`




THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Friday, November 30, 2012

TANGANI MASALAH BARANG TIRUAN



TENOM: Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani masalah barang tiruan di pasaran.

Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, berkata pihak kementerian perlu membuat pemantauan yang kerap kerana masih terdapat segelintir masyarakat di kawasan luar bandar yang kurang peka terhadap hak untuk mendapatkan sesuatu barangan yang berkualiti dan bermutu dalam membeli sesuatu barangan.
Beliau berkata, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan tambahan dalam membeli sesuatu barangan supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau membeli barangan yang tidak berkualiti terutamanya barangan tiruan.

“Saya tidak mahu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar terpedaya atau tertipu dengan pelbagai teknik penjualan dan pemasaran yang dilakukan oleh sesebuah syarikat yang menjual produk mereka untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.

“Rakyat yang juga merupakan pengguna perlu bijak, teliti dan mendapatkan maklumat langsung mengenai sesuatu barangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan tersebut kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Majis Perasmian Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, di Sedco Vest Tenom, baru-baru ini.
Mengenai penubuhan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom ini, katanya, amat bermanfaat kepada peniaga dan penjaja di sekitar daerah Tenom kerana segala urusan atau masalah dapat diselesaikan menerusi kerjasama di antara ahli-ahli dalam persatuan.

“Dengan adanya persatuan ini, ahli-ahli persatuan akan dapat menyuarakan pendapat atau masalah yang dihadapi tanpa menyelesaikannya secara bersendirian.

“Dalam menubuhkan persatuan ini, aspek pentadbiran persatuan amat penting disusun dengan baik dan teratur kerana persatuan yang mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang baik akan dapat menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli persatuan dalam membantu menyelesaikan sesuatu masalah,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Raime turut mengingatkan para penjaja dan peniaga kecil supaya mendaftar di bawah Majlis Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (M3P) melalui persatuan sebagai persiapan untuk pemberian Perlindungan Insurans Berkelompok secara percuma melalui Skim Takaful Mikro Bank Rakyat.

“Skim ini bertujuan untuk memberi perlindungan dan menjaga kebajikan peniaga daripada sebarang masalah seperti kemalangan. Manakala, faedah perlindungan insuran ini sehingga umur seseorang peniaga itu mencecah umur 70 tahun.

“Skim ini juga akan mulai berkuatkuasa pada bulan Januari 2013 dan semua para penjaja dan peniaga kecil adalah digalakkan untuk mendaftar segera,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Fredian Gan, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, Tukimin Tumin, pegawai KPDNKK dan para peniaga kecil.

No comments:

Post a Comment