`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 12, 2022

Pemimpin Sabah pilih parti tempatan, enggan terikat arahan pusat, kata penganalisis

 

Sabtu lalu, Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS meninggalkan Bersatu Sabah bersama pemimpin lain dan akan membentuk parti tempatan baharu.

PETALING JAYA: Sudah ada kesedaran tinggi di kalangan pemimpin Sabah untuk berjuang di bawah platform parti tempatan seperti di Sarawak bagi membela rakyat, tanpa perlu terikat arahan kepimpinan pusat, kata penganalisis.

Merujuk tindakan sebahagian besar pemimpin Bersatu Sabah keluar parti itu pada Sabtu, Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Ketua Menteri Hajiji Noor sedar negeri itu akan terpinggir sekiranya menjadi negeri pembangkang.

“Mereka ambil iktibar langkah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bentuk gabungan parti tempatan sendiri, tidak dipengaruhi entiti utama di Semenanjung sehingga apa saja keputusan dibuat perlu merujuk kepada kepimpinan pusat.

“Tindakan ini dapat menentukan masa depan dan hala tuju lebih jelas dalam memastikan kestabilan politik di Sabah bersama dokongan kerajaan perpaduan, dana (pembangunan) dapat disalur ke kawasan masing-masing,” katanya kepada FMT.

Pada Sabtu, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata beliau bersama pemimpin Bersatu Sabah lain keluar parti dan akan membentuk parti tempatan baharu.

Bersatu merupakan anggota dalam Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun di Sabah, parti itu menyertai GRS yang mana ia menerajui kerajaan negeri dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

GRS berikrar menyokong Anwar Ibrahim dalam kerajaan perpaduan, namun Bersatu dan PN membentuk blok pembangkang di Parlimen.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee yang juga naib presiden Bersatu dilihat tidak cukup kuat untuk menggalas tanggungjawab mengukuhkan semula parti itu di Sabah seperti diminta Muhyiddin Yassin.

“Nasib Bersatu akan bertambah buruk tetapi tidak seteruk Umno. Mereka tidak kuat, kepimpinan lemah, ahli sedikit dan tidak berakar umbi…maka sukar bangkit kembali,” katanya.

“Kekuatan Bersatu juga bukan secara asli kerana parti itu lahir daripada pemimpin yang melompat dari parti lain.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat dalam konteks masa kini, sukar untuk parti yang mempunyai kaitan “begitu rapat” dengan Semenanjung seperti Bersatu mampu bertahan lama di negeri bawah bayu itu.

Mengenai kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri, Azmi berpendapat ADUN Sulaman itu tidak perlu menguji keabsahan di DUN Sabah kerana disokong penuh wakil rakyat GRS dan Umno Sabah.

“Sebagai kerajaan negeri, Hajiji berpendapat perlu ada hubungan baik dengan pusat seperti mana dilakukan GPS,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.