`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 31, 2022

Sudirman – penyanyi berjiwa patriotik tiada galang ganti, lagu kekal jadi siulan

 

Sudirman adalah penghibur kesayangan ramai yang sangat berjiwa patriotik dan berjaya menghidupkan nilai patriotik melalui lagu, kata peminatnya, Azhar Md Isa.

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah 30 tahun penghibur nombor satu Asia, Sudirman Arshad meninggal dunia, lagu patriotik Allahyarham khususnya Tanggal 31 terus menjadi siulan dan wajib berkumandang setiap kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan.

Selain itu, lagu Warisan dan Tegakkan Bendera Kita, turut meniti di bibir dan menjadi dendangan anak kecil sehingga golongan dewasa.

Begitulah kuatnya aura Sudirman yang pernah dinobat sebagai Ikon Patriotik negara, selepas acap kali menampilkan semangat kenegaraan dalam lagu, imej dan percakapannya.

Peminat fanatik Sudirman masih ramai, antaranya Azhar Md Isa, 51, yang mengikuti perkembangan artis itu sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia begitu muda, 37 tahun.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Arwah abang Sudir ini sangat patriotik dari segi gaya dan penampilannya.

“Sebab dia nak semarakkan semangat patriotik kepada peminatnya yang berbilang bangsa dan menunjukkan kepada semua tanpa kemerdekaan, siapalah kita,” kata pekerja syarikat percetakan itu kepada FMT.

Azhar Md Isa masih menyimpan gambarnya bersama Sudirman yang diambil ketika sebuah konsert.

Sudirman kerap muncul dalam persalinan bertemakan bendera Malaysia, dalam konsertnya terutama menjelang Hari Kemerdekaan.

Ketika memenangi Anugerah Penghibur Terbaik Asia pada Salem Music Awards Festival di Royal Albert Hall, London pada 1989, Sudirman turut memakai baju bertemakan bendera Malaysia.

Anak kelahiran Pahang itu turut mencuri tumpuan apabila tampil di Majlis Penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka, dengan memakai baju bendera sepanjang 120m, yang kini tersimpan rapi dalam jagaan Arkib Negara.

Azhar turut menunjukkan kepada FMT beberapa koleksi barangan peninggalan Sudirman yang disimpan termasuk beberapa keping surat tulisan penyanyi itu kepadanya.

“Bila kita hantar (surat) dia akan membalas dalam beberapa minggu. Dia akan menjawab segala persoalan yang kita kemukakan dalam surat tersebut.

“Pertama kali dapat surat, saya rasa amat gembira. Saya tahu arwah abang Sudir ramai peminat dan ramai yang menulis surat, tapi pada masa sama, dia masih mampu membalas semua (surat) peminat dia. Dia akan kepilkan beberapa keping gambar dia secara peribadi dan ditandatangani Sudir sendiri,” kata peminat setia Sudirman itu.

Koleksi barangan berkaitan Sudirman yang dimiliki Azhar Md Isa dipamerkan di Galeri Sudir, Tingkat 2, Fahrenheit 88, Bukit Bintang, sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Azhar masih tidak boleh lupa bagaimana Sudirman menegurnya terlebih dahulu pada sebuah konsert, menunjukkan betapa penghibur kesayangan ramai itu mengenali dan menghargai peminatnya.

“Waktu itu, abang Sudir ternampak saya dan dia sendiri menegur dan bersalam dengan saya.

“Dia sangat mengenali peminat. Dia tahu siapa peminatnya. Dia sangat mengenali siapa yang dia jumpa pada masa itu. Sebelum kita tegur dia, dia yang tegur kita dulu,” kongsinya sambil berkata Sudirman penyanyi berjiwa patriotik yang tiada galang ganti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.