`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 8, 2022

Betulkah Umno sudah berubah?

 

Ketika melakukan kerja lapangan sempena PRU15 untuk ISEAS-Yusof Ishak di beberapa negeri di Semenanjung baru-baru ini, seperkara yang demikian menjolok mata dan rasa ialah penerimaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno adalah amat buruk. Dalam banyak keadaan, beliau dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif khususnya korupsi. Beberapa badan tertentu yang ikut melakukan kerja lapangan, mereka turut berkongsikan dapatan sama.

Untuk nota, responden saya adalah 94 orang dengan 71 orang merupakan lelaki, manakala 23 yang lain adalah wanita. Responden paling senior adalah berusia 67 tahun, sedangkan yang paling muda adalah berusia 19 tahun. Semua mereka adalah berbangsa Melayu.

Daripada 94 orang yang saya temui ini, hampir semua menolak Zahid kecuali seorang. Dalam masa sama saya juga melakukan survei dalam talian di mana 310 responden turut bulat-bulat menolak Zahid.

Ini menggambarkan demikian buruknya prestasi Umno atau Barisan Nasional ketika PRU15. Malah seorang pengundi di Kampung Baru memberitahu saya, beliau melihat Najib Razak ‘lebih elok’ berbanding Zahid. Meskipun rata-rata pengundi boleh menerima Anwar Ibrahim, tetapi tiada siapa tatkala itu bersedia mencerna gandingan Anwar-Zahid. Sudah tentu pengundi biasa tidak melihat apa yang kami penganalisis dan ahli akademik lihat iaitu tiadanya sebarang parti dominan dapat membentuk kerajaan.

Akan tetapi, juga untuk nota; sebahagian besar daripada mereka yang ditanya dan dibawa berbincang ini, 57 orang responden bersedia melihat parti-parti bawah Pakatan Harapan (khusus DAP) dan Umno bekerjasama. Akan tetapi mereka juga mengisyaratkan dengan begitu jelas; kerjasama itu hendaklah bukan dengan Zahid. Ini menunjukkan pengundi atau orang Melayu sangat berhati-hati, berwaspada dan amat cermat dalam menerima Zahid, dan Umno.

Keputusan PRU15 meskipun memihak kepada PH, ia tetap tidak begitu menyeronokkan kerana PH yang membawa pelbagai agenda dan tawaran reformasi akhirnya terpaksa membentuk kerajaan (dinamakan perpaduan) dengan Umno, atas saranan Istana Negara.

Meskipun saya mengakui keputusan FGD sebelum pengundian itu (ketika dua minggu berkempen) tidak menjelaskan sentimen mutakhir masa kini, ia tetap sedikit sebanyak menyerlahkan sikap pengundi yang ‘menekan brek kecemasan’ apabila ada sebarang usaha melibatkan Umno.

Oleh itu, nasihat saya adalah jika kerajaan perpaduan ini ingin berjaya menempuh lima tahun tanpa gangguan di mata rakyat, yang perlu ‘perform’ bukan sangat DAP. Namun berjaya gagal kerajaan perpaduan ini terletak di pundak Umno. DAP memang parti berorientasikan keputusan cemerlang. Kegagalan Umno ini akan menjadi lauk tambah buat PAS.

Tentulah ini amat aneh kerana prestasi Anwar kini di tangan Umno, dan Zahid. Tentu sahaja Umno bercita-cita besar untuk memulihkan citra mereka dan merebut kembali penerimaan orang Melayu. Namun petunjuk ketika kerja lapangan di atas mengisyaratkan ia tidak senang.

Saya ingin menyarankan Umno supaya tidak menenggek agenda dan tawaran reformasi PH. Gambaran yang diberikan oleh responden dapat dibaca yang mereka amat tidak percaya dengan Umno (dan keputusan PRU15 adalah bukti nyata). Umno tidak semestinya diterima dengan hangat hanya kerana mengaku sudah berubah, bertaubat dan kini ingin melakukan perubahan bersama PH. Dalam erti kata lain, jika Umno mahu diterima, ‘parti keramat’ itu hendaklah betul-betul berubah. Umno perlu membuktikan mereka kini inginkan reformasi dan tentu yang paling komedi ialah Umno perlu ikut berjuang membanteras gejala rasuah.

Kebolehdayaan Umno untuk pulih hanya akan dapat dilihat selepas Perhimpunan Agung Umno awal tahun depan, dan dalam jangka masa panjang pada tindak-tanduk pemimpin Umno sepanjang lima tahun penggal pemerintahan kerajaan perpaduan ini.

Umno jangan yakin pengundi telah berubah sekelip mata dan menerima yang mereka kini telah insaf. Pilihan raya (tertangguh) di Padang Serai boleh menjadi petunjuk ketara bahawa Umno memang bukan lagi pilihan orang Melayu. PAS yang menang bergaya di banyak tempat memang tidak mempunyai ramai pemain yang bagus. Akan tetapi naratif diri suci mereka nampaknya ditelan ramai. Imej buruk Umno ini tentu boleh menghambat PH dan segala usaha reformasi yang digigihi Anwar, perdana menteri ke 10. Bahkan nama buruk Zahid mungkin mencemarkan kerja-kerja PH kelak.

Oleh itu PH jangan ghairah menawar kerjasama dengan Umno di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka, dengan alasan semata-mata kerana ada ‘kerajaan perpaduan’ di peringkat persekutuan, di Pahang dan Perak; maka Selangor akan membuka pintu kepada penyertaan Umno dalam kerajaan negeri. Pengundi amat matang, dan begitu memahami kerjasama di Perak dan Pahang misalnya adalah kerana formula persekutuan.

Kerana ini jugalah saya ingin menjelaskan bahawa meletakkan Ahli Parlimen atau senator Umno selaku timbalan menteri di kementerian yang strategik seperti katakan, Kementerian Kewangan amat berkemungkinan sekali membawa kepada kebencian dan rasa tidak senang rakyat kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Beliau perlu sangat menghitung letak duduk setiap pemain. Kini pun, Tengku Zafrul sedang dihakimi.

Kejayaan PH dalam kerajaan perpaduan ini mungkin sangat bergantung kepada persembahan Umno. Jika pengundi yang cekatan, mereka akan melihat (pemimpin) parti manakah yang mengisi kementerian tertentu dan menilai kemudiannya markah baik buruk kementerian tersebut. Parti akan beroleh skor seterusnya. Sebagai misalan, DAP akan dinilai menerusi Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan. Manakala Amanah pula akan diperhatikan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diketuai oleh Mohamad Sabu. Kerana itulah DAP dan Amanah mesti bergotong-royong saling menolong satu sama lain di kementerian yang dipimpin tokoh mereka.

Umno lucunya akan dinilai menerusi Tengku Zafrul (yang telah pun kalah di tangan Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor). Persepsi terhadap Tengku Zafrul kurang cantik. Pengundi tidak akan menilai prestasi Zahid.

Kembali kepada poin sebelum, saya yakin penyokong tegar PH akan menjangkakan pimpinan yang berwibawa sebagai ‘timbalan menteri Anwar’ di Kementerian Kewangan. Atau kementerian lainnya. Meletakkan pemimpin Umno di Kementerian Kewangan, tidak akan menyumbang mata cemerlang untuk PH di mata pengundi.

Pendek kata, Anwar kini meniti di titian sirat yang garisnya amat halus. Jika beliau berjaya menyudahkan, negara dan bangsa Malaysia akan menyanjung Anwar satu masa kelak sebagai negarawan hebat. Namun, jika Umno gagal berubah dan terus meminta-minta berebut tempat dan jawatan, pengundi sentiasa bersedia menghukum mereka.

Pengundi jarang rasional, mereka membuat keputusan spontan dan dalam hal PRU15 mengikut akal TikTok. Di situlah pula datangnya PAS, mencandu manusia dengan agama dan sentimen perkaumannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.