`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 2, 2022

Izinkan negara pulih

 

Imbas kembali Khamis 24 November 2022, apabila Anwar Ibrahim mengumumkan pada sidang media pertamanya selaku perdana menteri bahawa Isnin 28 November cuti umum. Jujur saya katakan saya agak kecewa.

Saya jangkakan, berdasarkan bermacam masalah dihadapi negara yang mesti diselesaikan, Anwar yang dilihat sebagai pembawa reformasi akan terus bertindak dan memupuk semangat bekerja keras dalam kalangan rakyat kerana negara sudah “ketinggalan dan hilang banyak masa”.

Tetapi Anwar mengambil langkah yang populis, lantas mengecewakan saya.

Kata wartawan veteran, A Kadir Jasin, menerusi Facebook: “OK lah sekali. Tapi janganlah banyak sangat cuti. Malaysia perlukan produktiviti.”

Sehari sebelum cuti umum berkenaan, yakni Ahad 27 November 2022, Anwar memanggil ramai pegawai tinggi kerajaan ke Putrajaya untuk menghadiri satu mesyuarat penting. Yang dimaksudkan ialah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang tentulah dipengerusikan beliau sendiri. Anwar menyifatkan mesyuarat itu perlu diadakan segera kerana terdapat keperluan mendesak mengenai kos sara hidup. Pada sidang media pertamanya setelah mengangkat sumpah jawatan yang disebut tadi, Anwar ada menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi “mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini”.

Oleh itu, wajar malah dialu-alukan apabila beliau mengadakan mesyuarat pada Ahad yang merupakan cuti am persekutuan dan tanpa menunggu Kabinetnya dibentuk. Anwar memuji komitmen penjawat awam yang hadir “pada hari mereka bercuti dan datang
ke mesyuarat berbekalkan data, angka, dan statistik mencukupi meskipun diberi notis singkat.”

Adakah mereka menyambung cuti setelah selesai bermesyuarat dengan perdana menteri? Mungkin boleh. Tetapi saya rasa tidak kerana mereka diberi tempoh dua minggu untuk melengkapkan tugasan yang diberi Anwar. Hasilnya mungkin tidak dapat dirasai serta-merta walaupun kita berharap sesuatu baik berlaku secepat mungkin. Apa pun ia satu permulaan yang memberangsangkan.

Tumpuan Anwar mesti atau wajib diberi kepada kemakmuran rakyat dan kemajuan negara. Pasti semua setuju. Negara sedang sakit. Rakyat sudah lama menderita akibat Covid-19, banjir besar dan ketidakstabilan politik. Masanya sekarang negara dipulihkan dan diizin dipulihkan.

Bagaimanapun ada pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak mahu saya mengulanginya disini. Ramai tahu apa yang saya katakan. Sebenarnya tuduhan demi tuduhan dilempar sebelum Anwar dilantik perdana menteri lagi. Ia ditingkatkan ketika usaha menubuhkan kerajaan sejurus selesai PRU15.

“Ketika kita sedang berusaha tubuh kerajaan perpaduan ada pula yang bercakap pasal 13 Mei dan Mageran. Jahat!” kata Kadir di Facebook. “13 Mei” merujuk rusuhan kaum 13 Mei 1969 manakala Mageran ialah singkatan Majlis Gerakan Negara yang mengurus tadbir Malaysia apabila darurat diisytiharkan berikutan peristiwa berdarah 13 itu.

Pelbagai tuduhan terus diluah sehingga ke hari ini. Ada yang membuat kenyataan yang boleh mengancam perpaduan harmoni rakyat berbilang kaum negara ini. Ada juga banyak komen yang kita baca atau ikuti menerusi media sosial. Ada yang “mencadang, menasihati, menyaran” perdana menteri membuat itu dan ini (ini tidak terjadi semasa Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob mula-mula dilantik sebagai perdana menteri dahulu).

Ada yang ‘rekomen’ siapa yang mesti dipilih untuk menganggotai Kabinet dan siapa yang tidak. Tidak dinafikan ada pencadang yang ikhlas tetapi naif untuk tidak tahu ada juga golongan yang nampak menyokong Anwar tetapi bertujuan membawa rebah.

Pembangkang atau pihak yang mengaku pembangkang tetapi percaya mereka yang patut memerintah, terus mempertikai status kerajaan yang ada sekarang. Dakwa mereka ini bukan ‘kerajaan perpaduan’ sebaliknya ‘kerajaan minoriti’. Saya tidak bercadang mengulas. Terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Bagi saya atau harapan saya ialah Anwar dan pasukannya tidak terganggu atau tersasar daripada memberi tumpuan utama iaitu mentadbir negara dengan baik dan membawa manfaat kepada rakyat. Namun sudah ada reaksi dalam kalangan orang Anwar akibat ‘diprovok’. Ini bermakna mereka sudah “distracted” daripada fokus yang mesti diberi keutamaan.

Ketika artikel ini ditulis Anwar belum mengumumkan anggota Kabinetnya. Kita tahu soal penubuhan Kabinet bukan mudah. Banyak yang mesti difikirkan dan diambil kira. Bukan niat saya mendesak. Hanya sekadar mengatakan sudah hampir dua minggu Anwar menjalankan tanggungjawab ‘berseorangan’.

Serangan dan tuduhan akan terus dilancarkan. Anwar dan pentadbiran akan terus diganggu-gugat. Oleh kerana cara ia dibentuk kerajaan perpaduan ini terdedah kepada pelbagai ancaman. Kata musuh, ini bukan kerajaan stabil.

Bagi saya sudah-sudahlah tu. Tidak suka Anwar dan kerajaannya tidak masalah. Begitu juga jika membencinya. Namun buat masa ini fikirkan negara. Izinkan negara pulih. Kerajaan yang ada ini sedang cuba memulihkannya. Itu bukan sahaja hasrat Yang di-Pertuan Agong malah rakyat.

Lima atau empat tahun daripada sekarang apabila PRU16 diadakan sila bertarung lagi untuk menumpaskan kerajaan Anwar. Sebelum itu tolonglah setuju untuk tidak setuju tetapi jangan keterlaluan dan tanpa menggunakan agama dan bangsa sebagai senjata. “Please play by the rules”.

Berdasarkan tinjauan atau pemerhatian rambang Anwar diterima baik ramai setakat ini. Kepada yang tidak setuju dengan pandangan ini, saya terima ketidaksetujuan anda. Kita juga mesti setuju untuk tidak setuju.

Banyak ‘nasihat’ yang diberi walaupun kadang kala ‘memeningkan kepala’ pada hemat saya timbul atas kepercayaan dan keyakinan terhadap perdana menteri. Ramai yang menaruh harapan Anwar dan pasukannya akan melakukan yang terbaik untuk negara. Jika tidak masakan banyak ‘nasihat’ diberi melalui media sosial kerana mereka tidak punya akses terus dengan perdana menteri (ini tidak terjadi semasa Muhyiddin dan Ismail mula-mula dilantik sebagai perdana menteri dahulu).

Seperti dikatakan tadi ada yang ikhlas memberi nasihat tetapi tidak dinafikan ada yang mempunyai muslihat. Saya sependapat dengan beberapa penganalisis dan ahli sains politik yang mengatakan jika pentadbiran Anwar memberi tumpuan terhadap soal urusan dan pentadbiran negara secara baik, melaksanakan reformasi atau perubahan yang kerap dilaungkan selama ini, serta membawa kebaikan kepada rakyat juga memupuk perpaduan antara kaum dan agama, ia akan diterima baik oleh rakyat. Malah disokong kuat dan disanjung.

Apabila sesebuah kerajaan disokong kuat dan disukai rakyat, tidak ada pihak atau parti politik yang berani mengganggu-gugat atau cuba menggulingkannya tanpa menggunakan peti undi. Sebaliknya ramai yang di luar akan mahu masuk. Ertinya mahu bersama-sama kerajaan untuk dipuji rakyat.

Kuasa rakyat kuasa penentu. Rakyat boleh pertahankan kerajaan. Kesimpulannya kerajaan mesti jaga rakyat dan rakyat akan jaga kerajaan.

Cukup setakat ini sebelum saya dituduh berkhutbah Jumaat pula. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.