`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 27, 2022

PAS dengan Krismas

 

Dua hari lalu – 25 Disember 2022 – PAS menerusi Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mengucapkan “Selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian di seluruh Malaysia“.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang bagus dilakukan dalam negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Juga ia menarik kerana masih ada (ramai mungkin?) umat Melayu-Islam yang masih ragu-ragu, tertanya-tanya sama ada mereka boleh mengucapkan “Merry Christmas” atau Selamat Hari Krismas kepada kawan-kawan yang menganut agama Kristian.

Ada yang kata boleh, ada yang kata sebaliknya. Ada kata haram, ada juga yang kata tidak haram. Jika tidak haram ertinya halal lah bukan begitu? Tidak kurang yang mengatakan ia harus. Sebenarnya rasa was-was itu timbul setiap kali tibanya Krismas. Meskipun banyak penjelasan sudah diberi alim ulama.

Menarik ucap selamat PAS kerana ada kalangan pemimpin PAS yang berpendapat umat Islam tidak boleh suka-suka untuk ucap melalui status yang ditulis secara umum, contoh di Facebook, kerana seolah-olah menunjukkan “keredhaan” kepada agama lain.

Namun mereka pantas menjelaskan apa yang dilarang ialah umat islam menyertai atau menyambut Krismas. Bagi saya yang dimaksudkan ialah menyertai acara keagamaan seperti sembahyang di dalam mahupun luar gereja.

Jika umat islam menerima undangan jamuan makan atau hadir majlis rumah terbuka yang menghidangkan makanan halal, ia tidak menyalahi tuntutan agama. Itu pada hemat saya.

Berbalik ucapan Selamat Hari Krismas yang diperkatakan tadi. Menurut Harakahdaily, lidah rasmi PAS, ucapan parti juga berbunyi: “Semoga sambutan tahun ini akan terus memupuk suasana keharmonian, persefahaman, dan rasa hormat-menghormati antara kaum dan fahaman sebagaimana ajaran semua agama serta ianya dapat terus dijagai dan diamalkan oleh penganutnya demi mengwujudkan masyarakat yang bertoleransi dan bersatu padu di negara ini.”

Sememangnya ucapan yang wajar dialu-alukan setiap lapisan masyarakat khususnya penganut Kristian demi keharmonian semua.

Oleh kerana saya bukan arif akan agama, saya mengambil kira sudut politik apabila menghayati ucapan Selamat Hari Krismas PAS kepada penganut Kristian kerana PAS parti politik. Seperti lazim setiap gerak parti politik dikaitkan dengan keuntungan politik. Hampir setiap, jika bukan semua, langkah parti politik dilihat ada muslihat politik. Mungkin tidak adil berkata demikian tetapi itulah hakikatnya. Begitulah keadaannya dengan ucapan selamat Hari Krismas hantaran PAS 25 Disember lalu.

Berdasarkan komen ramai orang bukan Islam (dan ada juga orang Islam) yang saya ikuti menerusi beberapa kumpulan WhatsApp, kebanyakannya beranggapan ucap selamat PAS itu bertujuan “berkempen” awal untuk mengambil hati pengundi bukan Melayu apabila PRN diadakan tahun depan.

PRN Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan yang menawarkan undi bilangan besar pengundi bukan Islam dijangka berlansung tahun depan bersama Kedah, Kelantan, dan Terengganu – ketiga-tiga negeri penduduk majoriti Melayu dan diterajui PAS.

Ramai dalam kumpulan WhatsApp yang saya katakan ini percaya ucap selamat PAS bertujuan mengaburi mata rakyat dan menunjukkan PAS parti yang toleran terhadap semua agama dan bangsa, serta taktik membuktikan PAS bukan “hardline Islamist”.

Saya ulangi ucap selamat PAS kali ini eloklah disambut baik tanpa prejudis dan syak wasangka. Benar beberapa PRN seperti disebut tadi akan diadakan tahun depan dan PAS pasti bercita-cita mencipta kejayaan. Bukan sahaja di negeri yang diperintahnya tetapi juga negeri yang selama ini menolak mereka. Sekurang-kurangnya membantu Bersatu, rakan mereka dalam Perikatan Nasional.

Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan ini bukan kali pertama PAS ucap Selamat Hari Krismas. Pada 2018, Takiyuddin menghantar ucapan sama. “Saya ucapkan ‘Merry Christmas’ kepada semua rakyat Malaysia yang merayakan Krismas, semoga kita sama-sama berada dalam keadaan harmoni di negara kita tercinta ini.” Ketika itu tidak ada pilihan raya – negeri atau umum – yang bakal diadakan, malah PRU14 sudah pun selesai tujuh bulan terdahulu, dan PAS kalah.

Dua tahun kemudian yakni – 25 Disember 2020 – Khairuddin Aman Razali. orang kuat PAS, bergelar menteri ketika itu, juga mengeluarkan ucapan Selamat Hari Krismas.

Namun setelah memberi ucap selamat kepada penganut Kristian, PAS dengan kenyataan, tingkah laku, dan gelagat pemimpinnya, termasuk presiden, ‘berjaya’ menguris perasaan orang Kristian dan sebilangan besar masyarakat bukan Islam lain. Malah PAS turut ‘berjaya’ menakutkan golongan berkenaan dengan gerak geri yang golongan bukan Islam (juga dalam kalangan umat Melayu) lihat bagai ‘ala Taliban’.

Tidak perlu di hurai satu persatu apa yang PAS telah lakukan untuk menakut dan menyakiti hati orang bukan Islam (secara sedar atau tidak) kerana ramai sudah maklum.

Tentu kita masih ingat ketika Parlimen tergantung selepas PRU15 dan Gabungan Parti Sarawak dikatakan berura-ura bekerjasama dengan Perikatan Nasional untuk menubuhkan kerajaan persekutuan, masyarakat bukan Islam di Sarawak terutama pribumi yang bukan beragama Islam membantah keras, kerana tidak mahu GPS ‘bersubahat’ dengan PAS. GPS akur.

PAS hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana ditolak masyarakat bukan Islam di Sarawak. Begitu juga di Semenanjung. Ringkasnya golongan bukan Islam percaya polisi PAS mendiskriminasi mereka.

Kesimpulannya setiap kali memberi ucap Selamat Krismas dan juga perayaan lain, PAS ‘berperangai lama’. Begitu persepsinya. Oleh itu, tidak boleh disalahkan golongan yang sangsi akan ucapan Selamat Hari Krismas PAS kali ini.

Golongan itu bimbang PAS akan terus lakukan apa yang biasa PAS lakukan. Ucapan selamat sekadar ucapan kosong. Mungkin mereka pernah menyokong PAS, khususnya pada era Pakatan Rakyat ketika slogan PAS “Islam untuk semua”. Waullahualam.

Aktivis media, Fathi Aris Omar, mendedikasi lagu kepada “kawan-kawan jemaah PAS yang mengucap salam Krismas kali ini – sekodor (sekadar) hiburan.”

Lagu yang dimaksudkan ialah “Last Christmas”, dendangan kumpulan inggeris Wham yang menampilkan mendiang George Michael. Antara liriknya:

“Happy Christmas, I wrapped it up and sent it
With a note saying “I love you”, I meant it
Now I know what a fool I’ve been
But if you kissed me now, I know you’d fool me again”

Agak terlewat tetapi saya ucapkan juga Selamat Hari Krismas kepada semua yang meraikannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.