`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 28, 2023

Bacalah dan rujuk al-Quran semaumu

 

Islam bukan agama yang eksklusif dan boleh dimonopoli oleh sesuatu kaum mahupun kasta. Ia bukan milik Arab, bukan kepunyaan Parsi, bukan milik Melayu, dan bukan milik T20; bukan milik mana-mana agamawan selebriti atau mana-mana Awang dan mana-mana Zailah. Kalau ada dua tiga Lau ingin membaca dan merujuk al-Quran dalam kehidupan seharian mereka, baguslah kerana ia satu dialog kepercayaan dan peradaban.

Kalau turun hidayah mungkin Lee atau Lim itu akan memeluk Islam. Jika pun tidak, tak apa-apa. Islam tidak terjejas apa-apa. Banyak abad lalu Abu Lahab dan Abu Jahal menistakan Islam tetapi adakah Islam hari ini tergendala?

Ads by Kiosked

Pada 2013, penyanyi pop dan tersohor Madonna mengaku membaca al-Quran. Pada 2017, pelakon sensasi dan tersohor Lindsay Lohan pun mengaku membaca al-Quran. Pada 2022, pemain bola sepak seksi dan tersohor Cristiano Ronaldo menghafal al-Fatihah dan dikatakan membaca al-Quran selepas dihadiahkan kitab suci itu; tetapi mereka nampaknya tidak sampai memeluk Islam. Adakah Islam terhenti?

Untuk sesuatu bermula, mesti ada benihnya. Kita patut membaja benih yang ditanam bukan mencungkil keluar akannya. Sang bodoh sahaja membuat perangai menggali semula benih yang sudah disemai.

Eloklah ada dua tiga Singh membaca dan merujuk al-Quran dalam kehidupan seharian. Kalau pun mereka tidak mendapat taufik, barangkali ada orang lain yang merenungkan rujukan dan petikan ayat suci itu terbuka hati dan jiwanya kepada tauhid. Hikmah dan kebaikan beragama tidak akan dapat diseluk dan ditemukan jika perangai menutup al-Quran untuk diri kita saja jadi amalan biasa.

Ayat 269, surah al-Baqarah terjemahannya berbunyi; “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

Hikmat, menggunakan akal fikiran, dan pengajaran bermula dengan gerakan dan kasad untuk memahami. Untuk kita umat Islam, ia harus bermula dengan al-Quran. Ini kerana ia wahyu Ilahi. Ia mukjizat.

Hakikat sebenarnya PAS is for members. Al-Quran is for all. Kalau PAS telungkup di dunia ini, Islam tidak terjejas apa-apa. Allah tetap Satu dan Ada. Tiada sesiapa boleh melarang mana-mana Ramasamy, Ah Cheong, atau Monsopiad dan Ronald membaca kitab suci ini. Kalau mereka tidak membacanya pun al-Quran tetap suci dan bertahan sampai kiamat. Jika ada yang membaca dan cuba menggali kefahamannya, kita raikan. Jika terpesong, ajarkan. Tambah kalau yang membaca itu tidak ada niat menjadikan al-Quran itu satu gurau senda.

Ads by Kiosked

Akan tetapi, sikap ekstrem sesetengah orang menjadikan Islam seolah-olah milik satu parti. Atau milik satu bangsa. Ini siapa yang ajar? Nabi Muhammad yang kita rayakan mauludnya tidak mengajar sedemikian. Yang Rasulullah ajarkan ialah “al mau`izah al-hasanah“, nasihat dan pengajaran yang baik-baik. Jika kita tidak membukakan laman masjid atau membukakan al-Quran untuk dibaca dan direnung, apa gunanya kita meraikan Maulud Nabi? Kita jangan jadi Ibnu Salul, jangan jadi.

Jangan tutup agama kami untuk tembolok kuasa kamu. Peribadi Nabi Muhammad itu open book, al-Quran juga open book. Ia kalis tentangan dan cacian. Sangat membosankan ada segelintir umat Islam yang konon-konon pandai tidak pun mengerti “bi`llati hiya ahsan”. Gejala jahil ini berlaku kerana ada orang serasa dialah terpaling tahu dan benar. Padahal kita digalak bertukar pendapat atau istilah lani – dialog peradaban – yang dilakukan oleh dua pihak secara sinergik.

Perangai percaya paling betul ini bahaya. Ia menghalang kemajuan Islam dan perkembangan al-Quran. Kalau kamu yang namanya konon agamawan tidak boleh memahami “al-`aysh al-mushtarak” iaitu gagasan untuk hidup berdampingan dengan damai di tengah anggota masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, maka bagaimana kamu jangkakan Islam ini akan berkembang? Sudah-sudahlah dengan pendekatan rigid, tertutup, dan ekstrem kamu.

Kamu fikir Islam ini akan berkembang dengan kejumudan dan hunjaman dan kecaman terhadap mereka yang ingin melakukan perenungan? Jika “fiqh al-ta’ayush” atau fiqh hidup bersama tidak dapat kamu cerna dan hadam bagaimana agaknya Islam akan dipandang unggul di tangan orang seperti kalian? Tambah-tambah kalau perangai dan akhlak kamu sangat rendah dan mulut penuh fitnah.

Hakikat sebenarnya PAS is for members. Al-Quran is for all. Kalau PAS tergolek kerengga sekalipun di mayapada ini, Allah Yang Maha Mulia tidak terjejas apa-apa. Allah tetap jua Maha Berkuasa dan Maha Esa. Wahyu Allah tetaplah akan dibaca. Tiada sesiapa boleh melarang mana-mana Beyonce dari membaca kitab suci ini. Kalau ada tidak pandai membacanya pun al-Quran kekal kudus dan abadi santak hari akhir. Jika ada yang membaca dan cuba menggali kefahamannya, kita raikan. Untung-untung Beyonce itu memeluk Islam. Kalau Beyonce tidak jadi Islam pun Islam tak terencat.

Jika ada kawan bukan Islam kita yang ingin membaca al-Quran, kita permudahkan. Belikan kitab suci itu dengan terjemahan paling dekat. Kita bertanggungjawab meleraikan Islamofobia bukan menjadikan bukan Islam lebih fobia dengan Islam. Jika kita terpesong, moh kita ajarkan bukan dihunjam dan direjam. Itulah akhlak Islam. Itulah kaedah Nabi Muhammad. Tambah kalau yang membaca dan merujuk ayat suci itu tidak ada niat menjadikan al-Quran itu satu gurau senda atau kesia-siaan. - FMT

Ads by Kiosked

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.