Kata Ahmad Maslan, setiausaha agung Umno, tidak ada sebarang perbincangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno akan datang.
Mengikut perlembagaan Umno yang dipinda pada 15 Mei 2022, pemilihan parti mesti diadakan sekurang-kurangnya enam bulan selepas PRU diadakan. Dalam konteks sekarang, dengan mengambil kira PRU15 pada 19 November lalu, pemilihan Umno mesti diadakan paling lewat Mei tahun depan.
Oleh itu tidak hairanlah pemilihan parti khususnya pertandingan dua jawatan tertinggi mula “dicakap-cakap”.
Kata Ahmad, perkara itu yakni jawatan presiden dan timbalannya langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang “latest” iaitu 8 Disember lalu.
Manakala pehimpunan agung khas yang akan diadakan semasa perhimpunan agung tahunan bulan depan ialah bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan parti, membabitkan tindakan ke atas ahli yang tinggalkan atau bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya dan juga mengenai meletakkan ketua penerangan bahagian sebagai perwakilan ke perhimpunan agung secara automatik.
Ada apa-apa pindaan berhubung jawatan presiden dan timbalan presiden? Adakah usul pada perhimpunan agung khas itu membabitkan kedua-dua jawatan itu dipertandingkan atau tidak?
Menurut Ahmad, keputusan mengenai dua jawatan berkenaan hanya akan diputuskan di mesyuarat MKT pada 12 Januari 2023 iatu sehari sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Belum ada sebarang keputusan mengenainya sehingga ke hari ini,” Ahmad dipetik media berkata pada 26 Disember lalu. “Kita tunggulah (selepas mesyuarat MKT Januari ini),” kata beliau lagi.
Ertinya spekulasi akan berterusan sehingga bulan depan. Persoalannya siapakah yang mencetus ‘dakwaan’ bahawa jawatan presiden dan timbalannya tidak akan atau tidak boleh dipertandingkan.
Pelbagai teka-teki bersabit siapa atau kumpulan mana yang melontar ‘dakwaan’ itu. Walau pun tidak dapat dipastikan dakwaan itu angkara siapa, ia sudah pun mendapat reaksi pelbagai lapisan dalam Umno – seakan dakwaan tidak ada pertandingan “top two” Umno itu benar belaka.
Antara yang tampil menyuarakan pendapat ialah Nazri Aziz , yang masih memegang jawatan ketua Umno Bahagian Padang Rengas walaupun tidak bertanding PRU15 lalu. Komen beliau amat menarik.
Kata Nazri, golongan yang tidak mahu pertandingan diadakan sebenarnya memperkecilkan keupayaan serta kebolehan Zahid dan Mohamad. Kedua-duanya, kata Nazri, membuktikan kewibaaan masing-masing apabila memenangi pemilihan parti walaupun tanpa memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan apabila BN kalah PRU14 pada 2018.
“Perlu diingat Zahid lah yang mengizinkan jawatan presiden dipertandingkan pada 2018. Beliau berani dan keberanian itu memberinya kemenangan kerana ahli parti mahu demokrasi hidup dalam Umno,” kata Nazri.
Cakap-cakap politik terutama sejak kebelakangan ini berkisar Zahid akan dicabar jika pertandingan diadakan kerana kem anti-presiden mendakwa strategi beliau mengakibatkan Umno kalah teruk pada PRU15.
Namun perlu diingat juga strategi, kerja keras, serta keberanian Zahid juga membolehkan Umno duduk dalam kerajaan perpaduan yang ada sekarang, sekali gus menamatkan kebuntuan politik yang terjadi apabila PRU15 tidak memberi kemenangan mutlak kepada mana-mana gabungan untuk menubuh kerajaan.
Bagaimanapun ada pihak mengatakan kedudukan Umno dalam kerajaan bergantung kepada kedudukan Zahid sendiri dalam Umno. Ertinya sama ada Umno kekal dalam kerajaan perpaduan dikatakan bergantung sama ada Zahid kekal presiden atau tidak.
Bagi saya, walau siapa pun presiden Umno kemungkinan besar parti akan kekal dalam kerajaan. Maksudnya siapa pun presiden dia tidak akan membawa Umno keluar yang boleh menumbangkan kerajaan sedia ada.
Apa pun beberapa penganalisis politik tidak nampak mana-mana pemimpin dalam Umno yang mampu mencabar Zahid pada pemilihan parti kali ini jika pertandingan jawatan tertinggi dijalankan. Ini kita cerita pada artikel akan datang. Insyaallah.
Tumpuan ialah persoalan adakah jawatan presiden dan timbalan akan dipertandingkan. Kata Nazri, tiada pihak yang patut menyekat amalan demokrasi “yang sudah lama subur dalam parti”.
Ramai dalam Umno senada mengatakan semua jawatan wajar dipertandingkan tanpa sekatan. Benar apa yang dikatakan Nazri dan orang Umno yang sependapat dengan beliau.
Tetapi tidak ada pertandingan dua jawatan teratas dalam parti bukan perkara baharu atau pelik buat Umno. Ia kerap disaksikan.
Kali terakhir jawatan presiden dan timbalan dipertandingkan 35 tahun lalu. Pada 24 April 1987, Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk merebut jawatan presiden.
Sekutu Mahathir iaitu Ghafar Baba mencabar Musa hitam ( sekutu Tengku Razaleigh ) yang mempertahankan jawatan timbalan presiden. Pasukan Mahathir atau lebih dikenali sebagai “Tim A” menang. Bagaimanapun Umno berpecah sehingga parti serpihan Semangat 46 ditubuh oleh Tengku Razaleigh.
Pada 1993, Anwar Ibrahim mencabar Ghafar untuk jawatan timbalan presiden . Waktu itu Umno mengamalkan sistem pencalonan daripada bahagian. Apabila Anwar mendapat pencalonan yang banyak, Ghafar menarik diri daripada bertanding lantas Anwar menang tanpa bertanding.
Kali terakhir timbalan presiden Umno dipertandingkan ialah pada 2008 apabila Muhyiddin Yassin dicabar orang kuat Umno Selangor, Muhammad Muhd Taib, dan ketua menteri Melaka Ali Rustam. Muhyiddin menang.
Jawatan presiden dan timbalannya tidak dicabar semasa Mahathir jadi presiden dan Anwar timbalnnya; Ahmad Badawi presiden, Najib Razak timbalannya; Begitu juga ketika gandingan Najib dengan Zahid.
Diulangi jawatan presiden Umno tidak dicabar sejak 1987. Tetapi pada pemilhan 2018 jawatan itu dipertandingkan. Ini bukan kerana presiden waktu itu Najib dicabar tetapi beliau melepaskan jawatan apabila Umno-BN tumbang pada PRU14.
Ertinya jawatan presiden waktu itu kosong. Merebut jawatan itu ialah Zahid yang ketika itu timbalan presiden; Khairy Jamaluddin; dan Tengku Razaleigh. Seperti kita tahu Zahid menang.
Ingin ditegaskan bahawa apabila Umno tidak mahu jawatan tertingginya dipertandingkan sebab atau alasannya ialah demi menjaga perpaduan dan keharmonian parti. Ada benarnya apabila pertandingan diadakan perpaduan terjejas teruk. Pertandingan berlangsung dengan sengit sehingga susah atau tidak dapat berdamai sepas pemilihan selesai. ‘Perang’ sengit 1987 kerap dijadikan iktibar.
Oleh kerana mereka takut Umno berpecah pertandingan “top two” terutama presiden tidak diadakan. Demi perpaduan.
Bagi saya kesimpulannya ialah Umno tidak tahu bertanding. Seolah-olah apabila bertanding kalah jadi abu menang jadi arang. Betul ke begitu? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.