`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, May 14, 2013

Kamarul Baharin punca kekalahan


Pakatan Rakyat bukan sahaja gagal mengambil alih Negeri Sembilan malah jumlah kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 juga merosot.
PETALING JAYA: Negeri Sembilan sering disebut-sebut sebagai negeri yang bakal tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Walaubagaimanapun setelah PRU yang paling sengit dalam sejarah tanahair berakhir, Pakatan bukan sahaja gagal mengambil alih Negeri Sembilan malah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi juga merosot berbanding pencapaian tahun 2008.
Kalau pada PRU-12, tahun 2008, Pakatan menang 15 kerusi DUN, kini tinggal 14 kerusi DUN sahaja di Negeri Sembilan.
DAP mencatat keputusan paling cemerlang apabila menambah dari 10 DUN (2008) kepada 11 DUN (2013). DAP menang di semua 11 DUN yang ditandingi iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Lukut dan Repah.
PKR pula yang menang empat DUN pada tahun 2008, hanya mampu mempertahankan tiga DUN sahaja iaitu Sikamat, Chuah dan Port Dickson. DUN Ampangan yang dimenangi pada PRU-12 kini terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN). PKR bertanding di 13 DUN pada PRU-13.
PAS pula kalah di semua 12 DUN yang ditandingi termasuk DUN Paroi yang merupakan satu-satunya DUN dimenangi oleh parti itu pada tahun 2008.
FMT menerima satu email daripada seorang yang mahu dikenali sebagai ‘Demi Rakyat Negeri Sembilan’ (DRNS). Beliau berhujah lengkap dengan gambar rajah analisa; memberikan argumentasi dan punca kekalahan Pakatan di Negeri Sembilan.
DRNS mendakwa pada 21 Februari 2013, pemimpin PKR Negeri Sembilan ada menghantar email kepada semua pimpinan pusat PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Saleh, Saifuddin Nasution dan Dr. Abdul Rahim Ghouse.
DRNS menyatakan pandangan akar umbi bahawa meletakkan Datuk Kamarul Baharin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang) di kerusi DUN dan mempromosi beliau sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Sembilan akan menyebabkan kemerosotan undi.
Kemerosotan undi akan bukan sahaja di kerusi-kerusi yang ditandingi PKR tetapi juga yang akan ditandingi oleh rakan Pakatan yang lain khususnya PAS.
Ketika itu, analisa menunjukkan kejatuhan sekitar tujuh peratus jika meletakkan Kamarul Baharin sebagai calon DUN/calon Menteri Besar Pakatan. Tetapi hakikatnya, penolakan sebenar yang ditunjukkan dalam analisa PRU-13 lebih parah iaitu sehingga mencapai 35 peratus.
Bongkak, angkuh dan sombong
“Penolakan masyarakat terhadap Kamarul Baharin kerana prestasinya yang amat buruk di Parlimen Telok Kemang dan sikap beliau yang bongkak, angkuh dan sombong.
“Menganalisa semula keputusan PRU-13, kemerosotan undi akibat pencalonan beliau di DUN Ampangan untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, kesan kemerosotan undi jatuh lebih teruk sehingga 35%. Ini berdasarkan:
  • Undi majoriti Parlimen Telok Kemang dimenangi Kamarul Baharin: 1,579 undi
  • Undi majoriti DUN Port Dickson dalam Parlimen Telok Kemang dimenangi M Ravi: 2,422 undi
  • Kemerosotan undi 843/2,422 = 35 peratus.
“Berdasarkan kiraan ini, jika diambil penolakan lima peratus kerana DUN lain yang terbabit di luar Parlimen Telok Kemang sebagai ada kesan jumlah undi semakin berkurangan apabila berada di luar Telok Kemang.
Ini mengakibatkan 30 peratus faktor Kamarul Baharin memberikan kesan kepada pengurangan undi kepada Pakatan di Negeri Sembilan.
“Analisa ini menunjukkan kekalahan di lima kerusi DUN di Negeri Sembilan adalah kerana penolakan terhadap Kamarul Baharin yang hendak dipromosi oleh Anwar sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Jumlah keseluruhan kerusi yang sepatutnya diperolehi Pakatan di Negeri Sembilan adalah sebanyak 19 kerusi DUN untuk membolehkan kerajaan Pakatan Negeri Sembilan dibentuk. Ini berdasarkan kemenangan 14 kerusi sedia ada ditambah dengan lima kerusi DUN di atas,” kata DRNS.
Azmin juga bertanggungjawab
DRNS juga berkata Kamarul Baharin selaku Pengerusi PKR Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Pusat (JPRP) harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan PKR menambah kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa Azmin tidak berhak bercakap soal nepotisme atau kronisme apabila beliau sendiri yang mengamalkan budaya kronisme dalam PKR.
“PKR seharusnya menang di DUN Ampangan dan DUN Pilah jika meletakkan calon dari cabang yang telah bekerja dan menyusun jentera di situ sejak empat tahun lepas.
Mereka yang dimaksudkan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban, Dr Mohamad Rafie Abdul Malek (DUN Ampangan) dan Bendahari PKR Kuala Pilah, Kamarul Allaymmy Abdul Kadir (DUN Pilah).
“Tetapi kerana tamak dan amalan kronisme oleh Azmin dan Kamarul Baharin, calon pilihan akar umbi yang ada merit diketepikan dan digantikan pula dengan calon kroni.
“Kalau Kamarul Baharin hebat sangat dan ‘perform’ selama lima tahun sebagai Ahli Parlimen Telok Kemang, seharusnya beliau bertanding di DUN Linggi yang terletak di bawah Parlimen Telok Kemang.
“Mengapa beliau lari dan ‘mencuri’ DUN Ampangan daripada kepimpinan PKR Seremban?
“Tidak cukup dengan itu, beliau tanpa segan silu berkata kepada media dan umum bahawa keputusan meletakkan beliau bertanding di DUN Ampangan adalah arahan kepimpinan PKR Pusat, seolah-olah bukan kehendak beliau.
“Hakikatnya beliau yang kemaruk sangat hendak bertanding di DUN Ampangan dan melobi pada saat akhir apabila mendapat tahu Anwar mahu menamakan Mohamad Rafie sebagai calon DUN Ampangan.
Calon ‘payung terjun’ dan ‘tangkap muat’
“Sangat memalukan apabila Negeri Sembilan merupakan negeri yang terawal memuktamadkan pembahagian kerusi di antara PKR, PAS dan DAP awal tahun 2012; serta PAS dan DAP sudah sejak awal mengumumkan calon PRU mereka.
Tetapi PKR merupakan parti yang paling lewat mengumumkan calon mereka di Negeri Sembilan iaitu hanya tujuh jam sebelum hari penamaan calon,” jelas isi kandungan email itu lagi.
Kandungan email itu menambah penolakan ketara pengundi terutama pengundi Melayu disebabkan penolakan ‘total’ mereka kepada pencalonan Kamarul Baharin yang diwar-warkan sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.
Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pimpinan PAS Negeri Sembilan yang telah menyebabkan parti mereka kalah di kesemua DUN.
Kekalahan tipis PKR di DUN Ampangan dan DUN Pilah bukan disebabkan kerja-kerja tersusun atau populariti calon yang bertanding.
Tetapi adalah disebabkan gerak kerja dan aktiviti kebajikan yang sampai kepada pengundi setempat, yang telah dilakukan oleh calon yang tidak dipilih iaitu Mohamad Rafie di DUN Ampangan dan Kamarul Allaymmy di DUN Pilah sejak empat tahun lepas.
Amat menyedihkan parti tidak mengambil kira pengorbanan Kamarul Allaymay yang sanggup berhenti kerja sebagai pengurus cawangan sebuah bank terkemuka di Kuala Pilah semata-mata kerana ingin memberi tumpuan sepenuh masa kepada kerja parti di Kuala Pilah.
Mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan parti dan kehendak rakyat, maka Kamarul Baharin meletakkan Mohamad Nazaruddin Sabtu di DUN Pilah di mana ahli PKR Kuala Pilah sendiri tidak kenal beliau. Malah ada sumber mengatakan Mohamad Nazaruddin merupakan ahli PAS.
“Jika di DUN Ampangan, calonnya ialah calon ‘payung terjun’, di DUN Pilah pula calon ‘tangkap muat’.
“Mustahil Azmin tidak tahu perkara ini tetapi beliau menghalalkan segala tindak tanduk Kamarul Baharin mungkin kerana mahu memuaskan hati sahabat baiknya itu.
Inilah keadilan yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpin PKR,” DRNS mengakhiri email beliau.
“Analisa ini menunjukkan kekalahan di lima kerusi DUN di Negeri Sembilan adalah kerana penolakan terhadap Kamarul Baharin yang hendak dipromosi oleh Anwar sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Lima DUN tersebut ialah Ampangan, Pilah, Klawang, Paroi dan Labu.”
Jumlah keseluruhan kerusi yang sepatutnya diperolehi Pakatan di Negeri Sembilan adalah sebanyak 19 kerusi DUN untuk membolehkan kerajaan Pakatan Negeri Sembilan dibentuk. Ini berdasarkan kemenangan 14 kerusi sedia ada ditambah dengan lima kerusi DUN di atas,” kata DRNS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.