`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, December 30, 2022

Nancy arah JKM sedia laporan terperinci budak maut didera

 

Nancy Shukri berkata JKM akan menyediakan laporan lebih terperinci berhubung kronologi, sejarah serta setiap perkembangan kes penderaan itu.

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarahkan segera menyiasat dan menyediakan laporan terperinci berhubung kes kematian kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera di Johor, Isnin lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menerusi kenyataan berkata, JKM akan menyediakan laporan dengan lebih terperinci berhubung kronologi, sejarah serta setiap perkembangan kes itu.

“Polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini dan saya memberikan jaminan bahawa KPWKM serta agensi bawahnya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut,” katanya.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata kanak-kanak berusia empat tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail sejak 23 Dis selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, sebelum meninggal dunia, Isnin lalu.

Merujuk insiden itu, Nancy memaklumkan KPWKM akan meneroka segala kemungkinan untuk memperkemas faktor pencegahan, termasuklah seperti keperluan hukuman lebih tegas dan berat kepada pesalah kes dera.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kes penderaan sebegitu tidak berulang di samping pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam memberi jagaan terbaik kepada kanak-kanak.

“Selain kecederaan fizikal, kes penderaan kanak-kanak boleh menyebabkan implikasi kesihatan mental berpanjangan seperti kemurungan, lebih-lebih lagi bagi mangsa kes yang tidak dilaporkan dan kekal tersembunyi,” katanya.

Nancy turut memaklumkan penilaian dasar semasa membabitkan kanak-kanak dan membawa penambahbaikan menyeluruh termasuk dari aspek perlindungan, pemantauan serta pembangunan sosial kanak-kanak di negara ini adalah keutamaan beliau.

Beliau menyeru orang ramai yang mengetahui tentang penderaan kanak-kanak supaya tidak mengabaikannya dan memaklumkan kepada KPWKM melalui Talian Kasih di 15999 atau nombor WhatsApp 019 2615999 atau menghubungi pihak berkuasa berdekatan dengan segera.

“Bersamalah kita memainkan peranan dalam mencurahkan kasih sayang dan memberi perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak demi kesejahteraan keluarga, keharmonian masyarakat dan kemajuan negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.