`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 13, 2012

PENDUDUK KAMPUNG KESAL KUALITI JALAN RAYA




KEMABONG: “Kami merasa kecewa dengan jalan raya yang diperbaiki tidak seperti apa yang kami harapkan”. Itu reaksi Pengerusi JKKK Kg. Bakuku, Ulu Tomani, Lauwas Tingkalu, 56, (gambar) yang berasa amat kesal dengan keadaan jalan raya yang menghubungkan Kg. Ulu Tomani sehinggalah ke Kg. Rundum.

Lauwas berkata, sebelum pilihan raya pada tahun 2008 lagi wakil rakyat di sini ada menyatakan bahawa akan membina jalan raya di Ulu Tomani namun sehingga pada hari ini masih juga tidak berubah dan tidak ada tindakan.
“Jadi rakyat terutamanya penduduk kampung di sekitar Ulu Tomani sehingga ke Kg. Rundum seperti Kg. Tinura, Kg. Alutok, Kg. Kaang, Kg. Malutut dan Kg. Mahunsop tertanya-tanya bilakah pelaksanaan pembinaan jalan raya dilakukan.

“Ada juga baru-baru ini jalan raya di sini dibina melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sejauh 2.9 km seperti jalan FELCRA, iaitu dengan membuang pasir dan batu sahaja di atas jalan.

“Jalan itu dibina pada bulan September 2011 dan siap pada Januari 2012, namun penduduk kampung hanya dapat menggunakan jalan itu selama dua bulan sahaja kemudian jalan itu kembali rosak teruk,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Katanya, jalan itu tidak dapat bertahan lama terutamanya apabila musim hujan, jalan kembali menjadi licin dan berlubang.

“Kami merasa kecewa dengan keadaan ini kerana kami sebenarnya mengharapkan kualiti jalan yang lebih baik dan dapat digunakan selamanya kerana untuk memudahkan penduduk kampung membawa hasil-hasil pertanian ke pekan kecil Kemabong dan Tenom.

“Kami merayu kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya dapat menunaikan janji sebelum PRU-13 kerana kami tidak mahu penduduk di sini mulai hilang kepercayaan kepada pihak kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat hari ini sudah bijak untuk menilai dan tidak akan mudah lagi mempercayai sebarang janji sebelum janji itu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kami tidak mahu masalah seperti ini akan menjadi isu yang digunakan oleh pihak pembangkang bagi meraih undi penduduk kampung, justeru kami amat berharap pihak kerajaan dapat mengotakan janji secepat mungkin kerana kami tahu pihak kerajaan benar-benar memperjuangkan hak dan nasib rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.