PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar meninggalkan rumah inap desa (homestay) yang disewa keluarganya di Taman Salak Maju, Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, abang remaja itu membuat laporan polis selepas menyedari adiknya bernama Salsabila Putri Md Nasir didapati tiada di inap desa itu kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.
“Siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian menunjukkan Salsabila keluar meninggalkan rumah itu dengan berpakaian serba hitam dan dilihat menaiki sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang tidak dikenali.
“Abangnya juga cuba menghubungi telefon bimbit Salsabila beberapa kali namun tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Kamarul berkata, kes kehilangan remaja itu turut tular di media sosial termasuk aplikasi WhatApps.
Tambahnya, abang remaja itu turut mendakwa adiknya banyak mengenali rakan di luar menerusi aktiviti permainan dalam talian.
“Abang mangsa bersama keluarganya turut cuba mencari mangsa di merata tempat termasuk di sekitar lokasi berhampiran homestay namun gagal,” katanya.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan kes berkenaan yang diklasifikasikan dan disiasat sebagai orang hilang.
Sementara itu, abang remaja itu, Mohammad Fitra ketika dihubungi Bernama berkata sebelum kejadian adik bongsu dari enam beradik itu tidak merajuk atau bergaduh, dengan mana-mana ahli keluarga.
“Kami sekeluarga baru sampai dari Pulau Pinang dan kami datang ke sini untuk bercuti.
“Adik saya berketinggian 165cm dengan anggaran berat 50kg,” katanya kepada Bernama.
Tambahnya semasa keluar dari homestay itu, Salsabila berpakai serba hitam, berpelitup muka warna kelabu dan kasut warna kelabu.
Fitra berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya untuk menghubungi beliau di talian 017-4807301 atau 011-11232617. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.