`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 31, 2022

Tabik hormat untuk nasi lemak

 

“Sumpah Pemuda” antara tonggak utama dalam sejarah pergerakan kemerdekaan Indonesia. Ikrar itu dilafazkan pemuda-pemudi Indonesia pada 28 Okt 1928 di Batavia (sekarang Jakarta), dan ia dianggap pembakar semangat serta cita-cita Bangsa Indonesia. Sejak itu, Indonesia memperingati Hari Sumpah Pemuda setiap 28 Okt.

Bagi Goenawan Mohamad, wartawan dan penulis terulung Indonesia, setiap 28 Okt beliau teringat soto. Ya, soto – makanan kegemaran di Indonesia, Malaysia, juga Singapura.

Dalam Catatan Pinggir, iaitu kolumnya dalam majalah Tempo, Goenawan pada Oktober 2005 menulis: “Hari itu (28 Okt) di tahun 1928, ketika para pemuda menyatakan bersumpah untuk memiliki ‘satu nusa, satu bangsa, dan satu bahasa’ tak terdengar ada kesepakatan untuk punya ‘satu soto, soto Indonesia’.”

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Lantas ada bermacam-macam soto di Indonesia. Ada Soto Bandung, soto Batawi, soto Kudus, soto Madura, dan kata Goenawan, “seterusnya dari barat sampai ke timur, berjajar soto-sotolah Indonesia.”

Tulis beliau lagi, seseorang yang sejak kecil diberi makan oleh ibunya soto bersantan gaya Bandung, tidak akan mudah suka soto Madura misalnya.

Artikel 14 perenggan itu (setiap perenggan agak panjang) amat menarik dan mempersonakan. Saya merumuskan penulisan itu sebenarnya meraikan “kepelbagaian dalam Indonesia yang satu”.

Dalam konteks Malaysia, saya teringat nasi lemak. Tidak berapa lama dahulu (2019 kalau tak silap saya), ada usaha menuntut nasi lemak diiktiraf sebagai makanan kebangsaan Malaysia. Makanan rasmi. Kalau bunga raya boleh diangkat sebagai bunga kebangsaan dan Proton menjadi kereta nasional, mengapa tidak nasi lemak, tanya penganjur.

Usaha untuk meraih sokongan dijalankan menerusi petisyen dengan mengumpul tandatangan rakyat. Saya tidak tahu berapa jumlah yang berjaya dikumpul dan apa jadi dengannya. Apa pun, bagi saya, nasi lemak sememangnya makanan kebangsaan. Rakyat tanpa mengira bangsa suka nasi lemak, khususnya sebagai sarapan. Kadangkala makan “extra” menyebabkan ramai terpaksa “skip lunch” kerana kekenyangan. Nasi lemak dihidangkan juga pada waktu malam, untuk “dinner” hingga “supper”.

Orang Melayu memasaknya (ini tradisi meskipun sejak kebelakangan ini ada juga orang bukan Melayu yang menyediakannya), orang Cina, India, rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak menikmatinya.

Roti canai, nasi kandar, nasi briyani, nasi ayam dan nasi daun pisang, walaupun buatan Malaysia dengan ciri kemalaysiaan, tetapi ada elemen atau unsur “luaran”. Ertinya, ia bukan asal Malaysia berbanding nasi lemak.

Sememangnya nasi lemak milik kita. Malaysia “original”, walaupun disediakan juga di Singapura dalam kalangan orang Melayu republik itu. Bagaimanapun, Singapura tidak mendakwa nasi lemak asal mereka. Tidak seperti “chili crab” dan “Hainanese chicken rice” yang mengakibatkan saudara Cina kita bertikam lidah dengan orang Cina Singapura mengenai asal usul kedua-dua masakan itu.

Nasi lemak asal Malaysia tidak dipertikaikan. Setiap ramuan semasa menyediakan nasi lemak berkait rapat dengan setiap bangsa. Nasi, ikan bilis, telur, kangkong dan timun, semua bahan yang digunakan juga dalam makanan rakyat pelbagai bangsa. Tetapi “menerusi” nasi lemak, semua ramuan itu digembleng untuk mencipta satu hidangan istimewa. Nasi ditanak dengan santan, halia, daun pandan. Telur direbus. Kacang tanah digoreng. Begitu juga ikan bilis, dan ikan bilis digunakan juga bersama cili dan bawang untuk sambal.

Setiap satu mempunyai peranan tersendiri. Semuanya digabung, seirama, dan senada. Maka, terciptalah nasi lemak yang menyelerakan dan menawan hati. Tidak dilupakan peranan daun pisang pembungkus.

Kalau terlebih cili, sambal terlalu pedas jadinya. Mungkin membakar lidah dan memedihkan perut. Jika telur tidak direbus mengikut jangka waktu betul, hasilnya terlalu cair. Ikan bilis dan kacang, jika tidak sempurna digoreng akibatnya pahit. Pahit juga rasanya, jika timun tersilap pilih.

Tidakkah itu mengingatkan kita akan negara ini? Dengan rakyatnya berbilang bangsa dan agama, setiap orang mempunyai peranan masing-masing, “compliment each other” serta bergabung tenaga dalam harmoni demi mewujudkan sesuatu yang hebat?

Oh! Ada ayam goreng, paru, rendang, sotong sebagai sajian sampingan untuk melazatkan lagi nasi lemak. Bolehkah ini dilihat ibarat elemen lain yang memperkuatkan negara?

Ada orang kata (mungkin “tuduh” lebih sesuai) bahawa makan nasi lemak bukan makanan sihat. Boleh buat kita lemah, dakwa mereka. Setidak-tidaknya buat kita mengantuk dan malas, tuduh mereka. Sebab nasi ada santan, kononnya. Mengarut, kata seorang rakan yang pakar dalam soal kesihatan. Kata si pakar, nasi beri kita karbohidrat, telur dan ikan bilis ada protein, timun dan kangkung ada serat, dan kacang pula beri lemak. “A complete dish,” kata kawan saya.

Setiap ramuan ada kekuatan, cuma semua perlu diimbangi. Mesti ada kesaksamaan. Sesuatu yang berlebihan sememangnya tidak bagus. Bukankah keterlaluan dalam apa jua bentuk dan tujuan tidak elok?

Seperkara lagi, tentu ada ulat, lalat, tungau hijau yang menghurung dan datang menghinggap. Jangan biar nasi lemak dirosakkan si pengotor dan pembawa penyakit.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia. 31 Ogos 2022. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.