`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Sunday, September 20, 2026

Pengasuh pemangkin ekonomi keluarga, kata Tengku Zafrul

 Penasihat kanan politik kepada perdana menteri berkata sektor pengasuhan sebahagian daripada ekosistem sokongan ekonomi dan sosial negara.

Kira-kira 600 pengasuh tidak formal, ahli keluarga, mentor, rakan program dan pihak berkepentingan menghadiri Gala Pesona Kasih Madani Zon Tengah di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Melawati, Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Profesion pengasuhan perlu dilihat sebagai komponen penting dalam menyokong ekonomi keluarga dan bukan sekadar pekerjaan menjaga kanak-kanak, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, peranan pengasuh yang dipercayai, membolehkan ibu bapa bekerja dengan lebih tenang selain memastikan anak-anak mendapat penjagaan yang baik, sekali gus menjadikan sektor pengasuhan sebahagian daripada ekosistem sokongan ekonomi dan sosial negara.

“Kita perlu mengubah persepsi yang ia sekadar satu pekerjaan. Hakikatnya, profesion pengasuhan amat berkait dengan kemampuan ibu bapa untuk bekerja.

“Menjaga mereka yang menjaga anak-anak kita samalah seperti menjaga masa depan Malaysia,” katanya menurut Bernama.

Beliau berucap merasmikan Gala Pesona Kasih Madani Zon Tengah di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Tengku Zafrul berkata, pengalaman berinteraksi dengan komuniti turut memperlihatkan bagaimana sesebuah keluarga amat bergantung kepada pengasuh yang boleh dipercayai, khususnya bagi membolehkan ibu bapa meneruskan pekerjaan dan pada masa sama memastikan kebajikan anak terpelihara.

Beliau turut berkata aspek latihan, pensijilan, pengiktirafan dan perundangan berkaitan pengasuhan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan profesion itu mempunyai standard yang lebih kukuh serta mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata pandangan dan cabaran dikongsi golongan pengasuh menerusi program berkenaan akan dibawa kepada Kementerian Kewangan dan perdana menteri untuk dipertimbangkan dalam perancangan 2027, termasuk aspek sokongan, latihan, persijilan dan peluasan program berkaitan.

Kira-kira 600 pengasuh tidak formal, ahli keluarga, mentor, rakan program dan pihak berkepentingan menghadiri Gala Pesona Kasih Madani Zon Tengah dianjurkan bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta tahap profesional golongan pengasuh berasaskan rumah di Malaysia.

Sejak dilancarkan pada Ogos 2025, Kasih Madani telah mencapai lebih 1,000 pengasuh di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang menerusi program seperti Kursus Rintis Asuhan Madani (Karisma), Seminar Asuhan Madani (Semai) dan Bimbingan Keterampilan Profesionalisasi Asuhan Madani (Bitara).

Inisiatif dilaksanakan Merdeka Center dengan sokongan Yayasan Sime Darby dan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2026 itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, perancangan kerjaya, kepimpinan, penjenamaan diri serta bimbingan mentor bagi memperkukuh profesionalisme pengasuh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.