`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 23, 2013

PINDAAN ENAKMEN BERI MANFAAT



INDAH.....Air terjun di Imbak Canyon, salah satu kawasan pemuliharaan utama.

KOTA KINABALU : Pengelasan semula kawasan seluas lebih 63,700 hektar yang meliputi empat hutan komersial di Sabah sebagai kawasan yang dilindungi, merupakan langkah positif bagi peleraian populasi hidupan liar dan akan menjadikan zon penampan di kawasan pemuliharaan utama, lebih berkesan.

Dalam kenyataan bersama mereka hari ini, Land Empowerment Animals People (LEAP) dan Borneo Rhino Alliance (BORA) berkata peningkatan status itu kepada Hutan Simpan Perlindungan Kelas I seperti yang diluluskan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis akan meningkatkan perdampingan antara kawasan pemuliharaan Lembangan Maliau, Ngarai Imbak dan Lembah Danum.
Pengarah eksekutif LEAP Cynthia Ong mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Sabah itu kerana perdampingan hutan adalah sesuatu yang penting dalam memelihara kebingkasan ekosistem.

“Kami berada di wilayah kritikal, pada waktu yang kritikal. Keberanian dan kepimpinan politik dari pihak kerajaan sangat diperlukan. Keberanian dan kepimpinan seperti ini dari semua sektor – masyarakat sivil, industri dan masyarakat – adalah sama pentingnya dalam usaha mewujudkan kelestarian menyeluruh bagi semua pihak.

“Tragedi meracun gajah pada awal tahun ini mencetuskan kesedaran penting dan kami dalam masyarakat NGO meningkatkan usaha serta kerjasama kami dengan kerajaan. Sektor swasta amat perlu memainkan peranannya,” kata beliau.

Ong berkata, bersama NGO lain dan pertubuhan penyelidikan, LEAP menyeru syarikat pembalakan dan ladang sawit yang beropersi di kawasan berlakunya tragedi yang menimpa gajah itu supaya berusaha mendapatkan sijil daripada Majlis Pengawasan Hutan (FSC) dan Rundingan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).

“Kami ingin mengingatkan pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) serta syarikat pembalakan dan ladang sawit di sempadan kawasan yang baru dinaik taraf itu tentang tanggungjawab mereka. Segala usaha perlu dilakukan untuk memastikan pemburu haram dan pihak lain yang mempunyai niat tersendiri, tidak menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan,” katanya.

Hutan simpan yang dinaik taraf itu ialah Malua (33,969 ha), Mt Magdalena (6,665ha), Tambulanan (3,265 ha) dan Sungai Tiagau (19,870 ha). Tiga hutan simpan terakhir itu mempunyai nama lain sebelum pengelasan semula berkenaan dilakukan.

Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan terhadap Enakmen Hutan (Perlembagaan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 untuk mengelaskan semula empat hutan simpan itu, yang disifatkan Kerajaan Negeri mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi dan sebagai suatu langkah untuk meningkatkan perlindungan terhadap biodiversiti serta hidupan liar.

Ong berkata langkah menaikkan taraf Hutan Simpan Malua kepada Kelas I amat penting kerana kawasan itu menjadi hos bagi Malua BioBank, bank pemuliharaan tropika terbesar di dunia bagi tujuan memulihkan habitat penting Orang Utan dan spesies terancam lain.

Malua BioBank mengeluarkan Sijil Pemuliharaan Biodiversiti untuk dijual bagi memulihkan dan memulihara hutan simpan secara lestari.

Pengarah eksekutif BORA Datuk Dr Junaidi Payne berkata komitmen untuk memulihara hutan balak merupakan suatu langkah yang patut dipuji.

Junaidi berkata pindaan itu juga meliputi aspek lain, termasuk penambahan 6,429 hektar hutan bakau yang tidak dilindungi sebelum ini di Menumbok ke dalam sistem hutan simpan.

“Berita ini patut dialu-alukan kerana ia akan membantu memelihara sumber perikanan di kawasan Brunei Bay hingga ke Weston dan Klias melalui perlindungan yang diberi terhadap kawasan semaian perikanan semula jadi. (BI)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.