PETALING JAYA: Perubahan kepimpinan tertinggi Umno andai berlaku pada pemilihan parti tidak menggugat kestabilan kerajaan sedia ada susulan parti itu sudah menandatangani perjanjian membentuk kerajaan, kata Nazri Aziz.
Ketua Umno Bahagian Padang Rengas itu, berkata sebagai “orang lama” dalam parti, beliau sendiri akan “memastikan” tidak akan berlaku pengkhianatan dalam kerajaan perpaduan jika berlaku perubahan pimpinan Umno.
“Saya tidak fikir kalau ada perubahan dalam Umno (selepas pemilihan parti), maka kita tidak akan bersama dengan PH (Pakatan Harapan), saya tidak fikir begitu kerana kita sudah membuat perjanjian.
“Jadi, kalau kata ada perubahan di Umno mungkin akan beri kesan kepada kerajaan, saya tidak fikir ia akan berlaku kerana pertama sekali kita sudah menandatangani (perjanjian) sebagai satu kumpulan bersama dengan PH,” lapor Berita Harian.
Nazri ketika mengulas lanjut, berkata pembentukan kerajaan hari ini dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“(Pembentukan kerajaan) dibuat atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, janganlah kita mengatakan mempertahankan institusi kesultanan, tetapi pada masa sama, titah Tuanku tak nak dengar.
“Tidak akan berlaku ketidakstabilan politik dan saya sebagai orang lama dalam Umno akan pastikan tidak akan berlaku pengkhianatan kepada perjanjian ini dan penderhakaan kepada kehendak Tuanku.
“Kita tidak akan membelakangkan keputusan PRU15 yang dikehendaki pengundi, yang meletakkan PH sebagai parti terbesar dalam PRU15,” katanya.
Pada 16 Dis, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, diterajui Anwar Ibrahim.
Gabungan itu membabitkan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.