`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 21, 2013

Punca kemerosotan SJKT


Sebuah akhbar Tamil juga sedang menjalankan kajian mengenai topik yang cukup sensitif ini.
COMMENT
Pada pagi 10 Januari 2012, saya terdengar suatu maklumat penting yang disampaikan menerusi stesen radio Tamil, MinnalFM mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Dinyatakan bahawa kajian awal mendapati jumlah pendaftaran murid ke SJKT semakin merosot dan sebuah akhbar Tamil sedang membuat kajian serta tinjauan bagi mengenal pasti punca-puncanya.
Topik berkaitan guru besar SJKT pernah saya bincangkan bersama-sama rakan-rakan menerusi laman rangkaian sosial Facebook sebelum didokumentasikan dalam dua makalah pada November dan Disember 2012.
Pada kali ini, saya juga berminat untuk tahu mengapa ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT. Selain daripada itu, apakah kekurangan (jika ada) pada sistem pendidikan SJKT yang perlu dibaiki. Saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di SJKT dan tahu serba sedikit mengenai situasi sebenar yang wujud.
Saya membuka topik ini untuk dibincangkan oleh rakan-rakan menerusi Facebook dan maklum balas yang diperoleh agak menarik dan menyeluruh. Topik ini juga saya percaya sangat sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan melibatkan hampir kesemua 523 buah SJKT di Malaysia.
Semasa Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor di Universiti Selangor (Unisel) pada 18 November 2012, Jiwi Kathiah dari Yayasan Tamil mendedahkan pelbagai kepincangan yang wujud dalam sistem SJKT. Pada pandangan beliau, Kerajaan Pusat – “Barisan Nasional dan UMNO” – sedang berusaha bersungguh-sungguh dan licik untuk menghapuskan SJKT secara terancang.
Apabila topik SJKT dibincangkan menerusi Facebook pada 11 Januari lalu, Revathi dari Kedah mengemukakan pandangan bahawa SJKT berdepan dengan masalah kekurangan pelbagai kemudahan paling asas yang diperlukan untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P & P).
“Maka, pada pemerhatian saya, ibu bapa terpaksa memilih antara sentimen kepada sekolah aliran bahasa ibunda atau suasana pembelajaran terbaik bagi anak-anak. Secara rasional, tentulah mereka lebih memilih Sekolah Kebangsaan (SK) dalam hal ini,” kata pelajar jurusan undang-undang itu.
Kekurangan infrastruktur
Bagi Ally Hazran Hashim @ Johnson Doss, seorang pendakwah bebas dari Cheras, kekurangan infrastruktur menjadi punca utama ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT walaupun mereka amat mencintai bahasa ibunda.
“Kebanyakan bangunan SJKT umpama pondok dan kontena, tanpa kemudahan padang dan pelbagai kemudahan lain. Kekurangan guru pakar terlatih dan sumber yang sangat terhad juga menjadi punca. Berbanding dahulu, ibu bapa kaum India pada masa kini tidak menghadapi kesukaran menghantar anak-anak ke SK untuk mendapatkan pendidikan yang lebih menyeluruh dan sempurna,” katanya.
Pada pandangannya, ibu bapa juga mahu anak-anak belajar dan membesar dalam kalangan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Kehadiran guru-guru pelbagai kaum yang terlatih dan pakar bidang di SK juga menjadikan murid-murid lebih berpeluang menimba ilmu secara menyeluruh dan berkesan.
Sukatan pelajaran dan pendekatan pelajaran yang digunakan di SJKT mendapat perhatian seorang surirumah, Aslambigai dari Sentul, Kuala Lumpur. Katanya, Bahasa Tamil sepatutnya diajar sebagai “bahasa” dan bukan dijadikan sebagai “bahasa pengantar tunggal” di sekolah.
“Pengajaran Bahasa Tamil di SJKT seharusnya menggabungkan usaha-usaha memperkaya penguasaan bahasa, sastera dan budaya Tamil. Pada masa sama, biarlah sukatan pelajaran sama seperti di SK kerana murid SJKT berhak mendapat pendidikan sama rata. Janganlah kerana mengejar ‘bahasa’, kita menafikan hak-hak lain anak-anak kita,” ujarnya.
Raba’ahtul ‘Alawyah Kamaruddin dari Taiping, Perak berpendapat bahawa persepsi golongan ibu bapa kaum India yang berpendidikan tinggi juga menjadi salah satu punca mereka kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT.
“SK dengan kemudahan yang lebih lengkap serta lokasi yang kondusif berdekatan tempat kerja ibu bapa juga boleh menjadi punca. Proses P & P juga didapati lebih baik di SK dengan suasana murid-murid dan guru-guru pelbagai kaum,” kata guru itu yang mempunyai enam anak.
Kemudahan asas
Pada pemerhatian Nahur A Kamel Omar dari Kuala Lumpur pula, kekurangan kemudahan asas menjadi punca utama dan ibu bapa memang berhak memilih sekolah yang lengkap serta sempurna untuk menghantar anak-anak bagi menimba ilmu.
“Kita lihat sendiri bagaimana SJKT selalu meminta derma daripada orang ramai tetapi sehingga kini, nampaknya tidak ada banyak perubahan pada keadaan SJKT. Cabaran dunia pendidikan semakin meningkat tetapi malangnya SJKT masih di takuk lama,” usahawan berumur 40 tahun itu meluahkan kekesalan.
Mohd Isadlihafizie Ismail @ Isadli Al-Lanasi turut berpendapat bahawa prasarana di SJKT wajar dipertingkat jika mahu ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.
“Saya rasa, SJKT boleh berusaha mendapatkan sumbangan daripada syarikat-syarikat besar bagi mengatasi masalah ini. Sasaran SJKT pula tidak harus lagi hanya tertumpu pada komuniti Tamil; sebaliknya usaha menarik murid pelbagai kaum perlu dipergiatkan. Akan tetapi, tentulah pelbagai masalah di SJKT perlu diatasi terlebih dahulu,” kata pemuda berumur 30 tahun itu yang menjadi guru Pendidikan Islam di sebuah SK di Keningau, Sabah.
Topik mengenai kemerosotan kemasukan murid ke SJKT turut mendapat perhatian R. Balamurali @ Vehl Murali, seorang peguam dari Sungai Buloh.
“Setiap kali berlaku kemerosotan kemasukan murid ke SJKT, strategi yang lazim digunakan untuk memujuk ibu bapa adalah ‘kesetiaan terhadap bahasa ibunda’. Sepatutnya, kita memikirkan punca kemerosotan dan bukan menggunakan sentimen seperti itu. Ibu bapa sekarang lebih mementingkan kualiti pendidikan bagi anak-anak. Saya juga bekas murid SJKT tapi saya lihat kualiti dan komitmen guru-guru SJKT sekarang merosot,” kata pemuda berumur 29 tahun itu.
Bagi Nizha Periaswamy, 32 tahun, dari Shah Alam, beliau sudah memutuskan untuk menghantar seorang atau kedua-dua anaknya ke SJKT. Pandangan wartawan ini mengenai punca kemerosotan pendaftaran murid SJKT agak menarik.
“Pasangan suami-isteri kaum India pada masa kini mempunyai jumlah anak yang kurang berbanding zaman ibu bapa dan datuk-nenek mereka. Dalam keadaan ini, mereka mahu memberikan peluang pendidikan terbaik bagi anak-anak. Sebab itu mereka sanggup mengeluarkan belanja tambahan bagi menghantar anak-anak ke SJK Cina, sekolah swasta atau sekolah antarabangsa,” katanya.
Kurang sumbangan
Sivabarathi Munikanan ada tiga anak dan seorang daripadanya belajar di SJKT. Pada pemerhatiannya, masyarakat India bersikap terlalu pemurah apabila diminta memberi sumbangan wang bagi kuil dan upacara agama. Akan tetapi, jika diminta menderma bagi SJKT, mereka berfikir banyak kali dan hanya memberi sedikit sumbangan.
“Satu lagi realiti yang tidak boleh disembunyikan adalah politik dalaman di SJKT. Bukanlah suatu rahsia bahawa sering kali berlaku pertelingkahan dan perebutan dalam soal-soal kecil dan besar seperti jawatan dalam PIBG dan kontrak pengurusan kantin. Tentulah ibu bapa gusar untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang ‘bermasalah’ seperti ini,” kata ibu berkenaan yang merupakan editor kanan sebuah jurnal perundangan.
Rayner Sylvester Yeo dari Bandar Baru Klang pula ada pandangan berbeza dan ‘amaran’ tersirat. “Sekiranya sekolah aliran Inggeris tidak dihapuskan dahulu, saya yakin SJKC juga mungkin mengalami nasib yang sama. Hilangnya sekolah aliran Inggeris dalam sistem pendidikan negara menyebabkan ibu bapa kaum Cina memilih untuk menghantar anak-anak ke SJKC,” kata kakitangan awam itu yang berasal dari Sabah.
“Ramai ibu bapa – termasuk saya – tidak sudi menghantar anak-anak ke SJKT kerana kekurangan prasarana dan pentadbiran yang tidak cekap. Terlalu banyak politik di SJKT, selain isu kebersihan dan kesihatan yang kurang diberi perhatian. Sebenarnya, ada ramai guru berpotensi di SJKT tetapi dipinggirkan atas sebab politik dalaman,” kata Antonie William S. Augustine, seorang pekerja swasta dari Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Turut mengemukakan pandangan mengenai topik kemerosotan kemasukan murid SJKT ialah Shakti Nageshvari dari Teluk Intan, Perak yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Sains Malaysia (USM).
“SJKT di Pulau Pinang juga berada dalam keadaan daif. Sekolah-sekolah ini berjiran dengan kuil dan dewan perkahwinan yang lengkap dengan segala kemudahan. Manusia takut untuk ‘tidak’ menghulurkan derma untuk kuil, tetapi kalau derma untuk SJKT, seribu satu soalan ditanya dan akhirnya dengan berat hati menghulurkan seringgit atau dua ringgit sahaja. Maka, pada pandangan saya, mentaliti atau pemikiran masyarakat India terhadap SJKT perlu juga diubah bagi mengatasi masalah yang berlaku ini,” katanya.
Tiada dana
Seorang lagi rakan yang sempat mengemukakan pendangan menerusi perbincangan di Facebook ialah Thipajothi Ramani, seorang peguambela dan peguamcara dari Petaling Jaya.
Sebagai seorang ibu, beliau mengaku ingin menghantar anaknya ke SJKT atau sekurang-kurangnya ke kelas khas bagi memastikan anaknya tahu bahasa ibunda.
“Berkenaan topik kemerosotan pendaftaran murid di SJKT, fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa kebanyakan SJKT mengalami kekurangan prasarana dan kemudahan asas. Memang ada yang berkata, sekiranya kaum Cina boleh membangunkan dan memajukan SJKC dengan duit sendiri, kenapa kaum India tidak boleh. Kita perlu faham bahawa rata-rata kaum India makan gaji dan masih dalam proses meningkatkan diri dari segi sosio-ekonomi dan politik.
“Kita juga jangan lupa akan tanggungjawab pihak berkenaan yang sememangnya bertanggungjawab memastikan semua sekolah (termasuk SJKT dan SJKC) di negara ini mempunyai kemudahan yang wajib. Tiada alasan untuk lari daripada tanggungjawab itu,” katanya tanpa menghuraikan siapakah ‘pihak berkenaan’ yang dimaksudkan.
Mungkin juga “pihak berkenaan” merujuk kepada Kerajaan Pusat atau Kementerian Pelajaran yang sesungguhnya bertanggungjawab dalam hal ini. Atau mungkin juga MIC sebagai parti politik yang mengaku ia satu-satunya pertubuhan politik yang layak dan berhak mewakili kaum India. Malah, seperti diketahui umum, MIC juga diberi kepercayaan – dan wang – oleh Kerajaan Pusat untuk disalurkan ke SJKT.
Apa-apa pun, nyatalah bahawa ada pelbagai pihak dan pelbagai sebab yang menjadi punca kemerosotan kemasukan murid-murid ke SJKT sejak belakangan ini. Jika tiada langkah segera diambil, maka lingkaran syaitan – vicious circle – ini akan berterusan sampai bila-bila di negara bertuah ini.
Uthaya Sankar SB sering berkongsi pelbagai topik bersama rakan-rakan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.