`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 22, 2013

Calon kroni pilihan Kamarul didokong Azmin


Kamarul Baharin didakwa mencantas di saat-saat akhir kesemua calon akar umbi yang bergerak bersama cabang sejak bertahun-tahun.
ANALYSIS
Bahagian 2
PETALING JAYA: Dalam analisa bahagian kedua ini penganalisis politik veteran dari Negeri Sembilan itu seterusnya menghuraikan mengapa Pakatan Rakyat kalah di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang lalu. Kali ini fokus lebih kepada PKR.
Walaupun PKR memenangi tiga  kerusi DUN dan satu  kerusi parlimen iaitu DUN Chuah dan DUN  Port Dickson (kecuali Sikamat) serta parlimen Telok Kemang;  ianya merupakan kerusi yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Untuk kerusi DUN Sikamat dimana pengundi Melayu berjumlah 62%, PKR hanya menang tipis (majoriti 510 undi).
DUN Ampangan yang dimenangi PKR pada PRU-12 gagal dipertahankan apabila calon akar umbi ditolak dan diganti disaat akhir dengan calon yang kononnya akan dijadikan Menteri Besar Negeri Sembilan kira-kira 15 jam sebelum waktu penamaan calon.
Kegagalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi Jabatan Pilihanraya (JPRP) PKR Pusat, Azmin Ali mengambil kira faktor calon yang telah berkhidmat bertahun-tahun sebelum itu dan menggantikan dengan calon-calon kroni kerana keghairahan bahawa rakyat akan tetap mengundi siapa sahaja akhirnya membawa padah.
Penganalisis berpendapat sekurang-kurangnya PKR boleh memenangi tiga  lagi kerusi DUN iaitu DUN Ampangan, DUN Pilah dan DUN Linggi.
Tetapi malangnya, keghairahan Kamarul Baharin untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan memastikan orang-orangnya bertanding maka kesemua calon akar umbi yang bergerak bersama cabang sejak bertahun-tahun dulu iaitu Dr Mohamad Rafie Abdul Malek di DUN Ampangan, Kamarul Allaymmy Abdul Kadir di DUN Pilah dan Rusli Abdullah di DUN Linggi dicantas di saat-saat akhir.
Dr Mohamad Rafie adalah Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Kamarul Allaymmy adalah Bendahari Cabang PKR Kuala Pilah dan Rusli adalah Timbalan Ketua Cabang PKR Telok Kemang.
Untuk DUN Ampangan yang dianggap kerusi selamat hasil usaha bersungguh-sungguh Dr Mohamad Rafie dan PKR Seremban dirampas oleh Kamarul (yang tewas semasa pemilihan Ketua Cabang PKR Telok Kemang pada tahun 2010).
Kamarul Baharin tidak pernah tunjuk muka di DUN Ampangan
Jawatan beliau sebagai Pengerusi PKR Negeri Sembilan adalah jawatan yang dilantik Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail atas arahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya juga beranggapan ianya juga selamat untuk beliau walaupun beliau tidak pernah menunjukkan muka di Ampangan semenjak bertahun-tahun beliau menjadi Pengerusi PKR Negeri Sembilan.
Alasan yang diberi tidak munasabah langsung iaitu untuk seorang yang telah berumur 66 tahun dengan menggunakan alasan bapanya pernah berkhidmat di salah sebuah sekolah sebagai guru di Ampangan hampir lebih dari separuh dekad yang lampau sebagai sebab mengapa beliau berhak bertanding di Ampangan.
Manakala calon pilihan Kamarul Baharin untuk DUN Pilah iaitu Mohamad Nazaruddin Sabtu (tiada sebarang jawatan di Cabang PKR Kuala Pilah) tidak pernah bergiat aktif di dalam Cabang PKR Kuala Pilah di jadikan calon tangkap muat semata-mata untuk menafikan usaha Kamarul Allaymmy.
Calon DUN Linggi pula, Rosman Jonet (tiada sebarang jawatan di Cabang PKR Telok Kemang) juga tidak pernah bergiat bersama Cabang PKR Telok Kemang menjadi pilihan Kamarul Baharin untuk menolak Rusli yang amat dibenci oleh Kamarul Baharin kerana Rusli dianggap “mastermind” di atas kekalahan Kamarul Baharin semasa merebut jawatan Ketua Cabang Telok Kemang pada pemilihan parti tahun 2010.
Malahan M Ravi yang merupakan Ketua Cabang PKR Telok Kemang dan penyandang ADUN Port Dickson juga hendak ditolak oleh Kamarul Baharin dan Azmin. Calon pilihan mereka, V Aridass telah bergambar sebagai calon dan telah bersedia mencetak poster, bunting dan banner sebagai persediaan sebagai calon DUN Port Dickson.
Ravi akhirnya bernasib baik kerana kedudukannya sebagai penyandang dengan prestasi sebagai Adun yang baik menyukarkan mereka untuk menolak Ravi.
Calon PKR di DUN Rantau, Aisah Lamsah juga daripada awal didapati tidak bersesuaian tetapi Kamarul Baharin tetap meletakkan mereka sebagai calon oleh kerana Aisah merupakan penyokong tegar Pengerusi PKR Negeri Sembilan tersebut.

Pemimpin tiada disiplin jadi calon PRU
FMT difahamkan Aisah tidak menghadiri mesyuarat Cabang PKR Rembau hampir dua tahun walaupun beliau merupakan Naib Ketua Cabang PKR Rembau.
“Bagaimana seorang pemimpin yang tidak berdisiplin dan tidak menghormati Cabang sendiri boleh dipilih sebagai calon PRU?
Malah Aisah juga bukan calon PRU pilihan Cabang PKR Rembau. Tetapi Kamarul Baharin melanggar dan tidak menghormati kehendak suara akar umbi peringkat Cabang Rembau,” kata penganalisa veteran tersebut.
Azmin pula sebagai Pengerusi JPRP PKR Pusat langsung tidak membetulkan keadaan yang jelas bukan satu amalan demokrasi sebaliknya terang-terangan budaya kronisme.
Untuk kerusi DUN Juasseh dan DUN Palong sememangnya diakui agak sukar ditembusi PKR kerana majoriti pengundi Melayu yang  besar di kawasan tersebut serta gerak kerja Pakatan Rakyat  masih tidak dapat menawan hati pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.
Ghairah Kamarul Baharin jadi MB NS sebab Pakatan Rakyat kecundang
Penolakan Kamarul Baharin terhadap pemimpin akar umbi bersebab kerana beliau ingin memastikan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan tidak tergugat. Kesemua pemimpin akar umbi dokongan cabang yang ditolak oleh Kamarul Baharin ini cukup popular dan mesra rakyat serta kerap mengadakan program-program aktiviti khususnya menerusi Program ‘Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan’.
“Program ‘Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan’ bersama maskot rusa yang dipopularkan oleh pasukan Dr Mohamad Rafie dan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) cukup memberi kesan di Negeri Sembilan dan akhirnya dipercayai di ubahsuai dan dipromosi oleh DAP dengan slogan ‘UBAH’ dan maskot Burung Kenyalang di peringkat nasional.
“Chegu Bard akhirnya menyisih diri dari Negeri Sembilan apabila semua bantahan beliau mengenai etika dan sikap Kamarul Baharin  dianggap sepi oleh pucuk pimpinan PKR pusat.
“Agak menarik, program-program anjuran Pasukan ‘Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan’ ini sentiasa disabotaj oleh Kamarul Baharin dengan menggunakan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassim, dengan menghubungi penceramah-penceramah utama PKR untuk tidak menghadiri mana-mana program anjuran ‘Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan’,” kata penganalisa itu lagi.
Pimpinan PKR Pusat buat tak tahu
Tindakan sabotaj MPN Negeri Sembilan diketahui oleh pucuk pimpinan PKR pusat tetapi malangnya tiada sebarang tindakan diambil oleh mereka terhadap MPN Negeri Sembilan.
Keburukan sikap kepimpinan Kamarul Baharin di samping sikap angkuh, sombong dan bongkak serta kegagalan prestasi beliau sebagai ahli parlimen Telok Kemang telah menyebabkan sokongan undi Melayu merosot dan akhirnya membawa padah kepada PAS dan PKR.
Kemenangan Kamarul Baharin di Parlimen Telok Kemang adalah kerana pengundi bukan Melayu nekad untuk menolak Barisan Nasional walaupun mereka menyedari Kamarul Baharin bukan pemimpin yang baik. Oleh kerana pengundi bukan Melayu amat besar iaitu 57.65 % di Telok Kemang, Kamarul Baharin terselamat tetapi dengan majoriti jauh lebih rendah berbanding kemenangan PKR di DUN Port Dickson di dalam parlimen Telok Kemang sendiri.
Azmin pula didapati menggunakan pengaruh sebagai Pengarah JPRP untuk membalas dendam kerana keputusan pemilihan Timbalan Presiden didalam pemilihan parti pada tahun 2010 yang lalu, hampir di kesemua Cabang PKR di Negeri Sembilan beliau tewas.
Pemimpin-pemimpin akar umbi di Negeri Sembilan dianggap pihak yang bertanggungjawab menolak beliau sebagai Timbalan Presiden. Apatah lagi, Kamarul Baharin  sememangnya bersekongkol dengan Azmin sejak dulu lagi. Justeru tidak menghairankan dalam sidang media Azmin  pada 10  Mei yang lalu, yang mengkritik Presiden PKR, Wan Azizah secara terbuka, salah seorang yang bediri teguh di belakang Azmin ialah Kamarul Baharin.
Lebih menarik, sudah sampai kependengaran penganalisis dan kepimpinan Cabang PKR Seremban yang dipimpin oleh Dr. Ahmad Azam Hamzah dan Dr. Mohamad Rafie bersama-sama dengan pimpinan ‘Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan’ seperti  M Ravi;  aktivis dan veteran PKR Negeri Sembilan, Norizam Yassin; Kamarul Allaymmy, Rusli dan ramai lagi akan dikenakan tindakan disiplin atas inisiatif Kamarul Baharin dengan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Negeri Sembilan di atas dakwaan mensabotaj parti yang mengakibatkan kekalahan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.
Siapa sabotaj siapa?
Persoalannya, siapa mensabotaj siapa? Penganalisis veteran tersebut berpendapat jika ini berlaku, masa depan PKR di Negeri Sembilan akan menjadi kelam.
Justeru itu beliau menyeru agar kepimpinan PKR Pusat terutama Anwar mengambil berat masalah dalaman yang berlaku di dalam PKR Negeri Sembilan.
Secara umumnya beliau berpendapat kekalahan calon-calon PKR dan PAS di sesuatu DUN atau Parlimen merangkumi pelbagai faktor dan ianya berbeza-beza mengikut tempat.
Ini termasuk faktor calon, strategi, jentera yang lemah, kegagalan ‘highlight’ isu tempatan, kegagalan menyerang kelemahan dan salah laku calon BN (secara fakta) serta beberapa isu Pakatan Rakyat di peringkat nasional yang dieksploitasi oleh BN.
Beliau juga berharap PKR dan PAS Negeri Sembilan duduk semeja dan memikirkan apakah strategi terbaik untuk menawan hati pengundi Melayu pada PRU-14 nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.