`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 1, 2024

Gelar 'nyonya tua' tak boleh diterima di Sabah - DAP negeri

Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Chan Foong Hin, menegaskan pentingnya Umno mengawal pemimpin Pemudanya menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.

"Jika Umno tidak dapat mengawal atau menangani pemimpin Pemuda yang berani memperjuangkan agenda mereka sendiri, kita akan bayar harganya dalam politik Sabah.

"Sebagai contoh, saya tidak fikir panggilan ‘nyonya tua’ akan diterima di sini," katanya seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

Ini merujuk kepada kecaman Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berhubung isu pensijilan halal.

Akmal menggelarkan Teresa sebagai "nyonya tua" dan meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk ditampal di dahi ahli parlimen veteran itu.

Kenyataan itu sekali gus dilihat menggugat kerjasama antara DAP dan Umno.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Bung Mokhtar Radin, yang menyatakan formula kerjasama BN-PH terbukti berkesan dalam pilihan raya kecil Mahkota di Johor minggu lalu dan perlu diteruskan di Sabah.

Bagaimanapun, Chan berkata sikap ekstremisme dan serangan peribadi tidak akan diterima di negeri itu dan perlu dielakkan.

ADS

Dia juga meminta Bung mempertimbangkan untuk menangani perkara itu sebelum isu kerjasama dibincangkan.

"Saya tidak kata saya tidak bersetuju dengannya (Bung), tetapi sebarang kerjasama harus berdasarkan rasa hormat bersama," tambahnya.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu telah memutuskan untuk bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri Sabah.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Sabah, Christina Liew berkata pilihan masih terbuka untuk gabungan itu.

"Setakat ini, saya telah diminta oleh perdana menteri yang juga pengerusi PH untuk bekerjasama erat dalam kerajaan perpaduan. Beliau telah memberitahu saya perkara itu.

"Saya kata, 'ya, kami sedia. Kami akan berbincang'," katanya pada 4 Sept lalu.

Kerajaan negeri Sabah dibentuk oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mendapat sokongan daripada PH Sabah.

GRS dan Umno Sabah memiliki pendirian serupa selepas Umno Sabah pada Januari 2023 menarik balik sokongannya terhadap Hajiji Noor, menyebabkan dia hampir disingkirkan.

Malam tadi, Hajiji berkata dia belum "mendapat inspirasi" untuk membubarkan dewan undangan negeri.

"Kalau sudah dapat inspirasi, saya akan panggil media untuk saya umumkan bila pilihan raya akan diadakan," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sabah perlu mengadakan pilihan raya negeri selewat-lewatnya Oktober tahun depan.- Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.