`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 26, 2012

BOLEHKAH PINJAM MATA PENGARAH JPN?



BURUK.....Zaki (depan sekali) dan adik-adiknya menunjukkan signal yang memangnya dimengertikan JPN. Turut menyaksikan nasib malang keluarga ini, Penyelia Taman Cahaya, Haji Ibrahim (kanan sekali)

Oleh : MUTALIB M.D

"BOLEHKAH saya pinjam mata Pengarah Pendaftaran supaya saya dapat bikin IC?," tanya Yusof Apalal, 53, seorang penghuni Rumah Orang Buta di Taman Cahaya Sandakan, yang tidak mendapat sebarang bantuan kerana beliau dan enam anaknya tidak memiliki kad pengenalan.

Yusof adalah antara penghuni awal Rumah Orang Buta di Taman Cahaya yang diabaikan oleh Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia kerana 'Buta' dan Sindrom 'Orang Buta' tidak perlukan kad pengenalan; jika tidak, sudah tentu lebih 20 orang buta berketurunan Dusun di Taman Cahaya sudah mendapat kad pengenalan.
Memang amat malang bagi Yusof dan enam anaknya kerana Jabatan Pendaftaran sering menggunakan Dasar 'Telur dan Ayam'; sedangkan hakikatnya tidak mungkin bagi seorang kanak-kanak buta mengheret ibu bapanya ke Jabatan pendaftaran Negara; sedangkan JPN merupakan penyimpanan data peribadi rakyat Malaysia.

Jika JPN boleh memberikan kad pengenalan melalui jalan songsang kepada lebih 3.2 juta Warga Asing Indonesia, Filipina, Pakistan, India, China dan sebagainya; kenapa tidak dapat meluluskan kad pengenalan bagi seorang buta demi kejayaan enam orang anaknya yang digantung tidak bertali, 'Warganegara Belum Ditentukan'.

Mungkin Yusof sudah putus asa dan terlalu geram dengan penghinaan masyarakat dan sindiran tajam Pegawai Pendaftaran yang meminta 'dokumen' yang beliau tidak ada; apatah lagi setelah Akta DNA diluluskan Parlimen kini menjadi hiasan dan lelucon untuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.

Menurut Yusof kedua ibubapanya memiliki kad pengenalan dan merupakan anak jati Sabah daripada keturunan Suluk, tetapi akibat buta beliau disisih di Taman Cahaya ketika berusia 19 tahun sehingga kini.

Di Taman Cahaya beliau bertemu jodoh dengan gadis buta berketurunan Bajau, Rugayah Bte Nujan sehingga mendapat enam cahaya mata yang kesemuanya di lahirkan di Hospital Duchess of Kent.

Nasib malang Yusof dan isterinya diwarisi anak-anaknya kerana walaupun kesemuanya mempunyai Sijil Kelahiran, namun masih menjadi 'Warga Kayangan' kerana kerakyatan yang 'Belum Ditentukan' menyebabkan hidup mereka diambang kemiskinan yang merantai; bukan sahaja tidak dapat melanjutkan pelajaran, malah tidak dapat mencari pekerjaan.

Kematian isteri Yusof menyebabkan bebannya membesarkan anak semakin sukar kerana beliau tidak layak menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan terpaksa mengharap ehsan Taman Cahaya untuk menghulurkan makanan dan barang keperluan.

"Mujur juga anak sulung saya, Zaki dan adiknya King Birthday mendapat kerja sebagai buruh kontrak untuk menampung kehidupan kami sekeluarga," ujar Yusof yang kesal kerana dua anaknya, Mohd Noor dan Gabie ditamatkan persekolahan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan.

Kata Yusof, beliau semakin bimbang kerana masa hadapan anaknya akan terumbang ambing jika beliau sudah meninggal dunia kerana selama ini hanya mengharap ehsan Taman Cahaya; yang bukan sahaja tidak mempunyai dana, malah turut mengharapkan ehsan orang ramai.

"Saya pernah diberi resit kad pengenalan ini (menunjukkan satu resit laporan kehilangan kad pengenalan bernombor H0597226 bertarikh 13 Ogos 1990) tetapi dia orang bilang ini tidak benar," kata Yusof tidak dapat mengingat nombor kad pengenalannya.

Sepanjang hayatnya, kata Yusof, beliau hanya memiliki resit report kehilangan kad pengenalan mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 972; tetapi tidak menggunakannya kerana Pegawai Pendaftaran memberitahunya sebagai palsu, namun mereka tidak berusaha untuk membantu Yusof dan keluarganya.

Sejak daripada itu, saban tahun Yusof mengunjungi Jabatan pendaftaran Sandakan tetapi tidak pernah berhasil melepasi saringan kerana kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dan beliau telah terputus hubungan dengan saudara masa sejak dimasukkan ke Rumah Orang Buta (Taman Cahaya) di Rancangan Sungai Manila, Sandakan.




RESIT.....Mampukah seorang buta membuat IC Palsu? Sudah pasti resit ini mungkin betul tetapi  IC tersebut diwariskan kepada orang lain dan kemudiannya dinyatakan sebagai palsu?

MALANG.....Zaki menunjukkan Sijil Lahirnya. JPN memberinya taraf warganegara BELUM DITENTUKAN. Buntu menghadapi krisis identiti yang fidak berkesudahan.




KANDAS....Mohd Noor menunjukkan surat halangan bersekolah yang dia dan adiknya terima daripada sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan.


Dalam pada itu, anak sulungnya, Zaki Bin Yusof yang dilahirkan pada 26 November 1991 dan diberi nombor pendaftaran 10213/91 di Hospital Duchess of Kent turut melahirkan rasa kesal kerana beliau dan keluarganya adalah Anak Jati Sabah berketurunan Suluk, sama seperti Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, tetapi dilayan sebagai warga kelas kambing kerana diberikan kerakyatan 'Belum Ditentukan'.

"Trauma dengan keadaan ini sejak kecil, saya dan adik-adik saya tidak mahu belajar atau mewarisi bahasa Suluk kerana kami dianggap sebagai pendatang. Tapi bolehkah Pendatang jadi TYT?" tanya Zaki yang memberikan satu sindiran tajam.

Disebabkan kerakyatannya 'Belum Ditentukan', maka Zaki terpaksa bekerja sementara dengan beberapa sub-kontraktor untuk meringankan beban bapanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Zaki dan adik-adiknya, King Birthday, Muhammad Abdullah, Mohammad Ilham, Gabie dan Mohd Noor turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Penyelia Taman Cahaya, Haji Ibrahim Haji Hamid kerana begitu prihatin terhadap nasib keluarga mereka dan tidak jemu-jemu menghantar mereka sekeluarga saban tahun ke Jabatan Pendaftaran Negara Sandakan untuk memohon kad pengenalan sekalipun ditolak.

Dalam pada itu, Haji Ibrahim yang telah bertugas dengan Taman Cahaya sejak 1978, kenal benar dengan ibu bapa Yusof, tetapi kurangnya kerjasama mereka menyebabkan usaha untuk mendapatkan kad pengenalan bagi Yusof dan anak-anaknya gagal sehinggalah kedua ibu bapa Yusof meninggal dunia.

"Saya harap Pengarah JPN Sabah, atas nama kemanusiaan, berilah kelonggaran kepada Yusof dan keluarganya mengikut peruntukan Perlembagaan dan hak mereka sebagai warganegara," kata Haji Ibrahim lagi.

Tegas Haji Ibrahim, polisi JPN tidak pernah mengecualikan orang buta kerana mereka juga memerlukan kad pengenalan untuk berurusan; malah ramai orang buta di Taman Cahaya tidak memiliki kad pengenalan.

"Taman Cahaya adalah 'Syurga' bagi Orang Buta yang selama ini disisihkan masyarakat. Kita ambil mereka dari segenap pelusuk kampung, kita latih mereka sehingga boleh berdikari dan bukan meminta-minta," kata Haji Ibrahim yang mengakui dua pertiga daripada penghuni Taman Cahaya menghadapi masalah identiti.

Kata Haji Ibrahim, pihaknya hanya mengambil pelatih daripada kalangan rakyat Malaysia dan bukannya PATI. Ketiadaan dokumen peribadi katanya, bukanlah penentu mutlak kerakyatan kerana sikap keluarga yang menganggap orang buta tidak perlu MyKad sudah begitu lama bersemadi di Malaysia.

"Persoalannya, sampai bilakah kita akan membiarkan kezaliman ini berlaku," tanya Haji Ibrahim yang menyifatkan birokrasi JPN telah menyebabkan masa hadapan penghuni Taman Cahaya terus gelap kerana tidak ada sebarang cahaya di hujung terowong JPN.

BERSAMBUNG DI EPISOD AKAN DATANG

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.