`


Thursday, January 10, 2013

KES DADAH TERTINGGI DI KOTA KINABALU



SIJIL....Abidin (dua kanan) menyampaikan sijil kepada seorang peserta sambil diperhatikan oleh Yeo (tengah).

KOTA KINABALU: Bandaraya Kota Kinabalu direkodkan mempunyai bilangan kes penagih dadah yang tertinggi di negeri Sabah. Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir menyatakan salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah berkenaan adalah bilangan penduduk bandaraya menghampiri setengah juta, iaitu lebih ramai berbanding daerah-daerah lain.

“Saya berharap ceramah dan taklimat yang disampaikan memberikan pengetahuan kepada para pengetua dan guru besar, selaku pendidik di sekolah masing-masing, betapa seriusnya masalah dadah sekiranya tidak dibendung dari peringkat awal.
“Sejak beberapa tahun ini, dilaporkan kes-kes melibatkan golongan muda khususnya kaum wanita yang telah dijadikan keldai untuk membawa atau mengedar dadah oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dan menambah, hukuman berat masih tidak menghalang segelintir pihak mengedar dadah.

Katanya, isu keselamatan juga merupakan keutamaan pihak DBKK seperti yang digariskan dalam agenda 5K (Kebersihan, keindahan, keselamatan, keteraturan dan kesejahteraan).

“Saya percaya hanya dengan adanya kerjasama daripada semua pihak termasuklah sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Dadah Malaysia (Pemadam) dan seluruh lapisan masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu, aktiviti penyalahgunaan dadah akan dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berkata kesedaran adalah sangat penting dalam usaha membanteras masalah dadah dan Pemadam juga telah banyak melakukan program kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah, di tempat kerja dan sektor kerajaan.

“Perubahan gaya hidup merupakan salah satu faktor dan kita perlu menjalani kehidupan yang sihat. Kanak-kanak perlu diberikan bimbingan serta nilai-nilai seperti kekeluargaan dan agama,” katanya dan menambah, penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekolah-sekolah adalah masih terkawal.

Dalam pada itu, seramai 94 peserta terdiri daripada para pengetua dan guru besar telah mengambil bahagian dalam program CEKAP (Cemerlang, efisien, kerjasama, amanah, dan progresif) anjuran Pemadam, yang melibatkan sekolah-sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

Ceramah itu disampaikan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Kinabalu, Insp Latep anak Bakeri.

No comments:

Post a Comment