Oleh : MUTALIB M.D
ANACONDA, mungkin spesis ular yang sukar dijumpa di Malaysia, namun cerita mengenainya di layar perak sudah menjadi igauan ngeri sehingga sering menjadi Box-Office; sekalipun ramai yang meremang bulu tengkuk, membayangkan kesengsaraan dan maut.
Namun ramai yang tidak menyedari bahawa ular, dari spesis apa sekalipun, adalah haiwan cacat atau Haiwan Kurang Upaya (HKU) kerana tidak mempunyai tangan dan kaki sebagaimana haiwan dan homosapien yang lain.
Sambutan Tahun Baru Cina pada 2013 ini adalah tahun ular air. Salah satu spesis ular air ialah Anaconda dan Ular Sawa. Anaconda menetap di hutan tebal, terutama di habitat semulajadinya Sungai Amazon di Brazil; manakala ular sawa batik mudah dijumpai di sawah padi dan sungai di seluruh Malaysia.
Tahun Baru Cina 2013 menjadi titik tolak masa hadapan sebuah negara bernama Malaysia; sekalipun Sabah dan Sarawak berada di luar Malaysia kerana sering disebut 'Sabah dan Sarawak' selepas menyebut 'Malaysia'; ketika Kerajaan Malaysia memerlukan mandat baru daripada lebih 12 juta rakyat 'Malaysia'; termasuk yang mendapat MyKad daripada 'Operasi Durian Buruk' di era Mahathir.
Dengan terhapusnya ISA dan pelbagai Akta Drakonian yang selama ini digunakan untuk menjinakkan lawan dan menumpaskan musuh di luar gelanggang telah menyebabkan Najib dan Kerajaannya bakal menjadi kerajaan 'Demokrasi' pertama di Malaysia setelah tamatnya era 'Authoritarian' menjelang PRU-13 kelak.
Kerajaan Najib kini bagaikan 'Ular Sawa' yang hanya mampu menyusur akar kerana hilang bisa dan lebih bersifat 'defensif' ketika diserang daripada segenap arah; termasuk campurtangan luar bagi menentukan haja tuju kepimpinan negara melalui 'Bersih'; apatah lagi di tengah keghairahan Pakatan Rakyat untuk menawan 'Putrajaya'.
Agak malang kerana hampir semua sisik ular (Adun dan Ahli Parlimen) sudah reput dan tidak mampu menampan ular daripada sebarang pukulan atau serangan, sekalipun gigitan kerengga tua seperti Ambiga dan A Samad Said; melainkan mencari lubang untuk menyembunyikan diri buat sementara waktu.
Dalam keadaan yang amat payah, ular ini sepatutnya menukarkan sisik atau menyalin kulit agar bersedia menghadapi PRU-13 yang amat mencabar kerana musuh sebenarnya berada dalam diri ular itu sendiri; setelah sisiknya mereput dan berbau busuk.
BR1M.....Salah seorang MP BR1M yang popular di Sabah. Malang sungguh jika masih menjadi sisik.
Mungkin amat memalukan, ramai Ahli Parlimen dan Adun BN kini tidak mahu lagi bekerja dan berada di 'Comfort Zone' sebelum senarai calon disah atau diumumkan Perdana Menteri.
Mereka hanya melakukan kerja-kerja yang mampu dilakukan kanak-kanak tadika; terutama berebut mahu menyampaikan 'BR1M 2.0' dan segala bantuan kerajaan yang sememangnya menjadi hak rakyat.
Beginilah lemahnya Ahli Parlimen dan Adun BN di ambang PRU-13 yang membuatkan Pakatan Rakyat tersenyum simpul berangan-angan mahu merampas 60 kerusi DUN dan 25 kerusi parlimen di Sabah pada PRU-13 bagi memeriahkan Pesta di Putrajaya selepas ayam berkokok!
Ahli Parlimen dan ADUN di Sabah sewajarnya dijenamakan semula sebagai Wakil Rakyat BR1M dan bukannya Wakil Rakyat BN. Bilakah mereka akan tersedar dari lamunan dan malu kerana hanya mampu menjadi penyibuk di Majlis BR1M ketika rakyat merintih mengenai isu prasarana, NCR dan RCI?
Gong Xi Fa Cai!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.