`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 10, 2013

Lahad Datu: Presiden Al-Ehsan digantung keanggotaan


GEORGE TOWN — Majlis Tertinggi Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia yang mengadakan mesyuarat khas di sini mengumumkan penggantungan sementara Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman sebagai presiden, berkuat kuasa semalam.

Penggantungan sementara itu sehingga Muhammad Ridzwan selesai disiasat polis selepas beliau ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Pemangku presiden Al-Ehsan Datuk Meor Ramli Abu Bakar berkata penggantungan itu berdasarkan undang-undang pertubuhan mengikut fasal 15(B) yang menyebut anggota yang gagal mematuhi undang-undang atau mencemar nama pertubuhan boleh dipecat atau digantung keanggotaannya.
"Urusan pentadbiran Al-Ehsan akan diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa Bertindak yang terdiri daripada lima ahli yang dilantik termasuk saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 1 April lepas, Muhammad Ridzwan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.
Tindakan menyerah diri itu dibuat berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sebelum itu yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.
Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Feb lepas. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.