(Sinar Harian 17 Jun 2013)
Apabila isu pendidikan Cina dibangkitkan Profesor Teo Kok Seong, Dong Zong begitu agresif dan defensif. Dong Zong mewakili Zong yang lain, tetap berkeras tidak mahu pendidikan Cina diusik sedikitpun hatta oleh kerajaan. Mereka mahu menjadi secina-cinanya dalam apa jua keadaan. Dong Zong tetap mahukan silibus bahasa Melayu (BM) dan jadual waktu BM dikekalkan seadanya, tanpa diubahsuaikan. Pendek kata, subjek BM mesti melukut kepada subjek silibus Cina lain.
Untuk pengetahuan, kerajaan berhasrat untuk menyeragamkan silibus BM sama seperti Sekolah Kebangsaan. Setakat ini, subjek BM di SJKC/T lebih mudah berbanding SK. Pelajar di SK perlu mengambil subjek BM yang agak susah sedikit, berbanding BM di SJKC yang jauh lebih mudah. Apakah istimewanya pelajar SJKC sehingga silibus mereka dimudahkan? Berbanding negara lain, tidak ada pilihan sebegini. Suka atau tidak, jika mahu tinggal di sini, setiap warga mesti mematuhi akur agenda negara.
Kerajaan melihat sudah sampai masanya ianya diseragamkan. Apabila perkara ini dicadangkan, ianya ditentang oleh semua persatuan Cina, kerana dengan berbuat demikian, kononnya akan menyusahkan pelajar Cina. Kenapa tidak boleh bersusah sedikit untuk negara? Perlukah kita menjadi secina-cina dalam sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu?
Peliknya, mereka tidak pernah risau soal pelajar Cina tidak dapat menguasai BM sebagai bahasa negara. Mereka cuma risau pelajar Cina tidak dapat menguasai bahasa Cina sepenuhnya. Sedangkan bahasa dialek Cina yang lain sudah kuasai seperti Kantonis dan Hokkien, yang menjadi bahasa harian. Apa isi hati mereka sebenarnya? Pembentukan Cina bagaimana yang dimahukan? Cuba tanya Cina di Thailand dan Indonesia?
Pelajar-pelajar di universiti saya yang ingin mengkaji keupayaan BM di kalangan pelajar Cina dihalang oleh pihak pentadbiran sekolah. Kenapa? Mereka tidak mahu ada bukti yang menunjukkan bahawa pelajar Cina memang tidak boleh menguasai bahasa negara. Jika ada bukti ini, menyukarkan mereka untuk menjawab.
Saya berikan dua situasi untuk difikirkan bersama. Situasi pertama, kes anak-anak saya dan adik saya, seperti juga anak-anak Melayu yang menyekolahkan anak mereka di SJKC. Tujuan kami agar mereka dapat menguasai bahasa asing mandarin, bukan untuk menjadi secina-cinanya. Balik rumah, sosialisasi mereka berbeza. Adunan sosialisasi bangsa dengan sosialisasi negara. Mereka tidak ada masalah untuk bertutur dalam BM, BC dan lain-lain.
Mereka tidak ada masalah untuk berkawan dengan anak Melayu dan anak Cina, serta lain-lain bangsa. Sebab persekitaran tidak terlalu kecinaan. Bagi orang seperti kami, jika kerajaan mahu melakukan penambahbaikan BM di SJKC, silakan. Cukuplah anak saya dapat menutur dan membaca BC, tidak perlu menjadi secina-cinanya. Lagipun ini bukan negara China.
Misalnya, Presiden MCA dan Setiausaha Agung DAP bukan datang dari SJKC. Mereka masih boleh menggunakan bahasa Cina dengan baik. Kenapa? Persekitaran kecinaan mereka sudah cukup menjadikan mereka cina.
Mereka masih tetap orang Cina dan boleh berbahasa Cina. Bayangkan mereka yang seratus peratus melalui sosialisasi Cina. Persoalannya, kenapa kita mahukan mencinakan mereka sepenuhnya pelajar Cina, sedangkan di negara Chinapun tidak sedemikian? Mereka terpaksa patuh kepada sekolah di bawah sistem komunis.
Kita pula biarlah SJKC beroperasi mengikut kehendak mereka, bukan kehendak negara. Orang Cina dari negara China menggeleng-geleng kepala apabila saya cerita proses pencinaan yang begitu ultra di sini. Mereka pun tidak seultra ini seperti contoh kes kedua ini.
Anak Cina yang mendapat pendidikan dan persekitaran mereka secina-cinanya. Anak Cina yang berada di SJKC, berkawan dengan Cina, balik rumah cakap Cina, jiran Cina, tonton tv Cina, dengar radio tv dan buka internet Cina. Akhirnya, mereka kekok berkawan bangsa lain, tidak boleh bercakap BM. Sosialisasi perkauman.
Jika mereka tidak berada di sekolah Cina pun, penguasaan BC masih lagi baik kerana persekitarannya amat kecinaan seperti dua pemimpin ultra kiasu tadi. Kes kedua ini yang paling ramai dan menjadi semakin ultra kiasu.
Jika tidak percaya, pergilah ke rumah-rumah Cina. Saya yakin tidak ada seorangpun yang akan menonton TV1, TV2, TV3, TV8 dan TV9 (termasuk radio). Jika adapun yang tonton hanya ketika tayangan filem atau drama Cina. Selebihnya 24 jam menonton siaran Cina berbayar. Sosialisasi Cina amat kecinaan.
Kadangkala, saya tidak sangat menyalahkan ultra kiasu, kuasa di tangan kita atau boleh dikatakan semua di tangan kita. Kenapa kuasa itu tidak digunakan. Kita biarkan mereka melakukan sesuka hati.
Misalnya, Pelancaran kabel digital TV ABN Xcess yang dihadiri PM baru-baru ini. Pengerusi stesen TV adalah orang Melayu dan orang kuatnya adalah bukan Melayu. Amat menjelekkan, pembukaan dimulakan dengan lagu Cina penyanyi Taiwan, diikuti penyanyi dari India dan penyanyi Indonesia.
Persoalannya, kenapa bukan penyanyi Malaysia yang menyanyikan lagi asli atau identiti Melayu seperti keroncong, inang dan zapin? Sepatutnya kita tetapkan syarat-syarat selaras Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Ini tidak, kita biarkan penganjur melakukan sesuka hati mereka. Malangnya, orang Melayu turut jahil sama. Identiti negara berdagang di bumi sendiri. Salah siapa?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.