`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, March 31, 2026

Ada bukti Azlan Man terima wang haram RM1.06 juta, kata saksi

 Pegawai penyiasat SPRM Mohamad Safwan Arbangi berkata wang itu adalah hasil aktiviti haram menerusi pembatalan pakej percutian ke luar negara.

ekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man
Bekas menteri besar Perlis Azlan Man berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
 Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa hasil siasatannya mendapati terdapat bukti langsung menunjukkan Azlan Man menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta menerusi pembatalan pakej percutian ke luar negara.

Penolong Bahagian Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Safwan Arbangi berkata Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd diarah untuk membatalkan tempahan perjalanan Azlan ke luar negara dan mengembalikan semula wang daripada pihak kerajaan Perlis itu kepada Azlan.

“Tempahan pakej percutian dibuat oleh Herwardy Hashim (Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan ketika itu) atas arahan Azlan dan beliau (Azlan) kemudian mengarahkan Herwardy untuk maklumkan kepada dua agensi pelancongan berkenaan tentang pembatalan percutian tersebut.

“Siasatan saya mendapati, cara pembayaran semua duit bayaran balik itu ditetapkan oleh Azlan sendiri kerana beliau membatalkan percutiannya. Keterangan ini adalah melalui dokumen iaitu penyata bank kedua-dua pihak serta keterangan saksi,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas menteri besar Perlis yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Safwan berkata dua agensi pelancongan itu diarahkan untuk mengembalikan semula wang tersebut kepada Azlan menerusi empat cek berjumlah RM852,207.28 dan wang tunai RM207,468 pada 2014 hingga 2017.

Sementara itu, beliau berkata isu kemasukan wang daripada pihak kerajaan Perlis kepada akaun bank dua agensi pelancongan itu bagi pakej percutian ke luar negara yang dipohon Azlan adalah melalui kaedah pembayaran secara Pesanan Tempatan (LO) yang mana perjalanan tersebut tidak berlaku.

“Secara keseluruhannya, melalui siasatan saya jalankan dalam kes ini, saya dapati terdapat keterangan konsisten daripada saksi serta dokumen yang saya peroleh untuk menunjukkan asas kesalahan penerimaan wang hasil daripada aktiviti haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, yang dilakukan Azlan,” kata saksi itu.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, bagaimana pengawai penyiasat itu dapat memberi kesimpulan Azlan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, Safwan berkata tuntutan perjalanan seberang laut Azlan dibuat sebanyak lima kali bermula 2013 hingga 2017 dengan menggunakan kaedah LO dan ia adalah duit daripada kerajaan Perlis, selain Azlan membatalkan percutian itu.

“Sebarang pengeluaran wang daripada akaun kerajaan Perlis untuk kes ini adalah menggunakan kaedah LO untuk lima kali berturut-turut dan lima kali ini juga Azlan membatalkan pakej perjalanan yang diluluskan oleh pihak kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

“Selari dengan LO tersebut, apa-apa prosedur peraturan atau tatacara mesti mengikut arahan permohonan daripada LO yang berkuat kuasa dan perjalanan mesti dilakukan mengikut LO tersebut bukan sebaliknya,” katanya.

Safwan berkata siasatannya juga mendapati berdasarkan keterangan pegawai perbendaharaan dan kewangan Perlis, sekiranya LO tersebut dibatalkan mengikut arahan Azlan, wang tersebut sepatutnya dipulangkan kepada kerajaan negeri, bukan kepada Azlan.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial.

Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, beliau didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik kerajaan Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank Cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Bagi kesalahan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 April ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.