`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 29, 2022

Avatar: Mitos baharu James Cameron

 

Bagaimanakah menutup sebuah karya klise? Menghiasinya dengan ketelitian, kecermatan, dan memastikan setiap keterperincian hingga melupakan khalayak bahawa ia hanyalah ‘sesuatu yang biasa’. Itulah formula Avatar: The Way of Water. Bahkan, untuk memastikan Cameron bebas mengincah dan mengerjakan karya itu semahu-mahunya, satu latar baru; justeru plot rencam yang segar diperlukan.

Maka demikianlah yang dilakukan oleh James Cameron, memindahkan magis hutan Pandora dari Avatar (2009) kepada buana laut Metkayina. Makanya, sekuel Avatar yang seharusnya terbit pada 2014 dikerjakan dengan penuh cerewet menganjur sehingga 2022 (sebahagiannya lantaran memastikan waktu tayangan yang tepat selepas pandemik).

Untuk mereka yang menonton Avatar: The Way of Water (2022) tanpa benar-benar mengetahui apa yang berlaku dalam Avatar (2009), plot siri kedua ini mungkin sedikit membingungkan meski sebetulnya Cameron memilih untuk menulis sesuatu yang berganjak sama sekali dari episod pertama. Untuk menutup karya biasa ini supaya menjadi luar biasa – dengan bajet USD350–USD460 juta – Cameron menaiktaraf pelbagai teknologi efek khas untuk sinema melongokan. Mujur ia pulang modal, kerana sudah mengutip lebih 955 juta US Dolar sehingga reviu ini ditulis.

Avatar: The Way of Water, sekuel kedua sebetulnya meneruskan tema kegemaran Cameron, fiksyen sains berbalut fantasi dengan pertanyaan mudah; jika kita didatangi kuasa syaitani apakah kita akan bersembunyi atau mendepaninya? Tema sama disoroti dalam Aliens (1986), The Abyss (1989), The Terminator (1984), dan The Terminator 2: Judgement Day (1991). Cumanya, dengan Avatar, sesuai dengan harapan agar Hollywood ikut bersuara terhadap kekuasaan Amerika, terdapat juga tema sampingan pemerkosaan environmentalisme dan anti-kolonialisme (perhatikan ini tema kegemaran kilang filem Amerika sekarang ini yang turut dieksploit siri Wakanda).

Avatar: The Way of Water bermula dengan gita suci dan penampilan Neteyam, anak sulung Majake atau Jake Sully (lakonan Sam Worthington) dan Neytiri (Zoe Saldana). Sedekad berlalu sejak serangan ‘Orang Langit’ atau manusia ke atas Pandora, sebuah planet yang menyamai bumi, dan sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup manusia. Jake kini penghulu Omaticaya, dengan tiga orang anak iaitu Neteyam (diperlihatkan sebagai pahlawan), Lo’ak (anak kedua yang disaran sebagai bermasalah), Tuk (anak perempuan bongsu manja), dan Kiri iaitu anak perempuan yang dilahirkan dari avatar lakonan luar biasa Sigourney Weaver (yang nyaris tidak dikenali). Juga terdapat Spider, anak lelaki Kolonel Miles Quaritch (lakonan Stephen Lang) yang tertinggal di Pandora kerana masih kecil.

RDA, tentera bumi kembali untuk menjajah. Ketibaan ‘Orang Langit’ dengan kapal angkasa mendarat membakar hutan Pandora ternyata membawa kemusnahan. Ketibaan tentera RDA kali ini dengan avatar Na’vi yang ditanam minda dan pengalaman askar-askar RDA sebelumnya yang telah mati. Ia bertujuan untuk membakar semangat mereka menentang Jake, dan pengikutnya. Setahun berlalu, kita dibawa kepada perang gerila Jake ke atas RDA, yang mana dalam satu pertempuran mengakibatkan Spider diculik oleh Quaritch (membawa kepada konflik ayah-anak).

Jake terpaksa membuat pilihan demi keluarga, meninggalkan Pandora, menanggalkan status penghulunya dan memohon suaka di negeri laut, merayu ihsan ‘Orang Terumbu’ di Metkayina. Mungkin Cameron terbuntu di Pandora maka untuk sekuel kedua, dia perlu dimerdekakan dari belantara Pandora. Di sini kita diperkenalkan dengan Tonowari (lakonan pelakon New Zealand, Cliff Curtis) dan isterinya, Ronal yang dilakonkan dengan cemerlangnya oleh Kate Winslet, iaitu raja dan permaisuri dunia laut.

Plot menjadi kompleks dan rencam (meski stereotaip) dengan perbalahan adik-beradik, keberangan bapa iaitu Sully dan Tonowari oleh kerenah anak-anak, pengungsian anggota keluarga kerana rajuk; disudahi dengan pertempuran epik di laut antara RDA dan ‘Orang Terumbu’ bersulamkan kegilaan segelintir manusia memburu haiwan semacam paus (tulkun) untuk mendapatkan amrita (penawar anti tua untuk manusia). Filem mengalir lebih tiga jam suku untuk ini sahaja.

Di sinilah kegilaan dan obsesi Cameron selaku pengarah mengerjakan kesan khas luar biasa samudera dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan laut yang melongokan ikut diperagakan demikian halus dan penuh bibit, gara-gara untuk membawa unsur kekaguman. Plot biasa yang disembunyikan efek khas itu mujur sekali dibantu lakonan menjadi-jadi Winslet. Meski hadir sebentar (penggambaran beliau hanya sebulan) Kate nampaknya mencurah sepenuh dedikasi untuk karektor ini termasuk belajar menyelam (dan memegang rekod penggambaran dalam air dengan menahan nafas selama tujuh minit!) membolehkan ia mencuri setiap adegan yang diisi olehnya.

Winslet bahkan mengaramkan Saldana sebagai protagonis. Selain itu, Jack Champion sebagai Miles Quaritch Socorro (aka Spider), anak lelaki remaja Quaritch yang lahir di Pandora akan mempunyai masa depan cerah dalam dunia filem.

Aspek lakonan hebat ini sebetulnya memang mencabar buat pelakon konvensional seperti Winslet yang kini perlu menggunakan skil untuk lakonan P Cap (atau performance capture). Dalam bentuk atau pendekatan lakonan P Cap ini, rakaman pergerakan tubuh, suara, mimik muka dalam karakter animasi atau virtual akan dilakukan sebelum ‘lakonan langsung’. Sejak efek khas menguasai filem seperti yang diperlihatkan dalam Lord of The Rings, dan Planet of the Apes; pelakon yang mengenakan kostum khas tertentu perlu membiasakan diri menjadi watak yang sama sekali bukan manusia, dan dalam kes Avatar: The Way of Water, selaku makhluk asing yang tidak wujud dan dijelmakan menurut kehendak karyawan.

Makanya secara real, pelakon akan kelihatan bercakap dengan dinding (meski di dalam filem kelak dinding itu akan di tampil sebagai pohon suci).

Avatar: The Way of Water sebetulnya sebuah karya klise. Punya klise Cameron malah mengitar semula beberapa formula dalam Titanic. Pun kali ini, seperti kali sebelumnya, beliau berjaya menjual maha sinematografi dengan adegan tempur yang agam, dikelepet pesan supaya berhati-hati terhadap ketamakan manusia. Cameron sebetulnya sebagai karyawan sedang mencipta mitos baharu. Ia ingin menjadi nama yang disebut. Ia mahu meninggalkan legasi ini.

Sungguh luar biasa, mitos ciptaan Cameron ini akan melekat dalam dunia filem, dan generasi mendatang. Seperti mana di tangan Cameron pernah unggul Alien dan Terminator, beliau melakukan lagi dengan Avatar, makhluk biru yang amat mementingkan emosi, kasih sayang, dan semangat kekeluargaan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.