`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 9, 2022

Sekolah pondok dengan ‘gelombang hijau’

 

Artikel ini ditulis mengambil kira “sedikit” keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai 7 Dis lalu. Saya katakan “sedikit” kerana walaupun Padang Serai kini milik Perikatan Nasional (PN) ia dimenangi Bersatu dan bukan PAS rakannya dalam PN. Dan artikel ini pula mengenai PAS khususnya.

Penulisan ini susulan artikel saya yang terdahulu berjudul “Bolehkah ‘gelombang hijau’ terus bergelombang?”.

Persoalan itu diaju berikutan kemenangan besar PAS di pantai timur dan beberapa kawasan di utara tanah air pada PRU15 lalu. Lantas “gelombang”. Dan hijau pula warna “kegemaran” PAS yang digunakannya dengan warna putih. Untuk melambangkan Islam kata mereka.

Dan kemenangan PN di Padang Serai juga ada yang kaitkan dengan “gelombang hijau”. Bagi kawan lama saya berasal Terenggganu, Wan Ahmad Ngah, tidak mustahil suatu hari nanti gelombang hijau merangkumi seluruh negara dan baginya “Padang Serai membuktikannya”.

Bagi saya terlalu awal atau “premature” untuk membuat kesimpulan berdasarkan perkembangan dan beberapa faktor yang saya catat dalam artikel terdahulu. Jika berminat sila rujuk artikel berkenaan yang tajuknya saya sebutkan tadi. Dan pada hemat saya Padang Serai bukan kayu pengukur.

Namun, apa yang dinyatakan Wan Ahmad cukup menarik dan wajar diberi perhatian. Sebenarnya beliau dan beberapa pembaca termasuk kawan kawan lama yang mengikuti artikel terdahulu saya itu menjawab persoalan “bolehkah gelombang hijau terus bergelombang?”. Ada yang menjawab “iya dengan membawa isu Melayu-Islam”. Antaranya Rahim Daim juga kawan lama.

Berbalik kepada Wan Ahmad. Kata beliau perlu diingat “benih-benih hijau sentiasa segar di sekolah-sekolah pondok, sekolah agama dan dalam kalangan pelajar dari Timur Barat serta anak muda yang terdedah dengan “kemanisan sebaran Islam”. Jika benar mereka mengundi PAS. Ingin dikatakan ini tidak dapat disahkan.

Menurut beliau, mereka ini sudah diajar serta dipupuk dengan “keislaman” patuh kepada “guru, ulama dan tok tok guru” dan apabila remaja mereka sudah terdedah dengan “ideologi parti yang berteraskan Islam”. Jadi kata beliau mereka amat mudah menerima PAS, wala’, ikut perintah dan setia kepada “guru mereka apatah lagi ustaz dan pemimpin agama”.

Ertinya menurut Wan Ahmad mereka itu semua “punyai jati diri dan semangat keislaman yang kuat”.

Tetapi “semangat dan jati diri Islam yang kuat” anjuran atau dibawa oleh PAS kata Kassim Muhamad seorang lagi kawan lama. Dan ini kata beliau perlu difokus sebab “akibat dan paling pentingnya kesan kepada negara amnya dan kepada Islam itu sendiri khasnya”.

Kata beliau “begitu menakutkan melihat “brand” Islam yang sebenarnya bukan Islam. Ini menurutnya “malapetaka” untuk negara dan anak cucu kita. Pemikiran PAS itu Islam sudah berakar umbi walaupun kita tahu ia tidak benar. PAS itu politik yang mahu kuasa.

Saya setuju. Bagaimanapun naratif atau persepsi “PAS itu Islam” diterima ramai (atau sebilangan besar?) orang Melayu terutama di negeri di mana mereka majoriti. Kelantan dan Terengganu termasuk Kedah di mana Padang Serai terletak.

Di Padang Serai kata Wan Ahmad, majoriti pengundi golongan berusia 18 hingga 35 tahun yang kebanyakan mendapat asas pendidikan daripada tadika, pondok dan sekolah agama.

Yang dapat difahami ialah maksud beliau dengan Undi18 terlaksana, golongan muda memanfaatkannya dengan memilih PAS. Kita tahu Undi18 diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan diluluskan di Parlimen pada 2019, waktu PH memerintah. Adakah itu langkah memakan diri?

Sebenarnya sebelum Undi18 diluluskan ramai penganalilis dan pemerhati politik meluahkan pandangan langkah itu boleh membawa “kesusahan” (kalau bukan padah) kepada PH sendiri. PH bagaimanapun meneruskan inisiatif itu “demi masa depan dan jalan ke hadapan” buat negara walau mengakui sedar risiko dihadapi.

Saya tidak mahu bercakap sama ada itu satu langkah betul atau silap PH. Cuma yang ingin saya tahu sekarang ialah ke mana perginya atau apa yang dilakukan oleh pengundi muda yang bukan Islam dan pengundi Melayu Islam yang bukan pelajar pondok pada PRU15?.

Realitinya negara kini sudah “terbahagi” kepada tiga blok yakni wilayah utara dan pantai timur yang majoriti Melayu yang sudah “dihijaukan”, wilayah tengah dan selatan yang terdiri masyarakat bukan Melayu dan juga Melayu yang amnya menyokong PH dan juga blok Borneo – Sabah dan Sarawak dengan tuntutan dan kepentingan tersendiri.

Saya setuju dengan Wan Ahmad bahawa untuk PH-BN “penetrate” negeri pantai timur yang diperintah PN (baca PAS) memang sukar. Sekurang-kurangnya buat masa terdekat. Dan apa yang mereka mesti awasi sekarang ialah kemungkinan kemaraan gelombang hijau ke negeri majoriti Melayu di pantai barat yang diperintah mereka yakni Selangor dan Negeri Sembilan apabila pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

Kata Charles Santiago bekas Ahli Parlimen PH, kemenangan besar PN di Padang Serai tidak mengejutkan kerana “kita telah melihat corak yang sama di negeri lingkaran Melayu”. Dan kata beliau lagi “ia menandakan gelombang hijau yang ‘persuasive’ dan membimbangkan serta menunjukkan PH ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi mengalih sentimen akar umbi”.

Bagi beliau setiap anggota Kabinet mesti sehaluan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

Betul. Tetapi bagi saya pada masa sama persepsi “PAS itu Islam” mesti ditanganinya. Jika yakin persepsi itu salah, PH harus menampilkan bukti dan hujah juga berdebatlah jika perlu untuk meyakinkan orang Melayu termasuk golongan muda terutama pelajar pondok dan sekolah agama serta ibu bapa mereka.

Lazimnya anak muda yang mengundi buat kali pertama akan mengundi berpandukan “arahan” atau siapa ibu bapa mereka undi.

Namun, apa pun yang dilakukan ia mesti teliti dan berhati-hati. Pelajar pondok dan sebagainya tidak harus dipersalahkan. Pondok dan sekolah agama jangan diganggu pengendalian dan pengurusannya. Sebarang campur tangan hanya akan dieksploitasi dan membakar sentimen supaya orang Melayu Islam membenci pemerintah.

Anwar terutamanya serta rakan-rakan mempunyai “credential” agama Islam yang membanggakan. Cuma golongan yang disasar kerap sukar menerima hujah agama disampaikan Muslim yang memakai kemeja dan kot. Meskipun hujah berdasarkan al-Quran dan hadis. Bagi golongan sasar berkenaan orang agama yang “layak dipercayai” ialah mereka yang berserban dan berjubah.

Usaha meyakinkan mereka bukan senang. Malah cukup susah, tetapi bukan mustahil.

Kesimpulannya bak kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim, untuk memerintah Malaysia sesebuah parti atau gabungan politik perlu sokongan multi etnik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.