Sejak era reformasi tercetus pada September 1998 di mana krisis politik bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir, ia mencetus protes besar-besaran rakyat. Protes datang dalam berbagai cara. Antara yang paling besar ialah demonstrasi jalan raya yang diadakan setiap hari.
Kemudian bilangan pesertanya semakin hari menjadi semakin ramai terutama pada hujung minggu. Mereka menunjuk perasaan meluahkan bantahan dan mengecam tindakan Mahathir. Sepanduk dan kain rentang yang bertulis kata-kata perjuangan menghiasi rapat umum.
‘Undur Mahathir!”, ‘Hidup Rakyat!’, dan ‘Reformasi!’ merupakan slogan yang sering dilaungkan para penunjuk perasaan.
Ketika itu internet masih belum meluas lagi. Tiada telefon pintar dengan capaian yang luas. Segala maklumat dirujuk pada bahan bercetak seperti akhbar mingguan dan risalah, juga menggunakan pita kaset, dan pita video. Itu cara maklumat disebarkan waktu itu memandangkan media arus perdana seperti TV dan suratkhabar menggelapkan semuanya. Selain risalah bercetak, para reformis mencetak kemeja T, pelekat, topi, dan selempang untuk dijual dan dipakai sebagai unjuk rasa.
Dengan menggunakan media cetak inilah satu lagi kaedah perlawanan digunakan. Seniman-seniman yang menggunakan kertas dan dakwat untuk berlawan menyemarakkan lagi semangat melawan. Sajak, lukisan, catan, kartun, dan karya grafik bertemakan protes muncul di medan perang membedil kerajaan. Seniman-seniman ini membuka satu lagi jalur perjuangan selain perhimpunan jalan raya dan penyebaran pita rakaman.
Penyair seperti Dinsman antara yang aktif melahirkan sajak dan puisi melawan. Sajak bertajuk “Macam Orang Gila” oleh Dinsman cukup popular waktu itu dalam mengkritik kepimpinan Mahathir.
Kemudian muncul aktivis persembahan seperti Hishamuddin Rais bersama anak-anak muda membikin teater seperti Tok Ampoo, Tok Sloo, dan lain-lain. Di pentas ceramah mereka dijemput membaca sajak-sajak mereka, mempersembahkan teater mereka.
Dalam bidang kartun pula, perlawanan kartunis Zunar menentang kerajaan Barisan Nasional tidak pernah pudar. Tahun-tahun awal reformasi banyak karyanya disiarkan di Harakah, akhbar mingguan milik PAS.
Kemudian Zunar menerajui akhbar Suara Keadilan. Di situ ruangan kartun politik diberikan luas untuk kartunis-kartunis muda yang sealiran mencurahkan karya. Antaranya Enot, Haili, Jonos, dan saya sendiri. Kemudian pasukan kartunis ini mengambil langkah lebih berani menerbitkan majalah kartun politik bulanan. Pada September 2009 muncullah majalah bertajuk Gedung Kartun isu pertama yang pada hari kedua ia berada di pasaran, pejabat penerbitan majalah tersebut diserbu Kementerian Dalam Negeri yang merampas dan kemudian mengharamkan penerbitannya.
Penerbitan tetap diteruskan bulan seterusnya dengan menggunakan tajuk “Isu Dalam Kartun Vol 1”, “Isu Dalam Kartun Vol 2”, dan “Isu Dalam Kartun Vol 3”. Tekanan yang diberikan kepada penerbitan ini cukup kuat malah pengedar dan penjual juga diberi amaran oleh pihak berkuasa agar tidak menjualnya. Jika engkar akan dikenakan tindakan undang-undang.
Penerbitan majalah ini gagal bertahan tetapi penerajunya Zunar terus berkarya walaupun beberapa kali ditangkap.
Seniman seni grafik, Fahmi Reza sehingga hari ini masih terus mengeluarkan karya satira yang menyindir penguasa. Berbeza dengan kartunis-kartunis lain yang dilihat memihak kepada Pakatan Harapan, Fahmi Reza ‘membahan’ keduanya sekali sama ada Barisan Nasional begitu juga Pakatan Harapan. Mahathir, Hadi Awang, Anwar, Lim Guan Eng semuanya menjadi mangsa Fahmi. Grafiknya menarik dengan menggunakan logo atau lambang tertentu, diselitkan dengan kenyataan lucu pemimpin politik tersebut. Karya satira Fahmi mendapat sambutan hebat dari peminat politik.
Fahmi Reza sendiri entah berapa kali naik-turun balai polis dan mahkamah dek kerana orang-orang yang tidak senang dengan karyanya melaporkan kepada polis.
Hari ini media sosial sudah tidak terkawal lagi perkembangannya. Banyak laman lahir dengan membawa karya-karya protes. Grafik, cantuman foto, dan dialog mengkritik kerajaan dan parti politik muncul dengan banyaknya. Begitu juga video di You Tube, Tik Tok begitu banyak sketsa, drama berbentuk satira politik muncul.
Seniman-seniman semakin berani menggunakan kemahiran dan bakat untuk mengkritik isu semasa dan perkembangan politik. Ini amat dialu-alukan kerana menunjuk rasa melalui seni lebih cepat menyerap dan menangkap. Satira lebih mudah sampai ke imaginasi rakyat sebab ia disampaikan dengan nada humor tetapi berbisa. Imej-imej ini lebih lama melekat dalam fikiran pembaca.
Karya para seniman sentiasa diperlukan untuk menjadi senjata mengkritik dasar dan pelan kerajaan. Pendek kata, seniman dan karyawan mampu menjadi ‘pembangkang’, mendidik rakyat melalui karya serta melahirkan karya yang mewakili suara rakyat. Kerana itulah seniman dan karyawan harus bebas dan tidak terikat menyokong mana-mana pihak dalam menyuarakan karyanya.
Seniman dan karyawan harus menjadi mata dan telinga rakyat, tidak bersekongkol dengan politik kotor, tidak mengampu, atau menyokong buta-buta sebaliknya harus berasakan bakat dan kemahiran yang dikurniakan kepada mereka tanggungjawab sesama manusia.
Seniman mesti menjadi wira bukan pembodek! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.