`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, January 9, 2013

BURUH ASING DIKHUATIRI LEMAS



MENCARI.....Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan pihak Bomba dan Penyelamat, APMM, PPM, JPAM, para pengendali bot penumpang, nelayan dan rakan-rakan mangsa.

Oleh : AMIR ANUAR

TAWAU: Seorang buruh dikhuatiri mati lemas selepas bertindak nekad terjun ke laut sekitar jam 11.30 pagi kelmarin bagi mengelak ditahan semasa Jabatan Imigresen menjalankan pemeriksaan mengejut di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Menurut rakan sekerjanya yang ditemui tetapi enggan dikenali, mangsa difahamkan dikenali sebagai Kahar Koko, 37, lelaki warga Indonesia dan telah bekerja sebagai buruh sampingan di CIQ selama hampir 10 tahun.

Difahamkan, sebelum insiden itu berlaku mangsa bersama enam lagi rakannya menyorokkan diri di belakang sebuah feri penumpang ke Tarakan, namun mangsa dan rakan-rakannya bertindak terjun ke perairan Sabindo apabila anggota Imigresen menghampiri mereka.

Salah seorang rakannya difahamkan sempat ditahan oleh pihak Imigresen sebelum sempat terjun, manakala lima lagi dapat menyelamatkan diri, sementara mangsa pula yang dipercayai berenang sambil membawa sebuah beg dilihat dalam keadaan lemah dan lemas di laut.

Mangsa dikatakan sempat melambaikan tangan dan timbul tenggelam sebanyak tiga kali sebelum kelibatnya langsung tidak kelihatan dalam insiden itu, dan usaha menyelamatkannya masih lagi giat dijalankan (mangsa belum ditemui sehingga jam 5 petang kelmarin).

Salah seorang rakan sekerja mangsa yang turut menyelam membantu mencari lelaki terbabit, Jefrie Abd Salam, 22, berkata beliau sempat memegang kaki mangsa namun tidak berjaya menariknya ke permukaan laut kerana arus laut yang deras.

“Saya cuba menyelam sekali lagi menggunakan tali dan sauh yang dihulurkan oleh pihak bomba, tapi malangnya saya tidak berjaya menemui kelibat mangsa apabila menyelam sekali lagi,” katanya sambil menambah, keadaan dasar laut yang gelap menyukarkan lagi usahanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.44 pagi serta memulakan gerakan mencari mangsa pada jam 11.57 pagi dengan kekuatan sembilan anggota dan seorang penyelam.

“Buat masa ini, kerja-kerja mencari mangsa berhadapan sedikit kesukaran kerana keadaan laut sedikit bergelora ataupun beralun dan di dasarnya pula arus laut agak deras,” katanya yang turut mendedahkan bahawa pihaknya menggunakan kaedah selaman di permukaan.
Mengulas lanjut, Rudy tidak menolak kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke lokasi lain oleh arus laut, bagaimanapun pihaknya akan menumpukan di lokasi awal mangsa dilaporkan hilang iaitu di sekitar perairan berhampiran CIQ dan Pasar Ikan Tawau.

Selain bomba, usaha mencari dan menyelamat Kahar turut dijalankan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), para pengendali bot penumpang, nelayan dan rakan-rakan mangsa. (UB)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.