Kerajaan Selangor perluas syarat kelayakan kepada isi rumah berpendapatan RM8,000 ke bawah.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata BKS yang dilaksanakan secara berfasa antaranya bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis bekalan global.
Peringkat awal pelaksanaannya mengutamakan kumpulan rentan yang dikenal pasti melalui pradaftar, termasuk ibu tunggal dan ketua isi rumah miskin tegar. Permohonan BKS kemudian dibuka kepada isi rumah yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Anfaal berkata pendekatan berfasa itu memastikan golongan rentan diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum akses diperluaskan kepada kumpulan berpendapatan isi rumah lebih tinggi.
“Setiap perluasan syarat ini menambah kumpulan berkelayakan dan tidak menjejaskan kelayakan mereka yang layak pada fasa sebelumnya,” menurut kenyataan.
“Pemohon yang masih dalam proses semakan atau dalam kategori ditolak dan proses rayuan juga akan dinilai semula berdasarkan syarat kelayakan terbaharu.”
Antara syarat utama permohonan BKS adalah warganegara Malaysia dan pemilih berdaftar yang menetap di Selangor.
Pasangan berkahwin atau ibu bapa tunggal perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berumur 18 tahun ke bawah dan pendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah. Hanya seorang penerima bagi setiap isi rumah dan bukan penerima aktif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, tatacara permohonan dan pelaksanaan, orang ramai boleh melayari portal rasmi BKS di https://baucarkitaselangor.com/.
Permohonan juga perlu dibuat melalui aplikasi SELangkah. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.