`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 27, 2022

Budak 4 tahun maut disyaki didera rakan kakak

 

Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua suspek berusia 15 hingga 37 tahun direman sehingga 31 Dis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

PETALING JAYA: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan maut dipercayai didera lima rakan kakaknya dalam kejadian di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata polis menerima maklumat daripada satu laporan polis oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang mengatakan mangsa pengsan di rumah dan dibawa ke klinik untuk rawatan, pada 6.45 petang hari berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

“Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu.

“Mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Kemudian dia diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga,” katanya menurut Sinar Harian.

Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas barang disyaki digunakan mendera mangsa, di sebuah rumah di Senggarang.

Menurutnya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak Jumaat, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 6.40 petang semalam.

“Pada awalnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

“Namun polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Kamarul Zaman memberitahu, semua suspek direman seminggu bermula Ahad sehingga 31 Dis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.