Kesan politik daripada House Arrest ini bergantung pada beberapa faktor yang berasingan: status undang-undang sabitan Najib, persepsi awam terhadap kerajaan perpaduan, serta pertimbangan pilihan raya oleh UMNO, DAP, PKR dan sekutu-sekutu berpotensi mereka.
1. Tahanan House Arrest Sehingga 2028 dan Hukuman Penjara 15 Tahun Najib
House Arrest bagi Najib berkaitan dengan hukuman SRC International sedia ada, yang berakhir pada 23 Ogos 2028. Hukuman penjara 15 tahun terbaharunya (pada November 2025), di bawah sabitan 1MDB, masih dalam proses rayuan.
Jika rayuan berjaya: Hukuman 15 tahun itu boleh dibatalkan, dikurangkan atau diubah dalam bentuk lain, bergantung pada keputusan mahkamah.
Jika rayuan gagal: Mahkamah atau/berserta Lembaga Pengampunan akan menentukan bagaimana hukuman baharu itu dilaksanakan, termasuk hubungannya dengan pengaturan tahanan rumah terkini. Ini akan menjadi satu perkara baharu.
Tahanan rumah tidak secara automatik membatalkan sabitan berasingan (hukuman 15 tahun) atau menjamin bahawa Najib akan terlepas daripada menjalani hukuman tambahan tersebut. Kita wait and see lah.
2. Kesan terhadap DAP
Anthony Loke telah mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, manakala menteri-menteri DAP yang lain akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Saya melihat ini sebagai wayang DAP. Rakyat Malaysia juga boleh membaca dan memahami wayang tersebut.
Pengampunan ini meletakkan DAP dalam keadaan serba salah. DAP mesti mengimbangi komitmen yang dinyatakannya terhadap akauntabiliti dan pencegahan rasuah, khususnya berkaitan 1MDB, dengan penyertaannya yang berterusan dalam kerajaan perpaduan. Buat masa ini pendirian DAP agak berserabut.
Sistem e-invois dan terkini pula syarat 30% ekuiti Bumiputera dalam pusat tuisyen sangat tidak popular dalam kalangan pengundi Cina. Pengampunan Najib (tahanan rumah) hanya memburukkan keadaan bagi DAP. DAP akan tanggung dosa. Lambat laun isu pengampunan itu akan dilupakan, tetapi isu e-invois dan pusat tuisyen akan terus memberi kesan negatif untuk tempoh yang panjang.
Pengundi Cina akan makin fed up kerjasama berterusan DAP dengan PH sebagai tidak selaras dengan pendirian antirasuahnya. Parti itu akan berhadapan dengan pengundi yang tidak berpuas hati.
3. Kesan terhadap PKR
Pengampunan itu menimbulkan isu akauntabiliti politik bagi PKR. Pada asasnya, cakap tak serupa bikin, atau hipokrasi. Memandangkan mereka telah memainkan lagu memerangi rasuah, semuanya telah menjadi satu sandiwara.
Pengampunan itu memang tidak selaras dengan laungan antirasuah PKR. Orang awam juga sedar bahawa adalah tidak adil untuk taichi-kan tanggungjawab pengampunan itu kepada DYMM YDP Agong. YDP Agong mempunyai pilihan yang disyaratkan oleh Perlembagaan. Di bawah undang-undang, baginda perlu mematuhi nasihat Lembaga Pengampunan.
Pada pilihan raya akan datang, PKR berkemungkinan mengalami nasib yang lebih buruk daripada DAP.
4. Kesan terhadap UMNO
House Arrest Najib memberikan para penyokongnya tenaga berjuang yang diperbaharui, walaupun beliau masih tertakluk kepada sekatan undang-undang.
Ia juga akan meningkatkan perbincangan dalaman UMNO untuk berlaku perubahan kepimpinan, hala tuju parti dan hubungannya dengan Kerajaan Perpaduan. Patutkah mereka meneruskan kerjasama dengan PKR dan DAP atau tidak?
Tempoh perkhidmatan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO berkemungkinan akan mendapat perhatian dan penelitian. Akan menjadi sasaran. Pengampunan itu tidak akan menambahkan sebarang undi baharu daripada penyokong tegar UMNO. Sebaliknya pengampunan House Arrest itu akan menyebabkan pengundi Melayu yang duduk atas pagar untuk menjauhi UMNO.
Terlalu ramai orang Melayu tidak setuju pengampunan tersebut.
5. Najib, Hishammuddin Hussein Onn, Zahid Hamidi dan Kepimpinan UMNO
Kepulangan Najib ke rumah (walaupun di bawah House Arrest) pastinya akan mencetuskan perbincangan dalaman UMNO mengenai perubahan kepimpinan dan hala tuju masa depan parti.
Sejak 2008, UMNO telah mengalami nasib politiknya yang paling buruk. Parti itu memerlukan rombakan menyeluruh dalam segala aspek. Adakah mereka akan mendengar pandangan Syed Akbar Ali? Sudah tentu UMNO memerlukan perubahan kepimpinan secara menyeluruh dan penstrukturan semula sepenuhnya cara parti itu diorganisasikan.
Kepulangan Najib akan mengukuhkan kedudukan Hishammuddin Hussein dalam UMNO. Dan ia secara automatik akan melemahkan Zahid Hamidi.
Hishammuddin Hussein juga berasal dari Johor dan mempunyai hubungan baik dengan DYMM Sultan serta Istana Diraja Johor. Mereka mempunyai hubungan sejarah yang agak lama juga. Tidak salah bagi sesiapa pun untuk mempunyai sahabat baik di tempat yang berpengaruh.
Jika ahli parti mahu melihat UMNO terus kekal dan berjaya, perubahan kepimpinan dalam UMNO adalah kritikal. Bukan itu sahaja, UMNO memerlukan satu overhaul semula yang menyeluruh.
6. PAS, Parti Wawasan, UMNO dan Kerjasama Pilihan Raya
Pengampunan yang mengubah kedudukan politik Najib dan UMNO boleh menjejaskan rundingan antara parti-parti yang sedang mempertimbangkan pelbagai pakatan pilihan raya untuk PRU16. Bukan rahsia lagi bahawa PAS, UMNO dan Parti Wawasan sedang menantikan pakatan pilihan raya sesama mereka.
Jika UMNO yakin bahawa kekuatan tawar-menawarnya telah bertambah baik, parti itu mungkin akan menuntut bahagian yang lebih besar dalam pembahagian kerusi atau syarat-syarat gabungan. Sebaliknya, PAS dan rakan-rakan lain perlu menyesuaikan pertimbangan pilihan raya mereka sendiri.
KESIMPULAN
Tahanan rumah atau House Arrest Najib mempunyai kesan besar terhadap kedudukan parti-parti dan gabungan mereka dengan parti lain. Termasuk gabungan semasa serta gabungan masa hadapan.
Pengampunan itu dipandang negatif oleh sebahagian besar rakyat marhaen dan oleh pengundi. Tiada siapa yang menyukainya. Sekali lagi, golongan elit hidup senang dan kaya raya.
The views expressed are those of the writer and do not necessarily reflect those of MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.