menyembunyikan hubungan tidak bermoral mereka, yang merupakan penghinaan kepada dasar awam untuk menegakkan kesucian, ketenangan dan nilai murni perkahwinan.

Azimah berkata mana-mana kamar, sekecil mana pun, yang dibenarkan untuk melayan dakwaan palsu plaintif, hanya akan membawa keruntuhan nilai moral, kesopanan dan integriti masyarakat.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Katanya, dasar awam menetapkan bahawa mahkamah tidak seharusnya meluangkan masa atau sumber untuk memberikan sebarang remedi undang-undang kepada pihak yang datang ke mahkamah dengan penipuan untuk menyembunyikan penglibatan dan perbuatan tidak bermoral mereka.

Kenyataan keras Azimah terkandung dalam penghakiman setebal 43 muka surat yang dikeluarkan dua hari lalu bagi menolak saman R Indrani terhadap Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Azimah, yang menyampaikan alasan lisannya 30 Jun lalu, tidak mengarahkan Indrani membayar kos kepada Kesavan.

Indrani memfailkan saman itu selepas Ahli Parlimen berkenaan menafikan tuduhannya bahawa dia telah mengganggunya secara seksual.

Azimah berkata, kedua-dua pihak mempunyai hubungan luar nikah dan ini terbukti daripada perbualan mereka melalui mesej teks yang dikemukakan di mahkamah.

Laporan media pada 2019 menyebut, Kesavan dan Indrani masing-masing berusia 50 tahun, membuat laporan polis terhadap satu sama lain.

Dalam laporannya, Indrani mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual yang dilakukan Kesavan sejak Disember 2018.

Sementara itu, Kesavan mendakwa Indrani menyebabkan dia mengalami gangguan mental dan trauma.

Azimah, dalam penghakiman itu juga berkata, ketika Indrani disoal balas mengenai kata-kata asmaranya (mesej teks) dengan Kesavan, dia cuba berhujah bahawa itu hanya “sandiwara” dengan persetujuan dan pengetahuan suaminya.

Katanya, tiada suami yang mempunyai harga diri akan membiarkan isterinya menghina perkahwinan dan keluarga selama bertahun.

Azimah berkata, pertukaran mesej itu juga mendedahkan bahawa Indrani dan Kesavan telah terlibat dalam perancangan menipu untuk mengelak dikesan oleh pasangan masing-masing.

Hakim berkata, ketika tahap kesedaran dan pendidikan untuk wanita terhadap gangguan seksual semakin kritikal, adalah sesuatu yang sangat menggerunkan bahawa Indrani akan secara melulu menggunakan “kad gangguan seksual” sebagai senjata untuk menyembunyikan “tingkah laku berahinya”.

Begitupun, Azimah berkata, adalah sesuatu yang “menjijikkan” bagi Kesavan untuk menepis penipuannya sendiri dengan menggambarkan Indrani sebagai penyerang seksual dan penggoda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.