`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 12, 2022

Politik memisahkan, muzik dan lagu menyatukan

 

Akhirnya apabila kita analisis dapatan keputusan PRU15 lalu ternyata ia masih berkisarkan kaum. Tidak kira di bandar besar atau di desa terpencil kita dapati faktor kaum tetap menjadi ciri utama ketika memangkah kertas undi.

Umno parti terbesar orang Melayu tewas teruk walhal inilah yang sangat ditakuti oleh orang Melayu dahulu tetapi apabila orang Melayu melihat Perikatan Nasional (PN) adalah alternatifnya, maka mereka beralih menyokong PN. Lalu orang Melayu berhimpun di situ. Majoriti orang Cina dan India menyokong Pakatan Harapan (PH) pula. Parti MCA dan MIC ditolak oleh mereka dan beralih kepada PH.

Masih berpecah. Pendek kata, perpaduan kaum kita telah dipecah-belah disebabkan oleh fahaman politik. Kalau mengikut amalan demokrasi itu perkara biasa, sebagai rakyat kita mempunyai hak untuk memilih tetapi yang menjadi masalah besar kita ialah sentimen dan propaganda jahat membakar api kebencian itulah yang membahayakan.

Prasangka perkauman sentiasa menjadi api dalam sekam. Sentiasa menjadi senjata pecah-belah paling ampuh oleh politikus untuk meraih sokongan. Tidak kiralah parti mana sekalipun. Dalam tenang ahli politik meniup angin supaya bara yang lama menyala di dalam menjadi marak.

Kita ditakut-takutkan. Kita bersangka-sangka. Ini amat jahat! Terlalu jahat! Tetapi seperkara perlu kita sedar ialah jangan kita tuding kepada sebelah pihak sahaja kononnya pihak “sana” yang jahat tetapi sebenarnya pihak yang “satu lagi” juga sedang sama bermain mengikut cara “mereka”.

Atas sebab itulah kita sebagai rakyat bertanggungjawab memelihara ketenteraman awam dengan menolak sebarang anjuran perpecahan dan sebarang provokasi perkelahian. Berpolitik boleh, jangan sesekali bergaduh sehingga memusnahkan.

Ingatkah kita rakyat Malaysia tidak kira warna kulit dan agama sentiasa bersatu menyokong di luar gelanggang badminton ketika pemain kebangsaan kita bertarung dengan pemain luar negara bertanding merebut kejuaraan. Kita tidak nampak apa kaum ketika pemain kita sedang berjuang. Kita bersatu bersorak dan menyanyi untuk memberi semangat.

Mengapa semangat yang membahagiakan ini tidak dibawa ketika berpolitik? Eh! Nanti. Kita bersorak dan menyanyi? Ya! Kenapa ketika menyanyi kita semua mampu bersatu?

Ayuh kita kembali bertenang, berdamai, bersikap terbuka dan berbangga menjadikan lagu sebagai senjata perpaduan. Melalui muzik dan lagu kita jalinkan semangat muhibah. Macam dulu-dulu. Seniman agung P Ramlee, Sudirman menjadi contoh kebanggaan kita semua mengharumkan nama negara.

Kita layan lagu-lagu Alleycats dengan ungkapan “Terima kaseeeeh!” David Arumugam yang memikat. Kita jatuh cinta dengan kelunakan suara Francissca Peter apabila mendendangkan lagu patriotik bertajuk “Setia”. Kita dengar trio Kenny, Remy dan Martin dengan “Ku Petik Bintang-bintang” tanpa kita fikirkan ketiga-tiga mereka itu bukan Bumiputera.

Malah dua beradik india kumpulan Cenderawasih cukup sedap nyanyiannya dan masyhur sampai ke ceruk kampung, disenangi sehingga punya lagu khas hari raya. Cenderawasih pun ada lagu raya, tahu? Menarik! John Goh berganding bersama A Ali menamakan kumpulan mereka Pelangi dan mereka cukup popular dengan lagu “Biarku Menjadi Lilin”.

Biasanya kumpulan muzik terutama yang bermain di kelab lebih muhibah semangatnya. Kumpulan Headwind, Freedom, Flybaits atau The Revolvers menggambarkan kemajmukan rakyat Malaysia. Cinta kepada muzik dan lagu telah menyatukan mereka.

Ini zaman gemilang sampai ke hujung tahun 80-an. Kenapa hari ini kita terpisah, tidak lagi seperti ini?

Apakah hari ini tiada penyanyi, kumpulan muzik yang ahlinya pelbagai kaum? Ada! Bukan tidak ada. Tetapi sedikit terutama yang beraliran arus perdana. Sangat kurang. Yang tidak di arus perdana pula kiblatnya lain. Mereka menyanyi lagu Inggeris. Mereka tidak menyanyi dengan bahasa kebangsaan. Bukan tidak boleh bawa lagu Inggeris tetapi ia tidak membantu masyarakat terbesar melayan dan menjadi wakil kepada mereka.

Keadaan ini berlaku sebab penggiat muzik dan lagu era ini juga sama seperti kita semua telah menjadi mangsa sistem. Mangsa pecah-belah! Walaupun bersatu membentuk kumpulan dan menghasilkan muzik dan lagu tetapi tidak ada semangat mengangkat bahasa kebangsaan sebagai perantaraan untuk lebih rapat dengan khalayak. Untuk mereka sedar bahawa mereka mampu memainkan peranan melalui pengaruh mereka membentuk fikiran rakyat.

Memang benar muzik dan lagu tidak mempunyai bahasa khas malah muzik dan lagu itulah sendiri sebuah bahasa. Satu dunia boleh bergegar dengan sebuah lagu walaupun mereka tidak faham bahasa yang dinyanyikan. Lagu Hindustan kita hafal, lagu Latin “Lambada” satu dunia meletup, penyanyi Korea Psy pernah menawan dunia dengan “Oppa Gangnam Style”. Kita tak faham satu habuk pun senikatanya tetapi kita layan lagu itu. Sebab ia menangkap jiwa kita sehingga melekat di hati.

Tetapi kita mesti mencuba sesuatu dengan lebih lagi. Demi keamanan dan kedamaian yang perlu dipelihara kita mesti ada tanggungjawab memainkan peranan kita.

Kita buatlah lagu dengan bahasa kita yang kita fahami, yang boleh menyatukan kita. Jati diri inilah yang sudah hilang dari roh kita kerana telah “dibusukkan” dengan jahatnya permainan politik. Kita mesti cuci semula. Kita mesti bilas kekotoran prasangka perkauman ini dengan seni muzik dan lagu.

Jom kita tolak politik kebencian. Kita mainkan lagu-lagu yang dimainkan oleh seniman kita anak Malaysia tanpa melihat warna kulit atau asal-usul mereka. Kita nyanyi bersama dengan bahasa Kebangsaan kerana itulah bahasa kita bersama. Kita menyanyi dengan penuh ikhlas bersemangat tanpa perlu dibuat-buat!

“Tiada batasannya
Usia ataupun rupa
Kita bersama memulakannya
Sehingga ke akhir kita terus berdua”.

Petikan sebahagian daripada lagu “Ku Petik Bintang-bintang” nyanyian Kenny, Remy dan Martin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.