`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 25, 2022

Jalan Batang Kali-Genting diperbesar, dibuka semula bulan depan

 

Amirudin Shari berkata, hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang akan dibuka semula bulan depan. (Gambar JKR)

SHAH ALAM: Jalan Batang Kali-Genting yang ditutup akibat tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan itu hasil perjumpaannya dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor semalam.

Beliau berkata, pembukaan jalan itu dijangka mampu membantu 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, terutamanya mereka yang bekerja di Genting Highlands.

“Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highlands untuk penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi kenderaan ringan saja yang boleh melaluinya.

“Kawasan itu ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan mengawal laluan tersebut,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan di tapak Stadium Shah Alam.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang sambutan ambang tahun baharu 2023 bagi menghormati mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Bagaimanapun, beliau tidak menghalang pihak lain, seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, mengadakan majlis sedemikian, tetapi ia perlu dibuat secara sederhana.

“Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat seperti yang dibuat tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan lain-lain.

“Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya.”

Mengenai Inisiatif Roda Darul Ehsan, beliau berkata, RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk 3,000 penghantar makanan yang akan menerima wang tunai RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.