`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 18, 2022

Banjir: Mangsa di Kelantan, Perak meningkat

 

Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Perak meningkat manakala Johor mencatatkan penurunan dan Terengganu kekal 23 orang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bilangan mangsa banjir di Kelantan dan Perak dilaporkan meningkat namun angka itu menurun di Johor dan Terengganu pula kekal dengan 23 orang.

Di Kelantan, seramai 1,584 mangsa daripada 490 keluarga di Pasir Mas ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi berbanding 1,508 orang daripada 467 keluarga petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, 712 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (28), SK Gual Periok (516), Masjid Mukim Padang Licin (57), PPS Putat Tujoh (106) dan SK Kubang Kual (165).

Manakala di Perak pula, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di satu-satunya PPS yang beroperasi iaitu SK Sungai Tiang Darat malam ini adalah seramai 16 orang daripada lapan keluarga berbanding 15 mangsa.

PPS itu menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sungai Belakang, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Nipah Darat, kata Sekretariat JPBN.

Sementara itu, di Johor, tiga PPS masih beroperasi di Segamat iaitu Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya yang menempatkan 75 orang daripada 21 keluarga setakat jam 8 malam, berbanding 91 orang melibatkan 24 keluarga pada jam 4 petang.

Semua mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya manakala JPBN memaklumkan PPS Sekolah Agama Pangkalan Batu di Mersing telah ditutup pada jam 5 petang semalam.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa yang masih berada di PPS SK Atas Tol di Kuala Terengganu iaitu PPS tunggal yang beroperasi ketika ini pada malam ini kekal 23 orang daripada enam keluarga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di lapan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor, yang dijangka berlaku hingga 20 Dis ini.

Jabatan itu dalam kenyataan semalam, memaklumkan hujan yang sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Terengganu manakala hujan lebat berterusan diramalkan di Kelantan dan Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi, Cameron, Lipis serta Jerantut.

MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.