`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 27, 2013

Kembali Kepada Sistem Raja Berperlembagaan

Kembali Kepada Sistem Raja Berperlembagaan 


Kita sedang berada di landasan yang salah dalam usaha kita untuk membangunkan Negara bangsa. Pelan Transformasi Negara yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju yang berpendapatan tinggi akan membawa kita lebih cepat ke arah kehancuran.

Kenapa? Persoalan pokok di sini adalah untuk apa kita mempunyai pendapatan yang tinggi sekiranya kita tidak mampu mengawal inflasi. Inflasi semakin hari semakin tinggi. Walau pun pihak pemerintah sering mengatakan yang sebaliknya namun rakyat dapat merasainya setiap hari. Setiap hari harga barang semakin naik.


Ungkapan “The escalating cost of living and the decreasing power of purchasing" atau "meningkatnya kos sara hidup dan semakin menurunnya kuasa belian" menggambarkan keadaan sebenar yang sedang di alami oleh masyarakat.

Apa yang mampu kita buat untuk mengubah keadaan? Jawapannya senang. Kita tidak mampu berbuat apa-apa.

Kenapa? Sebab semuanya di tangan Allah. Sudah di takdirkan bahawa sistem sekular yang kita amalkan pada hari ini akan menemui zaman kehancurannya tidak lama lagi.

Slogan demokrasi "dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat" membawa makna bahawa rakyat berkuasa untuk berbuat apa sahaja. Buktikanlah bahawa slogan itu benar. Ubahlah keadaan sekiranya benar-benar rakyat berkuasa sebagaimana makna demokrasi itu sendiri. Kuasa Rakyat.


Segalanya sudah tertulis di dalam Al-Quran dan sudah di sabdakan oleh junjungan kita Nabi Muhamad Rasulullah SAW. Yang bathil ini akan hancur dan akan di gantikan dengan yang haq.

Bersedialah wahai umat! Kita di berikan peluang untuk menyaksikan bahawa janji Allah itu benar! Ia pasti akan berlaku dan saatnya sudah hampir tiba.

Lihat sahaja Amerika dan Eropah. Apa yang sedang mereka alami sekarang. Demokrasi dan Kapitalisme yang mereka agung-agungkan dan puja-puja selama ini sedang menghancurkan tamadun mereka. Apa pilihan yang mereka ada selain mengisytiharkan perang terhadap Islam.

Kenapa? Sebab Islam sahaja yang mampu membongkarkan pembohongan dan tipu-daya mereka. Kekayaan, kemajuan dan kehebatan yang mereka miliki selama ini adalah hasil daripada tipu daya dan muslihat mereka terhadap umat Islam.

Hakikatnya….. Siapa sebenarnya yang mereka bohongi kalau bukan diri mereka sendiri. Mereka tolak Al-Quran, mereka tolak hadis. Mereka merasakan bahawa mereka lebih pintar dan hebat daripada Allah dan RasulNya.

Tunggu! Janji Allah sudah sampai. Pembohongan mereka sendiri yang sedang menghancurkan mereka. Siapa yang sepatutnya mereka salahkan kalau bukan diri mereka sendiri.


Apa yang cukup menyedihkan… Umat Islam sendiri masih belum sedar dengan apa yang sedang berlaku. Mereka masih lena. Masih di ulit mimpi-mimpi indah yang di ciptakan oleh musuh-musuh mereka dari barat.

Mereka tinggalkan Al-Quran dan Sunnah kononnya ingin maju seperti orang-orang barat. Mereka masih mengaku Islam walaupun pada hakikatnya pemikiran dan jiwa mereka sudah seperti orang-orang barat.

Mereka sembahyang tetapi tidak pernah menyembah Allah. Mereka berpuasa tetapi tidak pernah menahan diri dari larangan-larangan Allah. Mereka mengaji tetapi tidak pernah mengkaji.

Pemikiran dan tindak tanduk mereka semuanya merujuk kepada barat. Pemujaan yang seharusnya hanya kepada Allah di gantikan dengan memuja segala yang datang dari barat. Barat sudah jadi tuhan baru buat umat islam tanpa mereka sedar.

Bagi kita di Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana kita masih mempunyai Raja-Raja Melayu sebagai benteng terakhir kita untuk menghadapi rencana musuh Allah. Kita juga masih mempunyai perlembagaan Negara yang menjamin kuasa Raja dan hak umat Islam di Malaysia.

Alhamdulillah, segalanya ini adalah kurnian dari Allah Yang Maha Besar dan Maha Mengetahui kepada kita umat Islam di Malaysia. Seharusnya kita manfaatkan sebaik mungkin kurniaan Allah ini.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju apabila di sarankan bahawa kita perlu kembali kepada Raja-Raja Melayu dan perlembagaan Negara. Ini kerana kita sudah lama tertipu dengan manipulasi orang-orang politik yang ingin berkuasa dan mengekalkan kuasa.

Kita terpesona dengan slogan “kuasa rakyat". Kita merasa bahawa kita benar-benar berkuasa. Kita salah.Yang sebenarnya berkuasa adalah Allah SWT. Segalanya berlaku dengan kehendak dan izinNya jua.

Kita lupa bahawa sebagai rakyat kita hanya di perbodoh-bodohkan oleh orang-orang politik yang tamakkan harta dan kuasa. Rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi perkara biasa. Pembaziran di anggap tidak mengapa. Merompak hak rakyat dan menghabiskan hak rakyat sewenang-wenangnya tanpa rasa berdosa.

Hari ini bekas tangan-tangan kotor mereka menghumbankan Negara ke dalam keadaan yang kritikal. Baik dari segi politik mahu pun ekonomi. Tidak perlu cerita soal moral dan akhlak. Perkara itu sudah lama tiada. Agama hanya di jadikan instrumen untuk menghalalkan matlamat dan cara bukan sebagai satu cara hidup. Syiar Islam hanyalah topeng kepada kebejatan yang disembunyikan.

Sampai bila ini semua ingin kita biarkan? Membiarkan sahaja musuh-musuh Allah ini bermaharaja-lela. Bersultan di mata dan bertahta di hati sedangkan sultan yang sebenar kita mungkiri. Di mana kesetiaan kita kepada Raja dan Negara?

Tugas kita sebagai rakyat jelata wajib taat dan setia kepada Raja. Kita doakan semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada Raja-Raja kita. Yakinlah kalau Allah menghendaki Raja-Raja kita kembali beriman dan bertaqwa kepada Allah perkara seperti itu boleh berlaku dalam sekelip mata.

Kita selalu berharap untuk mempunyai seorang Raja yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dan memerintah dengan adil dan bijaksana tetapi kita sendiri tidak pernah berusaha untuk menjadi rakyat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kenapa begitu?


Mungkin lebih mudah mengharapkan orang lain beriman dan bertaqwa daripada kita sendiri yang beriman dan bertaqwa. Mungkin sudah menjadi lumrah manusia…. Lebih senang mengkritik orang lain dari mengkritik diri sendiri.

Kita sering lupa bahawa DYMM Yang Di Pertuan Agung (YDPA) adalah ketua Negara dan ketua agama di Negara Malaysia ini.

Dan kalau benarlah Islam di dalam perlembagaan Malaysia adalah merupakan agama Negara dan Islam sebagaimana tafsiran Mahkamah Tinggi Persekutuan sewaktu menghakimi kes Lina Joy bahawa Islam bukanlah sekadar dogma (ajaran) dan ritual (upacara) tetapi adalah satu cara hidup yang merangkumi politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, undang-undang dan sebagainya bukankah YDPA mempunyai hak dan kuasa yang mutlak terhadap Negara ini? Apakah kita sudah lupa dengan Sumpah YDPA sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan untuk mempertahankan Islam pada setiap masa?

Apakah sumpah itu sudah di penuhi selama ini? Kalau sudah…. Di mana Islam dalam politik, ekonomi, kewangan dan sebagainya? Kenapa Islam tidak kelihatan? Kenapa masih demokrasi dan kapitalisme yang mendominasi wajah negara? Kenapa system kuffar yang masih kita daulatkan? Kenapa bukan Islam yang di daulatkan? Apakah Islam sudah tidak relevan untuk di angkat sebagai satu sistem dalam kehidupan kita di Malaysia?

Masih berimankah muslim yang sudah kehilangan kepercayaan kepada agamanya sendiri? Masih berimankah muslim yang memojokkan agamanya hanya di masjid-masjid sahaja? Dan masih berimankah muslim yang merasakan bahawa Islam tidak layak menjadi pemimpin dunia? Tepuk dada tanya hati….

Dan, di mana pula peranan kita sebagai rakyat yang taat dan setia kepada Raja dalam membantu YDPA untuk melaksanakan tanggung-jawab baginda? Sudahkah kita berusaha untuk menasihati Baginda untuk kembali kepada Allah dan Rasul? Untuk kembali kepada Islam? Kalau belum, maka sebenarnya kita bukanlah rakyat yang baik. Kita rasa kita dah baik tapi sebenarnya tidak. Kita tidak menjalankan peranan kita dengan baik. Fikirlah….


Ramai dari kita yang sanggup berjuang untuk Islam, Melayu dan Raja cuma ramai juga yang tidak tahu bagaimana caranya.Ramai yang merasakan sudah tidak ada lagi jalan untuk menyelamatkan Negara ini. Masalahnya sudah terlalu komplek.Negara ini perlukan REVOLUSI bukan REFORMASI atau TRANSFORMASI kalau nak di selamatkan.

Ramai yang takut dan seram bila dengar perkataan revolusi. Konotasinya negatif. Kita lupa bahawa Rasulullah adalah seorang “Revolusioner “. Dan sebab itu musuh-musuh Islam menjadikan perkataan revolusi sebagai sesuatu yang cukup negatif.

Revolusi sering di kaitkan dengan keganasan dan pertumpahan darah. Sebab itu ramai yang gerun dengan perkataan itu. Apatah lagi di zaman sekarang tatkala ramai yang ditimpa penyakit “wahan“ iaitu cinta dunia dan takut mati.

Kalau rakyat yang bangun untuk melakukan revolusi memang tidak di nafikan ianya mampu mewujudkan suasana yang tegang dan huru-hara, kacau bilau dan sebagainya. Itu kalau rakyat… Tapi kalau Raja pula yang bangun dan memimpin gerakan revolusi? Pasti kesannya berbeza…

Allah Maha Mengetahui bahawa hamba-hambaNya dari Timur ini hanya akan bangkit untuk melaksanakan revolusi sekiranya Rajanya yang bangkit memimpin gerakan tersebut. Sebab itu kebangkitan Islam dari Timur ini akan di pimpin oleh Raja-Raja Melayu dari seluruh nusantara. Inilah yang bakal di kenali nanti sebagai REVOLUSI DI RAJA. Pergerakan yang akan mengubah wajah dunia. Mengembalikan yang haq di atas tempatnya. Insyaallah.

Pak Lan
Mohd Ramalan Yunus 
Founder 
World Islamic Chamber Of Commerce 


Komen aku : Loor.. Hidup lagi Pak Lan ni.. 

Posted by 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.