Datuk Syed Ali menyanggah pandangan Dr Mahathir kerana menyalahkan 'orang Melayu yang tamak' sebagai punca sokongan rakyat kepada BN merosot.
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menafikan perpecahan undi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Ahad lalu berpunca daripada sifat tamak segolongan pengundi Melayu.
Sebaliknya kata Pengerusi DPMM Datuk Syed Ali Alattas, faktor utama adalah berdasarkan reputasi sesuatu parti politik yang berjaya menunjukkan rekod prestasi cemerlang dalam memperjuangkan isu rakyat.
“Saya percaya ini bukan soal perpecahan negara sebaliknya ia adalah pilihan masing-masing,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyalahkan ‘orang Melayu yang tamak’ sebagai punca penurunan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Sementara beberapa analisis menunjukkan golongan pengundi Melayu yang menyokong Pakatan Rakyat semasa PRU13 adalah pengundi kelas menengah dan ke atas.
Syed Ali berkata, ironinya walaupun masyarakat Melayu diajar untuk bersyukur kerana mendapat bantuan daripada polisi kerajaan termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun beliau mempersoalkan masih ramai usahawan Melayu masih terhimpit dengan desakan ekonomi.
Katanya, bukan sahaja masalah masyarakat Cina yang tidak mendapat bantuan dijadikan isu, tetapi masyarakat Melayu yang mendapat keistimewaan itu sendiri pun tidak mendapat manfaatnya.
“Komuniti perniagaan Melayu juga berasa kecewa kerana sering diketepikan dalam kepesatan ekonomi dan memperoleh manfaat yang sedikit.
“Persoalannya siapa yang dapat manfaat itu?,” soalnya.
Katanya, keharmonian tidak akan tercapai jika hanya sesuatu pihak sahaja mendapat keuntungan dan tidak melibatkan semua sektor secara sama rata.
Sehubungan itu, Syed Ali mendesak pembentukan Majlis Penyelaras Ekonomi Negara (NERC) sebagai badan bebas menyiasat punca jurang perbezaan ini.
NERC terdiri daripada 30 ahli, 10 daripada DPMM, 10 wakil parti politik, dan 10 daripada ahli dewan perniagaan lain.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.