`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 28, 2022

Tiada kes ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia, kata Noor Hisham

 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

KUALA LUMPUR: Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia setakat ini tetapi orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

“Langkah lain ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.

Ameba Naegleri Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

Semalam, Korea Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

Katanya, gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

“Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

Menurut Noor Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.