TAWAU : Seorang wartawan tempatan Ismail Lamo memerlukan sekurang-sekurangnya RM50,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan jantung di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, bagi memperbaiki salah satu injap jantungnya yang rosak.
Ismail, 54, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta) menjalani dua siri pemeriksaan jantung di Hospital Ampang Puteri hampir dua minggu lalu selepas sering mengalami kesesakan nafas berkata doktor pakar yang memeriksanya mengesahkan bahawa salah satu injap jantungnya sudah rosak dan perlu dibedah.
“Kalau mengikut pihak hospital, mereka menyarankan saya supaya segera menjalani pembedahan dan rawatan jantung berkenaan namun saya meminta supaya ia tidak dilaksanakan terlebih dahulu kerana masalah kos,” katanya semasa dikunjungi ahli dan anggota jawatankuasa Pewarta di rumahnya di sini hari ini.
Pengerusi Pewarta Shamry Mohd Sani turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan anggota Pewarta dan kakitangan institusi di mana anggota Pewarta bertugas.
Ismail dimasukkan ke Hospital Tawau pada 12 Jan lalu selepas mengadu sesak nafas ketika membuat liputan acara sambutan ulang tahun ke-3 penubuhan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di kem Kukusan dekat sini dan dirawat selama enam hari di hospital itu .
Beberapa bulan sebelum itu, Ismail dimasukkan ke Hospital Tawau atas sebab yang sama dan dirawat hampir dua minggu.
Ismail mula berkecimpung dalam bidang kewartawanan pada tahun 1979 dengan menjadi pemberita sambilan.
Sementara itu, Shamry berharap lebih ramai anggota masyarakat sudi menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban Ismail yang kini tidak dapat bergerak aktif dan masanya banyak dihabiskan di rumah kerana keadaannya yang kurang bertenaga.
“Haji Ismail sudah banyak menyumbang kepada masyarakat kita di Tawau dan di Sabah amnya dalam bidang penyebaran maklumat dan pengetahuan. Jadi kita berharap lebih ramai pihak dapat tampil menyumbang,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.