`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, February 23, 2013

MURID ISTIMEWA TERUS DIBELA




Oleh : MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
JABATAN Pelajaran Negeri Sabah mengambil maklum aduan ibubapa murid istimewa dan rungutan orang ramai yang bersimpati dengan nasib murid istimewa yang tidak dapat mengikuti pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia disebabkan sekolah yang menawarkan program ini berada jauh dari lokasi rumah murid di luar bandar dan pedalaman.

Disebabkan kekangan kewangan dan masalah pengangkutan, hak pendidikan murid istimewa ini seringkali terabai kerana kerapkali tidak dapat hadir ke sekolah.
Sekolah asal murid pula tidak menawarkan program pendidikan khas kerana tertakluk dengan kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia. Di Sabah terdapat lima (5) prasekolah, tujuh puluh (70)buah sekolah rendah dan empat puluh tujuh (47)sekolah menengah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menawarkan program Pendidikan Khas Integrasi.

Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi (pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.

Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3 (2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.

Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif.

Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.

Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah; Tadika(berusia tidak kurang 6 tahun), Sekolah Rendah(berusia 6+ hingga 14+ tahun) dan Sekolah Menengah (13+ hingga 19+ tahun.

Semua kanak-kanak ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan individu atau orang lain.

Jabatan Pelajaran Negeri Sabah melalui surat nombor rujukan JP(SB)/1400/KHAS/2Jld.9(20) bertarikh 7 Februari 2013 mengarahkan semua pengetua dan guru besar SMK, SK, SRK dan SJK (C) memastikan murid-murid berkenaan belajar di sekolah asal berdasarkan pendidikan wajib.

Sekolah asal hendaklah mendaftarkan nama murid tersebut secara online untuk mendapatkan elaun murid berkeperluan khas. Bagi murid sekolah rendah, murid tersebut hendaklah diajar oleh Guru Pemulihan Khas dan tidak didaftarkan dalam data sebagai murid Pemulihan Khas.

Pihak sekolah juga hendaklah mendapatkan surat pengesahan dan persetujuan ibubapa dengan memberikan alasan kenapa murid berkenaan tidak boleh mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi.

Bagaimanapun, murid tersebut adalah layak menerima kemudahan belajar seperti murid normal lain kecuali bantuan KWAPM sekiranya murid berkenaan telah menerima elaun murid berkeperluan khas berjumlah RM1,800 setahun.

Pendidikan wajib adalah satu undang-undang yang memerlukan setiap ibu bapa warganegara Malaysia (yang menetap di Malaysia) yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun mendaftarkannya di sekolah rendah. Tempoh pendidikan wajib adalah selama enam tahun, iaitu tempoh pendidikan rendah.

Pendidikan wajib dilaksanakan mulai tahun persekolahan 2003. Peraturan pendidikan wajib terkandung dalam Akta Pendidikan (Pindaan) 2002.

Di bawah pindaan itu, satu seksyen baru iaitu Seksyen 29A dimasukkan ke dalam akta berkenaan yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan rendah sebagai pendidikan wajib.

Seksyen 29A (2) memperuntukkan setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini memastikan anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah.

Menurut Seksyen 29A (4), ibu bapa yang melanggar peruntukan tersebut adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.