`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, June 12, 2013

CONTOHI RASULULLAH SAW SEBAGAI SUAMI CINTAI ISTERI

Qudwah Hasanah
Kehidupan Nabi Muhammad SAW penuh dengan teladan sehingga keperibadian Baginda SAW sendiri digelar sebagai qudwatun hasanah. Rumah tangga Baginda dibangunkan atas dasar yang kukuh berdasarkan nilai-nilai luhur Islam.
Ibarat sebuah bangunan yang terbina daripada batu bata, keluarga adalah batu asas yang akan menentukan kukuh atau tidaknya sesebuah institusi kemasyarakatan. Antara perkara asas dalam pembentukan sebuah keluarga adalah suasana harmoni dan romantis antara suami isteri.
Mari kita selami sisi-sisi kehidupan rumah tangga manusia paling agung, Rasulullah SAW yang penuh dengan suasana harmoni dan romantis.
muslim husband and wife
Menghantar Isteri Ketika Hendak Keluar
Salah seorang isteri Baginda SAW, Shafiyyah binti Huyay menuturkan, “Suatu ketika Rasulullah SAW sedang beriktikaf. Kemudian aku mendatangi dan menjenguknya pada malam hari, dan berbincang-bincang dengan Baginda. Ketika aku berdiri hendak kembali, Baginda berdiri bersamaku untuk menghantar (menemani sampai ke pintu), lalu berkata, “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu.” (Riwayat Bukhari, No. 2033 dan Muslim, No. 2175).

Memupuk Cinta dengan Hadiah
Ummu Kaltsum binti Abi Salamah berkata, “Ketika Nabi Muhammad menikahi Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sehelai pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi. Namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi sudah meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti disabdakan Rasulullah, dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda. Lalu Baginda memberikannya kepada isterinya masing-masing satu botol minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Riwayat Ahmad)
Begitu pentingnya saling berbagi hadiah ini, sehingga Nabi Muhammad SAW bersabda, “Salinglah memberi hadiah nescaya akan saling mencintai.” (Riwayat Thabrani)

Berbaring di Pangkuan Isteri
‘Aisyah r.ha menuturkan, Nabi Muhammad SAW membaca Al-Qur’an (mengulang hafalan) dan kepala Baginda berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.” (Riwayat Bukhari No. 7945)
Bahkan, menjelang wafat, Rasulullah SAW berada di pangkuan ‘Aisyah, begitu sekali romantisnya Baginda hingga ke akhir hayat. Kata ‘Aisyah, “Ketika maut menghampiri Rasulullah, kepala Baginda berada di atas pangkuanku. Baginda pengsan sesaat, kemudian Baginda bersandar dan pandangannya menuju ke atap, lalu berkata, “Ya Allah, (pertemukan diriku dengan) kumpulan orang-orang mulia iaitu nabi yang berada di syurga ‘Illiyyin yang tinggi.” (Riwayat Bukhari, No. 2444)

Membonceng dengan Mesra
Anas bin Malik menuturkan, “Kami bersama Rasulullah SAW pulang dari Khaibar. Aku membonceng kenderaan Abu Thalhah, sedangkan dia sendiri yang menjalankan kenderaannya. Ketika itu, salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakang Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Membantu Isteri Naik Kenderaan
Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta Baginda. Kemudian, Baginda menekukkan lututnya. Lalu, isteri Baginda, Shafiyyah, meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga dia naik ke atas unta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memberi Ciuman Sebagai Ekspresi Kasih Sayang
‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW menciumku, kemudian Baginda pergi (ke masjid untuk) solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Riwayat Abdul Razaq, 1/153)

Jalan-Jalan Romantis di Malam Hari
“Rasulullah SAW apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama ‘Aisyah dan bincang-bincang dengannya.” (Riwayat Bukhari, No. 5211 dan Muslim, No. 2445)

Berlumba Lari dengan Isteri
Tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad, suatu ketika, ‘Aisyah menemani Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan. Ketika itu ‘Aisyah belum gemuk. Maka Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya untuk mempersilakan mereka berjalan terlebih dahulu. Kemudian, Rasulullah berkata kepada ‘Aisyah, “Ayuh kita berlumba lari.” Lalu, ‘Aisyah lari dan berjaya mengalahkan Rasulullah.
Pada kesempatan berikutnya, ‘Aisyah kembali menemani Baginda dalam sebuah perjalanan. Baginda kembali mempersilakan para sahabatnya untuk berjalan terlebih dahulu. Lalu, Baginda berkata kepada ‘Aisyah, “Ayuh kita berlumba lari.”
‘Aisyah lupa di mana kejadian itu. Namun yang dia ingat ketika itu badannya sudah gemuk. ‘Aisyah berkata, “Bagaimana aku boleh berlumba lari denganmu wahai Rasulullah sedangkan badanku begini?” Rasulullah bersabda, “Ayuh kita lakukan!”
Lalu ‘Aisyah berusaha berlumba lari dengan Baginda. Saat itu Baginda berjaya mendahului ‘Aisyah. Baginda pun tertawa riang dan berkata, “Ini balasan atas kekalahanku yang dahulu.”

Hilangkan Amarah dengan Memegang Hidung Isteri
Nabi Muhammad SAW biasanya memegang hidung ‘Aisyah jika dia (‘Aisyah) marah, dan Rasulullah berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa, “Wahai Tuhanku, Tuhan (yang mengutus) Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)

Makan dan Minum dari Bekas Bibir Isteri
‘Aisyah berkata, “Aku pernah minum. Saat itu aku sedang haid. Kemudian aku memberikan minuman tersebut kepada Nabi Muhammad SAW (dari bekas yang sama), di mana Baginda menempelkan mulutnya sama di tempat bekas aku minum, lalu Baginda minum. Pernah pula aku makan daging yang tersisa dari tulang dengan menggigitnya, sedangkan aku dalam keadaan haid. Kemudian aku memberikan daging itu kepada Rasulullah, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada bekas mulutku.” (Riwayat Muslim, No. 800)

Keluar Bandar Bersama Isteri
‘Aisyah menuturkan, “Apabila hendak keluar, Rasulullah SAW mengundi isteri-isterinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendukung Isteri Tercinta
‘Aisyah bertutur, Rasulullah SAW sedang duduk-duduk kemudian kami terdengar keriuhan diikuti suara kanak-kanak. Rasulullah kemudian berdiri dan ketika itu ada seorang wanita Ethiopia (Habsyah) yang sedang menari dan kanak-kanak berada di sekitarnya. Baginda lalu berkata, “Wahai ‘Aisyah, ke marilah dan lihatlah (apakah kamu ingin melihat?)”
Lalu kujawab, “Ya.” Lalu Baginda mendirikanku di belakang Baginda dan pipiku di atas pipi Baginda. Kuletakkan daguku di atas bahu Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’i dan Tirmidzi)

Menyikat Rambut Suami
‘Aisyah menuturkan, “Ketika beriktikaf, Nabi Muhammad SAW mendekatkan kepalanya kepadaku. Kemudian, aku menyikat rambutnya sedangkan aku dalam keadaan haid.” (Riwayat Bukhari)
muslim husband and wifeSuapan Mesra
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah sehingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Taburkan Wangian Cinta
‘Aisyah berkata, “Aku meminyaki Rasulullah SAW, kemudian Baginda berkeliling pada isteri-isterinya. Lalu Baginda berihram dan tersebarlah bau wangi.” (Riwayat Bukhari)

Temani Isteri Semasa Sakit
‘Aisyah meriwayatkan, “Rasulullah SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memanggil dengan Panggilan Manis
Nabi Muhammad SAW selalu memanggil ‘Aisyah dengan panggilan kesayangan iaitu ‘Humaira’ (yang pipinya kemerah-merahan) sesuai dengan sifat fizikalnya.
Kadangkala, Rasulullah SAW juga memanggil ‘Aisyah dengan sebutan ‘Ya ‘Aisy’ dengan membuang huruf terakhir, untuk menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan. Pastinya panggilan itu romantis. ‘Aisy ertinya kehidupan. Jadi, ‘Wahai kehidupan’. Panggilan ini digunakan ketika Rasulullah SAW menyampaikan salam daripada malaikat Jibril untuk ‘Aisyah.
‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ‘Aisy, ini malaikat Jibril. Dia menyampaikan salam untukmu! Kujawab, “Dan baginya pula keselamatan dan rahmat Allah serta berkatNya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda, “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya.” (Riwayat Tirmidzi)
Rujukan
Muhammad Abu Syauqi Banna. Begitu Romantis Rasulullah SAW: Memetik Hikmah Di Balik Pernikahan Manusia Agung. Kemilau Publika Sdn. Bhd; November 2010.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.