`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 20, 2022

Kes renjatan elektrik: Polis bantu keluarga secara psikologi

 

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya akan meneruskan siasatan dengan memantau dan melihat pelbagai sudut sekiranya terdapat kecuaian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis Kelantan menghantar empat anggota Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) untuk membantu dari segi psikologi keluarga yang kehilangan tiga anak dalam tragedi renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di Tumpat semalam.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata usaha itu juga bagi meredakan kesedihan mereka susulan tragedi berkenaan.

“Kita juga akan (cuba) memulihkan mereka dari segi mental kerana tidak mahu keluarga tersebut berterusan memikirkan kejadian itu sehingga menjejaskan emosi,” katanya dipetik Bernama selepas melawat dan memberikan sumbangan kepada keluarga itu di rumah mereka di Tumpat.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dengan memantau dan melihat pelbagai sudut, sekiranya terdapat kecuaian.

“Kita bukannya mahu mencari kesalahan, tetapi mahu mengatasinya agar perkara sebegini tidak lagi berulang.”

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi semalam, tiga beradik perempuan – Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, sedang berjalan mengharungi banjir di depan sebuah rumah, sebelum terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menyiasat insiden itu dengan bantuan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Tenaga.

TNB dalam kenyataan mengingatkan orang ramai tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami air kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

Empat kematian dicatatkan di Kelantan susulan banjir yang melanda beberapa negeri semalam, dengan tiga beradik itu dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan ditemui lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang.

Setakat 4 petang tadi, seramai 66,718 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di lima negeri, iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Johor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.