`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 10, 2022

Kawasan luar bandar perlu akses jagaan kesihatan lebih baik, kata Ahli Parlimen

 

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, iltizam politik diperlukan untuk memastikan penjagaan kesihatan lebih baik bagi semua rakyat.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain untuk menyediakan akses penjagaan kesihatan lebih baik bagi penduduk luar bandar, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

Gesaan itu susulan dua kematian berasingan membabitkan seorang bayi dan warga emas akibat lewat mendapatkan rawatan kesihatan sewajarnya.

Menurut Yii, mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari kawasan luar bandar ke hospital.

Katanya, kejadian itu menyedihkan kerana pada zaman ini masih ada rakyat Malaysia di kawasan luar bandar yang kekurangan penjagaan kesihatan berkualiti.

“Ini simptom jelas kurang pelaburan dan pengabaian dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan kita, terutama di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk mengenal pasti beberapa faktor, termasuk kemiskinan dan akses kepada kemudahan asas, dalam usaha menangani isu ini dengan baik.

“Tetapi, isu ini tidak terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa KKM,” kata Yii.

Setiausaha publisiti DAP Sarawak itu berkata, ini sebabnya “rangka kerja menyeluruh antara kementerian, agensi, negeri dan persekutuan” diperlukan bagi membangunkan pelan tindakan untuk memastikan tiada orang ketinggalan dan kejadian sama tidak berulang.

Yii berharap menteri kesihatan dan timbalannya yang baru dilantik akan menerajui inisiatif seperti ini untuk mengenal pasti isu serta memperuntukkan sumber diperlukan bagi menambah baik kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar.

Terdapat juga keperluan untuk memastikan kemudahan kesihatan ini mempunyai pakar dan tenaga kerja diperlukan bagi memastikan pesakit dipindahkan dengan betul tanpa kelewatan.

“Semua ini memerlukan iltizam politik dan lebih penting lagi, kementerian tidak bekerja secara bersendirian lagi,” katanya.

Seorang bayi berusia sembilan bulan dilaporkan meninggal dunia dalam pelukan ibunya, ketika mereka menaiki bas dari Julau ke Kuching untuk mendapatkan rawatan pada 5 Dis lalu.

Selasa lalu, seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia di Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sungai Tujuh, selepas ambulans yang membawanya tidak dapat melepasi pintu pagar berkunci kerana tiada pengawal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.