`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 30, 2022

Kenapa Umno benci DAP?

 

Bolehkah disimpulkan bahawa Umno sekarang sudah tak benci DAP (kalau tak sayang pun), tak seperti dulu-dulu? Masa ini Umno bersama DAP dalam kerajaan perpaduan lantas menjalin peraduan. Orang kuat Umno sekarang duduk dalam Jemaah Menteri bersama orang kuat DAP. Pada PRU15 lalu, Umno menang hanya 30 kerusi tetapi dapat enam jawatan menteri manakala DAP yang menang 40 hanya dapat empat.

Kata Presiden Umno, Zahid Hamidi, DAP sebenarnya tidaklah buruk seperti digambar dan digembar-gembur sebelum ini. DAP katanya beri jaminan akan akur dan patuh terutama mengenai empat perkara penting yang digariskan dalam Perlembagaan, berkaitan Islam, keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja, dan Bahasa Melayu.

Sebenarnya sudah sekian lama DAP berikrar demikian, terbaharu pada 2008 apabila ia menandatangani perjanjian menjunjung keempat empat perkara itu bersama PKR dan PAS. Anehnya parti itu terus diserang Umno.

Lebih aneh PAS lagi bisa serangannya, pada hal mereka pernah menandatangani perjanjian dengan DAP, tidak seperti Umno.

Jadi adakah orang Umno bersetuju atau menerima penjelasan Zahid? Pastinya ada yang terima dan ada yang tidak, cuma tidak dapat dipastikan kumpulan mana lebih besar.

Dari sudut kerjasama politik dengan DAP, Zahid akui ada bantahan daripada anggota majlis kerja tertinggi Umno.

“Daripada semua anggota hanya dua anggota yang tidak setuju,” kata beliau seperti dipetik Berita Harian tempoh hari. MKT Umno dianggotai tidak lebih 25 orang yang dipilih pada pemilihan parti, menerusi Perhimpunan Agung Umno, dan tidak lebih 12 yang dilantik presiden.

Beralih kepada pertanyaan yang kerap muncul: mengapa Umno selama ini benci DAP?

“Tun Mahathir yang mendoktrinisasi kami selama 22 tahun dan memberi gambaran yang sangat negatif terhadap parti itu,” dakwa Zahid. Pada Mei 2017 sebuah laman pro-Umno mengingatkan Mahathr beliau antara pemimpin parti yang menabur benih kebencian terhadap DAP, sekali gus “mendidik” Umno membenci DAP.

Ketika menjadi pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir mengakui bertanggungjawab sedikit sebanyak semasa menjadi presiden Umno membuat parti itu memusuhi DAP kerana yakin ia pernah jadi parti ekstrem.

“Sebenarnya DAP bukan parti perkauman Cina. Ia parti berbilang kaum walaupun majoriti ahlinya Cina. DAP banyak menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuaratnya. Lagu parti juga dinyanyi dalam bahasa kebangsaan. Sebagai anggota PH, DAP secara terbuka menandatangani penyataan sokongan Pakatan Harapan kepada Perlembangaan,” Mahathir menulis dalam blognya pada 3 Mei 2017.

Sama atau hampir sama apa yang dikatakan Zahid dan Mahathir mengenai apa sebenarnya DAP.

Cuma Hadi Awang lain bunyinya. Presiden PAS itu terus-menerus menuduh DAP parti perkauman, komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan sebagainya. Itu Hadi sekarang. Hadi dahulu lain pula bunyinya.

Tentu ramai termasuk ahli PAS tidak lupa Hadi pernah memuji DAP, antaranya ketika diwawancara Astro Awani pada 28 Mei 2018. Menurut Malaysia Gazette, pada wawancara itu Hadi memuji tindakan DAP yang “matang apabila tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang berisiko menjejaskan keharmonian umat Islam selepas PRU14.”

Hadi juga dipetik berkata itu perkembangan positif apabila parti komponen PH tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyentuh hak masyarakat Islam. Lalu beliau menyatakan, “tidak bermasalah untuk PAS bekerjasama sekiranya veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng (ketika itu) menghulurkan tangan” kepadanya.

Diulangi PAS sebenarnya pernah bekerjasama dengan DAP. Pada 1990 ketika menjadi ahli gabungan yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah ia menjalin hubungan dengan DAP, yang menganggotai gabungan yang dipanggil Gagasan Rakyat. Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat diterajui Tengku Razaleigh Hamzah, yang ketika itu presiden parti serpihan Umno, Semangat 46.

Kedua-dua gabungan itu ditubuhkan untuk menumbangkan BN pimpinan Mahathir pada pilihan raya 1900 tetapi gagal. Apabila Barisan Alternatif ditubuhkan pada 1998, PAS duduk bersama DAP dan PKR. Begitu juga semasa Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 2008.

Waktu itu, PAS khususnya Hadi kerap memuji DAP. Tidak perlu saya huraikan pujian Hadi ke atas DAP. Cuma teringat sebuah lagu lama berjudul “Tanda Kasih” nyanyian Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat, dan versi baharunya dendangan Uji Rashid dan Hail Amir. Lagu bermula dengan penyanyi wanita berkata “kalau hati sudah suke semua indah saje”.

Meneliti kata-kata Zahid, Mahathir, dan Hadi “at one time or another”, dirumuskan memang benar DAP bukan parti perkauman. Itu rumusan saya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.