`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 1, 2013

Bergabung untuk daftar semula IPF

Datuk M Sambanthan yang mendakwa dirinya sebagai presiden IPF diminta bergabung dengan jawatankuasa parti bagi mendaftarkan semula parti itu dengan ROS.
KUALA LUMPUR:  Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) meminta Datuk M. Sambanthan yang mendakwa dirinya sebagai presiden parti itu supaya bergabung dengan jawatankuasa parti sedia ada bagi mendaftarkan semula parti itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Presiden IPF M. V. Mathiyalagan berkata pihaknya telah menerima surat daripada ROS pada 6 Jun lalu yang menyatakan wujudnya dua barisan pemegang jawatan, dua pejabat urusan dan dua orang yang mendakwa dirinya sebagai presiden parti dan pada masa sama mengemukakan dokumen parti kepada ROS.
Katanya ROS memberi tempoh sebulan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan dengan anggota parti bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan dan mematuhi notis ROS atau IPF akan terbubar secara automatik.
“Kami telah mengemukakan dokumen lengkap bagi pendaftaran semula parti daripada ibu pejabat kami di Jalan Ipoh, tetapi pada masa yang sama ibu pejabat pihak Sambanthan dari Serdang juga melakukan perkara yang sama.
“Justeru, ROS tidak boleh mengiktiraf parti kami sebagai sebuah parti yang sah kerana percanggahan itu,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat anggota parti di Wisma Tun Sambanthan di sini hari ini.
Kemelut IPF
Kemelut IPF bermula pada 2008 sejak kematian pengasas Tan Sri M. G. Pandithan yang menyebabkan parti itu terbahagi dua kumpulan di antara penyokong isteri mendiang Jayshree MG Pandithan dan  Mathiyalagan.
Masalah semakin meruncing apabila Jayshree yang memangku jawatan presiden parti pada 2010 mengiktiraf Sambanthan sebagai presiden walaupun mesyuarat agung memilih Mathiyalagan.
Mathiyalagan berkata pihaknya telah menjemput pihak Sambanthan untuk mengadakan perbincangan untuk bergabung sebanyak dua kali selepas menerima surat daripada ROS.
“Kami telah menghantar dua jemputan untuk mengadakan perbincangan tetapi malangnya beliau bukan sahaja tidak memberi respons, sebaliknya menghantar surat jemputan kepada kami menjadi anggota parti itu dengan mengemukakan yuran tahunan sebanyak RM 3.
“Dalam surat jemputan itu juga mereka tidak menawarkan sebarang jawatan tinggi kepada kami dan hanya menawarkan keanggotaan biasa sahaja,” katanya.
Tidak mahu menerima jemputan
Mathiyalagan berkata pihaknya tidak mahu menerima jemputan itu yang dianggap sebagai tidak adil malah, ROS masih belum mengiktiraf parti IPF sebagai parti yang sah.
Beliau turut berharap ROS dapat melanjutkan tempoh kepada enam bulan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum mesyuarat perwakilan parti dan pemilihan semula diadakan yang dijangka pada Januari depan.
Mathiyalagan yang merupakan pejuang parti itu selama 25 tahun juga berkata jawatankuasa di bawah pimpinannya terdiri daripada 10 anggota jawatankuasa tertinggi dan mempunyai 150,000 anggota di 1,000 cawangan seluruh negara berbanding Sambanthan mempunyai lima anggota jawatankuasa tertinggi, 80,000 anggota dan 360 cawangan di seluruh negara.
Mathiyalagan turut meminta Sambanthan berhenti menggunakan identiti sebagai presiden parti ketika memberi kenyataan kepada umum selagi parti itu belum disahkan oleh ROS.
Katanya pihaknya akan menghantar memorandum berhubung penggabungan itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan tertinggi BN dalam masa terdekat.
-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.