KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan impiannya untuk melawat sebuah negara Palestin yang bebas.
Hasrat itu dikongsi beliau apabila dijemput sendiri oleh Mahmoud Abbas melalui panggilan telefon bersama presiden Palestin itu yang menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai perdana menteri ke-10.
“Sudah pasti, saya menantikannya. Saya tidak pernah ke sana dan menjadi impian saya untuk ke sana dan khususnya ke negara Palestin yang bebas … insya-Allah,” katanya.
Video perbualan mereka dikongsikan di Facebook Anwar.
Dalam perbualan selama enam minit itu, Mahmoud turut menyatakan penghargaannya terhadap sokongan Anwar terhadap rakyat Palestin.
“Saya berterima kasih atas pendirian anda dalam isu-isu Palestin dan anda memberi sokongan kepada Palestin di mana saja khusus dalam komuniti antarabangsa.
“Kami mengagumi bantuan, pendidikan dan latihan daripada anda,” kata Mahmoud.
Anwar dalam perbualan tersebut berkata, Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan negara itu.
Mahmoud berkata, Palestin akan membuka semua pintu kerjasama perdagangan dan hubungan ekonomi dengan Malaysia. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.