`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 10, 2013

PATI TERJUN KE LAUT DITEMUI TERAPUNG




BANTU....Anggota JPAM dan orang awam membantu mengangkat jenazah Kahar.

Oleh : AMIR ANUAR

TAWAU: Misi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang nekad terjun ke perairan Sabindo kerana mengelak daripada dicekup pihak Jabatan Imigresen berakhir setelah hampir 20 jam apabila mayat mangsa ditemui terapung berhampiran lokasinya dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, mayat Kahar Koko, 37, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8.25 pagi kelmarin dalam keadaan lengkap berpakaian berhampiran Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.
“Semasa mayat lelaki itu ditemui, pasukan mencari dan menyelamat telahpun memulakan operasi, namun secara kebetulan mayatnya timbul dan terapung di permukaan air,” katanya ketika dihubungi sambil mengesahkan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.

Mengulas mengenai kes itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah mengesahkan tentang insiden itu dan menyatakan bahawa siasatan ke atas mayat mangsa dijalankan mengikut Seksyen 7 (1) Ordinan Pemeriksaan (Inquest Ordinance).

Dalam masa sama, Awang mengingatkan para majikan agar tidak sesekali menggaji pekerja warga asing tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bagi mengelak daripada dikenakan dengan sebarang tindakan undang-undang.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diupah,” katanya.

Sementara itu, Konsul Muda Bahagian Tenaga Kerja, Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Asrarudin Salam berkata pihaknya telah mengenal-pasti identiti dan keluarga mangsa yang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Tambahnya, pihak konsul akan membantu urusan pengebumian jenazah Kahar dan telah memaklumkan ahli keluarga lelaki terbabit yang berada di Pindrang, Sulawesi Selatan, Indonesia mengenai insiden itu.

“Justeru, kita juga menasihati warga Indonesia yang berada di negara ini agar memastikan diri masing-masing memiliki dokumen pengenalan diri yang sah samada untuk bekerja ataupun untuk melancong.

“Begitu juga, sekiranya ada pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa di negara ini, janganlah melarikan diri bahkan ke tempat-tempat berbahaya yang berisiko seperti di kawasan laut,” katanya.

Untuk rekod, jenazah mangsa telahpun dituntut oleh ahli keluarganya sejam selepas mayatnya dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut dan dibawa ke Masjid Raya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Utara.

Terdahulu, Kahar yang bekerja sebagai buruh sampingan selama hampir 10 tahun di CIQ Tawau dikhuatiri mati lemas apabila tidak kelihatan selepas terjun ke laut kerana hendak mengelak daripada dicekup oleh pihak penguatkuasa Jabatan Imigresen. (UB)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.