`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, April 10, 2013

Kerajaan interim berhak guna jentera


Apabila SPR mengumumkan hari penamaan calon dan tempoh berkempen barulah alat-alat kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan parti.
KUALA LUMPUR: Kerajaan interim berhak menggunakan alat-alat kerajaan selagi tempoh kempen pilihan raya belum bermula, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon dan tempoh berkempen barulah alat-alat kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan parti.
“Tetapi penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan pentadbiran dan fungsi eksekutif tetap seperti biasa. Hanya untuk tujuan berkempen alatan kerajaan tidak boleh diguna,” katanya ketika ditanya dakwaan kemudahan Jabatan Penerangan digunakan Barisan Nasional untuk berkempen.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India bersama golongan penghibur jalanan dan anggota persatuan Karyawan, di sini hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa jabatan dan agensi kerajaan masih boleh berfungsi seperti biasa mengikut Perkara 38 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai Majlis Raja-raja dan Akta Fungsi Menteri, walaupun Dewan Rakyat telah dibubarkan.
“Sekarang kita dalam suasana, lingkungan dan ruang tugas kerajaan sementara, kerajaan masih wujud…semua menteri berfungsi dan semua jabatan kerajaan juga seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata kecuali selepas penamaan calon, kerana pada masa itu semua agensi dan jabatan kerajaan tidak boleh mengambil bahagian dalam apa jua program melibatkan parti politik.
Siaran 10 minit
Rais juga berkata tempoh siaran 10 minit bagi setiap parti untuk membentang manifesto masing-masing di stesen TV RTM diberi hanya sekali dan bukan untuk sepanjang tempoh berkempen pilihan raya.
Katanya berdasarkan perbincangan pihak kementerian dan Jabatan Penyiaran, tempoh itu adalah mencukupi, malah lebih panjang berbanding tempoh lima minit yang diberikan sebelum ini.
Beliau berkata tempoh itu cukup bagi membentangkan lima teks muka surat manifesto dengan langkau satu baris.
“Jadi dalam masa 10 minit, boleh menghuraikan dasar-dasar parti, intisari manifesto dan juga aku janji masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu beliau berharap pihak pembangkang yang sebelum ini menolak untuk menggunakan kemudahan itu supaya menukar fikiran kerana peluang itu diberikan adil kepada semua parti.
“Tidak ada sebab kenapa mereka tidak mahu mengambil bahagian kecuali hanya untuk menunjukkan mereka nak perli RTM atau Jabatan Penyiaran,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata RTM tetap akan membuat liputan berita di bawah tiga buah stesen TV dan 32 stesen radio mereka, walaupun terhadap pihak yang tidak mahu terlibat menyiarkan manifesto mereka, dengan syarat mereka menjemput.
Kenyataan Nik Aziz
Dalam pada itu Rais turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang mahu Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti semula semua kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu agama.
“…ini perkara besar…mengejutkan dan tidak pernah berlaku dahulu. Seharusnya Timbalan Perdana Menteri meminta Majlis Fatwa membuat sesuatu yang beri panduan jelas,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Rais turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada persatuan Karyawan dan 80 buah netbook 1Malaysia kepada para penghibur jalanan.
Mengulas mengenai penghibur jalanan, beliau berkata ada cadangan untuk mewujudkan skim insurans khas bagi golongan itu.
“Mereka sedang difikirkan bagi mendapatkan liputan insurans sepertimana penyanyi lain dan pelakon-pelakon di bawah perlindungan insurans seniman, dan kami sedang mendaftarkan mereka mengikut jadual biasa,” katanya.
Beliau berkata penghibur jalanan wajar mendapat peluang dan pengiktirafan dengan pelbagai bakat tinggi yang mereka ada, justeru pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, akan terus mewujudkan peluang bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.